*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Oleh kerana tidak sanggup menunggu proses yang terlalu lama di hospital
kerajaan maka sakit kali ini saya terpaksa pergi ke Hospital Pakar Jalan
Abdul Samad Johor Bahru iaitu sebuah hospital yang dikendalikan
sepenuhnya oleh syarikat swasta.

Saya telah lama mengidap sakit batu karang. Sebelum ini saya telah pergi
menjalani pemeriksaan di hospital kerajaan di Johor Bahru dan disahkan
melalui x-ray dan imbasan ultrasound terdapat batu karang sebesar bola
golf dalam pundi kencing saya. Saya telah diberi tarikh untuk menjalani
pembedahan empat bulan dari hari saya disahkan mengidap batu karang itu.
Saya diberitahu terpaksa menunggu giliran kerana bilangan pesakit untuk
menjalani pembedahan terlalu ramai dan hanya pada bulan ke empat sahaja
yang ada kosong.

Siapa saja akan rasa gementar bila hendak menjalani pembedahan. Sakit
batu karang saya ini bukanlah satu sakit yang berterusan, walaupun batu
itu besar dalam pundi kencing saya tetapi rasa sakitnya datang hanyalah
sekali sekala sahaja. Kadang-kadang empat lima bulan sekali baru rasa
sakit. Bila sakitnya datang, kadang-kadang ia mengambil masa hingga
seminggu untuk rasa sakit itu hilang.  Kalau sakitnya dating, saya rasa
mahu diwaktu itu juga saya dibedah. Tetapi bila rasa sakitnya telah
hilang, saya rasa takut pula untuk dibedah.

Akhirnya tarikh untuk dibedah telah pun sampai, tapi malangnya waktu itu
saya tidak berasa sakit maka terus saya lupakan untuk hadir ke hospital
untuk menjalani pembedahan itu. Siapa pun akan rasa gerun untuk dibedah
kalau kita tidak sakit. Namun begitu saya telah berjanji pada diri saya
kalau saya rasa sakit pada masa akan datang saya akan pergi ke hospital
swasta yang ada di sini kerana khabarnya di sana kita tidak perlu
menunggu lama.

Masa berlalu akhirnya rasa sakit batu karang itu datang lagi. Kali ini
saya tidak ada pilihan, terpaksalah pergi hospital swasta, kali ini saya
mahu sangat dibedah untuk mengeluarkan batu karang saya yang besar itu.

Pertama kali menjejakkan kaki ke hospital swasta sungguh memeranjatkan.
Saya ingatkan di hospital swasta ini tidak ramai pesakit kerana apa yang
saya tahu bayarannya terlalu mahal, untuk satu pembedahan saja tidak
kurang dari RM3000.00. Saya perhatikan suasananya sama saja seperti
hospital kerajaan yang terdapat di bandar ini, sesak dengan pesakit.

Tapi bezanya dengan hospital kerajaan, di hospital swasta ini saya
diperiksa dan dilakukan x-ray pada hari itu juga, tak perlu buat
temujanji pada hari lain. Hari itu 3 Mac saya dimasukkan ke wad,
besoknya 4 Mac tanpa berlengah saya terus dibedah. Waktu sebelum dibedah
itu saya memang rasa sakit dan saya memang mahu sangat dibedah ketika
itu. Bila kita tengah sakit kita tidak akan rasa takut untuk dibedah
bagi menghilangkan kesakitan itu.Serupa jugalah pada keadaan kita sihat
kita takut dengan jarum suntikan tetapi kalau kita tengah sakit perut
yang kuat kita mahu sangat mendapat suntikan penahan sakit bagi
menghilangkan rasa sakit itu dengan segara. Waktu itu ketakutan dengan
jarum suntikan hilang dari perasaan kita.

Keistimewaan-keistimewaan yang terdapat di hospital swasta seperti
layanan yang baik, perkhidmatan yang memuaskan, cepat dan cekap telah
menyebabkan ramai orang yang berkemampuan pergi ke hospital swasta. Di
sana kita tidak jumpa pesakit diherdik dan dikasari, kita tidak jumpa
pelatih-pelatih yang belum pandai mengambil darah yang kadang-kadang
tersalah atau tak jumpa urat.

Semasa berada di hospital ini saya masih teringat kepada orang-orang
banyak yang susah. Tentunya mereka tidak mampu mendapat perkhidmatan
seperti apa yang saya telah dapat. Walaupun saya hanya habis RM5000.00
untuk mendapatkan perkhidmatan yang begitu memuaskan hati saya tetapi
bagi orang-orang yang berpendapatan rendah nilai itu terlalu besar bagi
mereka.

Saya hairan kenapa hospital kerajaan tidak dapat memberikan perkhidmatan
sebaik hospital swasta yang ada. Kalau hospital swasta boleh, hospital
kerajaan juga patut boleh. Pihak kerajaan perlu bertindak supaya semua
kelemahan yang ada di hospital kerajaan ini dapat diatasi. Walaupun ia
akan melibatkan kos yang begitu besar namun untuk kesejahteraan dan
kesihatan rakyat jelata apa salahnya kerajaan berkorban untuk itu. Kalau
rakyat telah sanggup membanting tulang empat kerat untuk memajukan
negara ini yang kadang-kadang terpaksa mengabaikan kesihatan mereka
sendiri, patutlah di pihak kerajaan pula menunjukkan kasih saying dan
prihatinnya melalui perkhimatan yang terbaik di hospital-hospitalnya.

Siapalah yang hendak sakit dan siapalah yang rela dibedah kalau tidak
terpaksa. Tidak siapa  yang mahu pergi hospital dan masuk wad untuk
suka-suka. Kita begitu simpati dengan orang yang telah ditimpa penyakit,
penyakit yang dihidapinya bukanlah atas kehendaknya. Berat mata
memandang berat lagi bahu yang memikul. Sekurang-kurangnya dengan
mendapat rawatan terbaik dan tidak membebankan mereka dapatlah
mengurangkan derita yang mereka tanggung.

Janganlah dibuatkan pesakit seperti pesalah yang patut diherdik,
dikasari dan dibiarkan lama menanggung derita. Sekecil manapun, mereka
juga adalah orang telah menyumbang kepada negara.
Alias.



 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: alias mohd yusof <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke