*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Bicara Agama
Hudud: Wajib ikut PM Debat Oleh Astora Jabat ([EMAIL PROTECTED]) Pas kini hanya mempertahan diri dan tidak lagi menyerang seperti tahun 1999, 1998, 1997 dan sebelumnya. Malah jika ada serangan pun hanya tidak lebih daripada tindak balas yang biasanya melatah dan merapu. Serangan itu pula dilakukan dalam bentuk biadab dan tidak sopan. Sebagai contoh serangan yang dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke atas ulama kerajaan hanya mengeluarkan kata-kata kesat mengecap mereka sebagai ulama barua. Serangan tidak ilmiah dan intelektual itu memburukkan lagi imej Pas kerana tidak masuk akal pemimpinnya yang dikenali di kalangan orang Pas sebagai ulama dan tok guru boleh mempunyai perangai lebih buruk daripada orang jahil. Cadangan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkan undang-undang hudud mungkin boleh dianggap sebagai usaha Pas untuk memecah keadaan daripada menjadi pihak yang mempertahankan diri dan berubah menjadi pihak yang menyerang seperti yang dilakukan oleh parti itu pada masa lalu. Tetapi kini bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan agenda itu kerana Pas berada dalam pendirian yang sangat lemah. Suasana politik dalam dan luar negeri tidak berpihak kepadanya. Selain itu isu hukum hudud sendiri tidak lagi menjadi isu yang boleh mengelirukan orang ramai termasuk bukan Islam kerana mereka mengetahui tentang keterbatasan kuasa yang pada Pas. Dalam pelaksanaan Islam juga ada perkara yang perlu diberi keutamaan dan ada perkara yang tidak perlu diberi keutamaan. Hudud pula tergolong daripada hukum yang tidak perlu diberi keutamaan berbanding pendidikan, pembangunan dan segala hukuman terhadap kesalahan dan jenayah yang lain. Malah ada ulama menganggap hudud lebih merupakan hukuman untuk mencetuskan ketakutan (al-uquubah al-takhwifiyyah) dan bukan hukuman yang dilaksanakan dalam alam nyata (al-uquubah al-waqi'iyyah). Bagaimanapun, melihat kepada pendirian Abdul Hadi yang tidak konsisten dalam mengambil keputusan untuk membentangkan undang-undang hudud di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April ini dan kemudian beliau mengubah pendirian menimbulkan banyak tanda tanya. Apakah sebenarnya yang menyebabkan Abdul Hadi terlalu ghairah untuk melaksanakan hukum yang dianggap bukan dalam bidang kuasa seorang Menteri Besar itu? Apakah Abdul Hadi tidak mengetahui kedudukan Menteri Besar seperti beliau dalam kerajaan Islam? Menteri Besar walaupun diterjemahkan ke dalam bahasa Arab secara tidak tepat sebagai Perdana Menteri, tetapi kedudukannya dalam kerajaan Rasulullah s.a.w. dan Khulafa Rasyidun adalah sama dengan kedudukan amir yang bermaksud pemerintah. Ia samalah dengan kedudukan gabenor pada zaman ini. Dalam bahasa Arab disebut sebagai wali. Berdasar kepada syariah dan fikah, amir wajib mengikut arahan pemimpin negara. Begitulah yang dilakukan oleh semua amir pada zaman pemerintah Rasulullah dan Khulafa Rasyidun. Dengan itu jika betul Abdul Hadi mahu mengamal ajaran Islam yang sebenar mengenai pemerintahan, beliau wajib mengikut arahan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Ini kerana ajaran Islam menyuruh beliau berbuat begitu. Dr. Mahathir tidak mahu melaksanakan hudud dan apa jua perkara yang dianggap bukan bidang kuasa Abdul Hadi, maka beliau mesti akur dan patuh. Haram bagi Abdul Hadi melawan atau menyanggah arahan Dr. Mahathir yang menjadi pemimpin negara yang sekali gus pemimpin Abdul Hadi juga. Jika beliau keras kepala dan mahu pelaksanaan juga apa yang dianggap bukan berada dalam bidang kuasa beliau termasuk hukum hudud, beliau dianggap melakukan kesalahan dan dosa besar yang boleh dikenakan hukuman. Abdul Hadi tidak perlu mendakwa tidak melaksanakan hukum hudud bererti tidak melaksanakan hukum Allah dan dianggap berdosa kerana Dr. Mahathir yang memimpin negara dibantu oleh barisan ulama yang berwibawa lebih mengetahui tentang kepentingan ummah (maslahatul ummah) berbanding beliau (Abdul Hadi) yang memikirkan hanya kepentingan parti dan kedudukannya saja. Bahkan beliau juga tidak perlu memikirkan tentang dosa pun berhubung tidak melaksanakan hukum hudud itu kerana Dr. Mahathir bertanggungjawab dan bukan beliau. Sebagai Menteri Besar atau amir, Abdul Hadi perlu melaksanakan kerja-kerja yang dianggap menjadi tanggungjawab beliau dan tidak perlu menyibuk dan campur tangan dalam urusan kepimpinan Kerajaan Pusat yang berada di tangan Dr. Mahathir. Beliau perlu berhenti sama sekali membuat kerja-kerja yang tidak kena mengena dengan tanggungjawab seorang Menteri Besar seperti yang dilakukan sebelum ini termasuk berusaha untuk melaksanakan hudud. Jika tidak, beliau boleh dianggap sebagai pemberontak atau Khawarij yang boleh dikenakan hukuman yang berat ke atasnya. Dari aspek lain menjadi tanda tanya juga kerana Abdul Hadi nampak lebih ghairah daripada Nik Aziz untuk melaksanakan hukum hudud? Nik Aziz tidak lagi menjadi hukum hudud sebagai isu. Mungkin beliau mengambil sikap senyap dan tidak lagi menjadi hukum hudud sebagai isu kerana beliau kini mula memahami tentang batasan kuasa beliau serta realiti masyarakat tempatan dan dunia yang tidak berpihak kepada Pas itu. Bagaimanapun Abdul Hadi tidak dapat mengambil iktibar daripada pengalaman Nik Aziz atau kegagalan Pas dalam melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Padahal beliau lebih mengetahui tentang masalah itu kerana beliau sendiri yang mengetuai jawatankuasa untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan dulu. Pendirian Abdul Hadi yang dianggap tidak konsisten kerana pada 26 Mac lalu beliau mengumumkan bahawa kerajaan pimpinannya akan meminda perlembagaan negeri bagi meluluskan empat undang-undang jenayah syariah. Harakahdaily melaporkan bahawa Abdul Hadi berkata, sekiranya kerajaan pusat tidak bersedia untuk melaksanakan Islam, maka rakyat boleh menjadi hakim dalam pilihan raya umum akan datang. Menurut beliau, empat lagi rang undang-undang Enakmen Jenayah Syariah akan dibentangkan pada persidangan DUN yang bermula pada 11 April ini. Persidangan DUN kali ini juga akan meminda perlembagaan negeri untuk menonjolkan kedaulatan syariah di negeri ini, katanya. Bagaimanapun, selepas dibantah oleh DAP, Abdul Hadi dalam kenyataan kelmarin menangguhkan pembentangan undang-undang hudud itu dalam persidangan DUN April ini kerana mahu mendapatkan maklum balas rakyat dan parti-parti politik terlebih dahulu. Kenapa beliau tidak mengambil pandangan rakyat dan parti-parti politik sebelum mengumumkan keputusan untuk membentang undang-undang hukum hudud itu? Dalam pada itu nampak jelas Abdul Hadi masih berfikir untuk berbaik-baik dengan DAP bagi mempengaruhi orang Cina. Dengan itu pandangan DAP dalam soal pelaksanaan hudud diambil kira. Para pemimpin kerajaan tidak perlu banyak berpenat lelah bagi menegur keghairahan Abdul Hadi untuk melaksanakan hukum hudud yang disuruh oleh Allah dan Rasul-Nya supaya membendung, diampun dan diberi jalan keluar kepadanya itu. Kerana bantahan DAP dan juga masyarakat bukan Islam boleh menyebabkan beliau berfikir tentang hikmah atau kebijaksanaan Kerajaan Pusat memerintah negara bermasyarakat majmuk ini. _________________________________________________________________ Get your FREE download of MSN Explorer at http://explorer.msn.com/intl.asp. ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: "k.a. g." <[EMAIL PROTECTED]>