MUSIM BADUT MENUNJUKKAN DIRI

Penulis Marhain Tua pernah menulis perihal kelompok ini dalam arena politik negara yang diterajui UmnoBn. Mereka ini sering tenggelam timbul mengikut keperluan dan rentak yang dimainkan oleh Tok Dalang DK (Kelantan) yang bersemayam di Putrajaya.

Mengikut adat dan tradisinya, kehadiran badut akan menghiasi cerita dan memberi ruang pula bagi Tok Dalang untuk mencari idea dan buah akal baru bagi meneruskan cerita agar tampak menarik dan memukau. Begitu jugalah rentak yang berlaku dalam politik tanahair kita.

Badut ini pula mengambil berbagai rupa dan latarbelakang yang kesemuanya adalah Umno totok secara pegangan parti dan kefahaman politiknya. Sebarang isu atau rekacipta yang diatur oleh para pemikir BARUA belaan Mahathir akan diulas dan disolek bagi memenuhi matlamat dan juga kehendak seorang dictator yang berhati Syaitan. Ringkasnya mereka mencemar dan memalukan ilmu serta rakan sejawat dengan komen-komen yang bertaraf pandir dengan mencelahkangkangkan segala kepingan ijazah daya intelek yang dimilikinya.

Beberapa orang dari dunia akademik yang bergelar Professor dan Professor Madya seringkali bersilih ganti muncul di kaca TV bagi berbincang tentang topik yang dirancang. Prof Ramlah, NC UIA dan beberapa lagi ilmuan kangkung ini sering membadutkan diri bagi memuja seorang Perdana Menteri. Kerapkali niat serong mereka tercium dengan mudah oleh orang kebiasaan apatah lagi golongan cerdik pandai.

Baru-baru ini Prof Diraja Ungku Aziz telah merelakan dirinya tergolong dalam kelompok badut apabila ia memberi komen ‘gila’ tentang anugerah Nobel Keamanan apabila nama DS Anwar Ibrahim dicadangkan oleh panel terbabit di Norway. Tidak mahu ketinggalan atau mengejar emas sebahara Sasterawan Negara A. Samad Said yang bersara dari berkarya tiba-tiba bangun mempertikaikan tentang pencalonan anugerah berprestij itu.Komen yang mencemar martabat dan bertaraf Barua itu telah dijawab pula oleh SN Shahnon Ahmad dalam edisi Harakah terbaru.Persoalannya apa perlu untuk ia mengomel begitu sedangkan tugas utamanya ialah berkarya bagi memperkayakan Sastera Negara?

Seorang Menteri yang bergelar Doktor Falsafah Perundangan kini dengan bangga pula mengumumkan bahawa apa sahaja tesis yang telah ditulisnya hanyalah bersifat ilmiah untuk mendapatkan sekeping pengiktirafan sahaja. Pegangan dirinya bebas dari perahan akal tatkala ia menulis tesis itu dahulu. Atau dalam bahasa mudahnya, tesis dan gelaran Doktornya itu bertaraf haprak yang wajar dilubangjambankan sahaja. Tradisi dalam parti itu adalah berebutan bagi meletakkan gelaran dan penghormatan di pangkal nama, bukan sebagai lambang keilmuan akan tetapi untuk menggerun dan menonjolkan hebatnya sahaja. Dia juga adalah seorang badut yang ditugaskan mengulas tentang masalah perundangan Negara yang timbul. Ulasan dan juga olahan ‘pembakar jambatan’ ini mampu membuatkan para Hakim menitiskan airmata dan tersedak ketawa .

Menyedari akan imejnya yang berterusan terperosok, Mahathir dengan penguasaan media melalui Badut bernama ZAM masih juga tak termampu berbuat sesuatu. Orang Melayu yang menyayangi Agamanya melihat Mahathir tidak ubah sebagai Abdullah Ubai walau pun ada suara nakal dalam Umno yang menggelarkan ia sebagai Ulamak juga!!(pengikut dan pemimpin sama jahil) Kini ZAM menggunakan segala kebijaksanaan dan helah yang sepadan dengan kelulusan darjah enamnya itu bagi memurtabakkan Mahathir dan Umno. Begitulah hasilnya yang sering kita tonton di kaca TV yang sebenarnya memberi lebih keuntungan kepada PAS dan Barisan Alternatif. Senjata makan tuan…..

Ibrahim Ali yang senyap seketika setelah sandiwara BBM dengan symbol keris telanjangnya gagal, kini muncul kembali sebagai pakar sejarah Raja-raja Kelantan. Patong burung Petalawati yang mereka dewa-dewakan akan memakan diri dan perjuangan palsu itu akan menemui jalan buntu. Berbangga dengan gelaran Katak dan pernah pula menjulang dan menabal sepupu Sultan Kelantan sekarang iaitu Tengku Ibrahim sebagai pewaris sebenar takhta, kini menjadi hamba sahaya yang kununnya setia pula kebawah Paduka Raja.

Sekiranya kuasa mutlak berada di tangan Raja sebagaimana zaman silam, tentu sahaja Ibrahim Ali telah ‘dibuang’ oleh Paduka Tuanku!! Dialah orangnya yang menjadi Pengerusi sambutan hari lahir Sultan yang ke 52 tahun (berapa pulak gamaknya duit peruntukan yang berjaya disonglapnya) Badut Pantai Timur ini juga dahulunya adalah pemimpin kelompok muda yang menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan semasa zaman Mohamad Asri di tahun 1978 dengan membuat ‘rusuhan’ secara membakar tayar dan mengkucalanakan system sampah di Kota Bharu.

Sanusi Mat Jenin baru-baru ini bangun dari pertapaan politiknya dengan menganjurkan Perhimpunan Bersama Rakyat bagi mengucapkan Terimakasih orang Langkawi terhadap jasa-jasa Mahathir bagi memajukan Pulau Lagenda itu. Kemajuan bagaimana untuk Marhaen apabila yang mengecapnya boleh dibilang dengan jari? Sedangkan kerosakan terhadap anak bangsa boleh digambarkan oleh pepatah baru- PADANG ARAK PADANG ROKOK!! (evolusi dari Padang jarak padang tekukur)

Tidak berpuas hati dengan Majlis Pendewaan Mahathir di Langkawi, Sultan Kelantan pula diguna sebagai pemangkin imej Mahathir. Selepas Sultan Johor yang terpalit dengan kes Prebet Adam dahulu, anak Lelaki Yahaya Petra pula menganugerahkan Darjah KERAbat DK Kelantan kepada Mahathir. Ternyata Sultan Kelantan @ Badut Diraja yang dahulunya pernah dibongkarkan serakahnya oleh pemimpin UMno dengan isu kereta Lamborghini telah sekali lagi merelakan dirinya dipergunakan untuk memperaga Mahathir di kalangan orang Melayu Kelantan yang secara total menolak Umno dan pemimpinnya.

Begitulah meriahnya para badut menunjukkan kecekapan masing-masing yang hanya mengundang perasaan gelihati dan ketawa memanjang orang Melayu melihatkan telatah mereka.

Memang betul kata Allahyarham P. Ramlee, “Alif, min, nun, wau = sarkas” Sudah tentu penghiasnya adalah para badut!!..

Ehek2001

Reply via email to