*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Assalamualaikum.
Jika anda ada kelapangan masa sila hayati renungan ini bagi meningkatkan 
motivasi diri kita agar memperolehi kemenangan didunia dan akhirat.
Buang yang keruh ambil yang jernih dan ceria ceria selalu.


Wassalam.

---------------------------------------- **** 
--------------------------Dahulu kita adalah anak-anak kecil yang belum 
baligh dan tidak ditaklifkan oleh Allah dengan syariatnya. Maka apa yang 
kita buat pada ketika itu semuanya tidak berdosa walaupun pada umumnya ia 
adalah satu kesalahan seperti mencuri mempelam jiran dan memakannya. Maka 
perbuatan seperti itu adalah salah tetapi Allah tidak mencatitkan dosa 
kerana kita belum mukallaf.

Tetapi sekarang kita sudah baligh dan dewasa maka kita tidak lagi boleh 
melakukan kerja-kerja yang salah seperti ketika kita masih kecil dahulu 
Allah tidak mencatitkan dosa dan kesalahan yang dilakukan tetapi sekarang 
Allah akan mencatitnya kerana kita telah menjadi orang mukallaf. Oleh itu 
tinggalkanlah perbuatan yang salah itu kerana ini adalah kenangan lama yang 
tidak boleh diulangi lagi.

Dahulu kita muda mungkin semua tindakan kita didorong oleh keseronokan 
semata-mata tanpa memikirkan apakah ianya baik bagi kita ataupun sebaliknya, 
kita banyak menghabiskan masa untuk keseronokan sehingga kita lupa dan lalai 
daripada melaksanakan tanggungjawab kita kepada Allah, lalu masa muda kita 
telah disia-siakan begitu sahaja.

Tetapi sekarang kita telah dewasa maka tidak sepatutnya kita meneruskan 
kerja sia-sia diusia muda kita dahulu kerana ketika itu kita tidak banyak 
mengerjakan ibadah dan kebajikan. Oleh kerana sekarang kita telah dewasa 
maka sepatutnya kita telah sedar dan insaf segala kesalahan di masa muda 
lalu. Gunakanlah masa dewasa ketika ini untuk bertaubat dan beramal soleh 
bagi menghimpunkan pahala sebagai bekalan ke syurga.

Dahulu kita susah, miskin dan sentiasa di dalam kesempitan dan pada masa itu 
selalu kita memasang angan-angan dan cita-cita kalaulah aku kaya, aku akan 
belanjakan harta aku untuk kebajikan, aku akan menolong fakir miskin, akau 
akan beri sumbangan untuk pembinaan masjid, aku akan keluarkan zakat dan 
berbagai-bagai lagi azam dan cita-cita kita, tetapi semuanya itu tidak dapat 
kita lakukan kerana kemiskinan dan kesusahan yang menghimpit kita.

Sekarang kita telah menjadi kaya dan berada dalam kemewahan dan kesenangan. 
Kalau begitu apa yang ditunggu lagi, ambillah kesempatan di atas kesenangan 
dan kemewahan yang Allah berikan kepada kita untuk membelanjakan sebahagian 
daripadanya pada jalan Allah seperti yang pernah dicita-citakan pada masa 
kita susah dahulu. Janganlah kita dihantui dengan perasaan sayangkan harta 
sehingga tidak sanggup pula membelanjakannya kerana mencari keredhaan Allah.

Seorang sahabat pernah bertanya nabi s.a.w "Wahai Rasulullah, sedekah yang 
bagaimanakah yang lebih afdhal? Maka Rasulullah pun menjawab, "Kamu memberi 
sedekah ketika kamu sedang sihat dan terlalu sayangkan harta kamu, di 
samping kamu sangat mengharapkan bertambah kekayaan dan bimbang menjadi 
miskin dan janganlah kamu tangguhkan lagi sehingga nyawa sudah berada di 
hujung halkum.


Dahulu kita sibuk, kita sibuk dengan kerja di pejabat, kita sibuk dengan 
urusan perniagaan, kita sibuk dengan persatuan dan kita sibuk dalam segala 
urusan, kerana kesibukan kita itu kita tidak berkesempatan atau sedikit 
sangat ruang waktu dapat berbuat kebajikan, kita tidak ada masa ke masjid, 
kita tidak ada masa membaca al-Quran, kita tidak ada masa untuk belajar 
agama, kita tidak ada masa bergaul dengan masyarakat dan kita tidak ada masa 
untuk semua itu.

Tetapi sekarang kita kurang sibuk lagi. Barangkali kita sudah ada sedikit 
ruang masa, perniagaan kita sudah ada orang yang membantu untuk 
mengurusnya,. Oleh itu, marilah kita gunakan masa yang tidak sibuk ini untuk 
mendapatkan semula apa yang telah terlepas dan yang tidak sempat kita 
lakukan pada waktu kita sibuk dahulu. Sekarang inilah masanya untuk banyak 
berzikir kepada Allah, inilah masanya untuk kita mendalami isi ajaran agama, 
inilah masanya untuk kita bergaul dan berbuat baik dengan masyarakat dan 
inilah masanya untuk kita melakukan amal yang soleh sebanyak mungkin.

Kalau dahulu mungkin kita banyak melakukan kesilapan, kita banyak bercakap 
yang sia-sia dan tidak berfaedah. Tetapi sekarang kita telah sedar bahawa 
itu semuanya merugikan dan membahayakan diri sendiri, oleh itu biasakanlah 
diri dengan bercakap benar kerana itulah sifat orang yang beriman dan 
bertaqwa.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 70-71 bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah 
perkataan yang benar, nesaya Allah memperbaiki bagimuamal-amalmu dan 
mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, 
maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar".


Kita sering lupakan tugas dan tanggungjawab kita yang besar, kita seorang 
bapa tetapi kita telah mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan 
anak-anak kita, kita seorang majikan tetapi kita telah mengabaikan 
tanggungjawab dan kebajikan terhadap kakitangan dan anak-anak buah kita,kita 
seorang yang berpengaruh dan berkedudukan tinggi tetapi telah mengabaikan 
orang-orang dibawah kita. Kita seorang pengurus jabatan kita dengan baik dan 
berjaya tetapi kita terlupa
mengurus diri dan keluarga kita sendiri, semua kelemahan dan kekurangan itu 
telah kita lakukan di dalam keadaan terlupa., tidak sedar dan kerana 
mementingkan diri sendiri, tetapi sekarang kita sudah sedar segala kesilapan 
itu semua. Oleh itu patutlah sangat kita gantikan kesilapan dan kesalahan 
itu dengan menghayati ajaran Islam di samping kita penuh insaf dengan 
bertaubat nasuha kepada Allah S.W.T. Firman Allah dalam surah Ali Imrn ayat 
133 bermaksud:

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang 
luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang 
bertaqwa".


Dahulu pandangan kita terhadap agama agak mendatar, kita anggap agama itu 
ibadah khusus semata-mata. Urusan hidup harian bukan urusan agama lalu kita 
tidak menggunakan agama sebagai neraca pertimbangan dalam menjalani 
kehidupan, semua itu terjadi kerana kejahilan kita sendiri. Sekarang kita 
sudah sedar dan kita sudah banyak belajar, kita telah faham bahawa Islam 
merangkumi semua aspek kehidupan. Oleh itu marilah sama-sama kita amalkan 
ajaran Islam di
dalam kehidupan ini supaya hidup kita menjadi sempurna dan bahagia.

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian 
ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun 
lagi Maha Mengasihani". (Surah an-Nisa':110)

Petikkan Dari:  Ustaz Taib Azamudden Bin Md Taib







_________________________________________________________________
MSN Photos is the easiest way to share and print your photos: 
http://photos.msn.com/support/worldwide.aspx


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Ujang 123" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke