*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
TAG SP 697: Soal-jawab CNN dengan Dr. Mahathir 
By SPAR 
22/5/2002 11:28 am Wed
 

http://lamankm2.tripod.com/cgi-bin/forum.cgi?read=7115


Soal-jawab CNN dengan Dr. Mahathir Pada 17/5/2002 - Malay Mail dan CNN 


Awalkata: Terjemahan ini diusahakan berdasarkan transkripsi yang tersiar di Malay Mail 
bertarikh Jumaat 17.5.2002. Kerja-kerja transkripsi di Malay Mail tersebut adalah 
hasil usaha Yushaimi Yahaya dan Parveen Gill. 


Sepatutnya terjemahan ini sudah lama dibuat oleh parti pembangkang seperti PAS, 
Keadilan, DAP dan lain-lain - dan menyiarkannya di laman web mereka. Kegagalan mereka 
berbuat demikian adalah satu petunjuk apakah mereka benar-benar serius menjadi parti 
yang memimpin rakyat, ataupun masih berseronok menang sedikit kerusi Parlimen sehingga 
membuatkan rakyat marhaen terkapai-kapai ketandusan pengetahuan mengenai apakah 
pendirian mereka sebenarnya sebagai pihak pembangkang? Sama ada transkripsi yang 
tersiar di Malay Mail itu dilaksanakan tanpa putar-belit, selidiklah sendiri dengan 
transkripsi asal yang ada di CNN). 


Untuk memudahkan menyemak mana satu yang mungkin 'terlepas' kita nomborkan setiap 
soalan Zain Verjee. 


Pendirian tegas Malaysia terhadap keganasan adalah antara perkara yang dibincangkan 
selama 30 minit antara CNN dan Perdana menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang 
telah disiarkan pada awal pagi tadi (Jumaat 17/5/02.) 


Dr. Mahathir yang melaksanakan lawatan rasmi mengunjungi Amerika Syarikat selama empat 
hari yang berakhir semalam, telah juga ditanya beberapa soalan mengenai pertemuannya 
dengan Presiden George Bush, penggunaan Akta ISA, mantan timbalan perdana menteri 
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih dipenjara, dan Kebebasan Akhbar di Malaysia. 


Pembicara CNN Zain Verjee telah mencungkil minda perdana menteri itu mengenai Asia 
Tenggara, China sebagai sebuah kuasa besar yang menyerlah, dan ekonomi Malaysia serta 
pembangunan pertahanannya. 



Zain bersikap berterus terang dengan soalannya, dan Dr. Mahathir tidak pula mudah 
tersilap langkah menjawabnya. Inilah transkripsi wawancara itu. 





--------------------------------------------------------------------------------



1. Soalan: (Zain): Bagaimanakah kejayaan yang anda capai di Washington? 



Jawab: (Dr. Mahathir): Saya fikir ia satu kejayaan. Saya telah dapat bertemu dengan 
kebanyakan pemimpin kerajaan dan Presiden, para senator, ahli-ahli Kongres, para 
peniaga dan masyarakat media. Mereka semuanya telah memberikan sambutan yang baik 
kepada saya. 


2. S: Apakah yang telah anda bincangkan dengan Presiden Bush? 



J: Keganasan, pastinya. Dan apakah tanggapan kami dan bagaimana kami menanganinya. 



3. S: Apakah isu lain yang anda bincangkan, seperti perdagangan, sebagai contohnya? 


J: Ada juga sedikit perihal perdagangan, tetapi tidak berapa banyak. Kemudian kami 
bincangkan juga kisah keadaan di Asia Tenggara, Indonesia, Myanmar.. 



4. S: Ramai orang yang menganggap lawatan ini sebagai satu lawatan untuk memulihkan 
perhubungan (Malaysia) dengan AS. Bagaimana pendapat anda? 



J: Bolehlah dianggap begitu, tetapi saya fikir hubungan itu telah diperbaiki selepas 
(peristiwa) 11 September. Persepsi terhadap Malaysia sudahpun berubah dan orang ramai 
sudah mula sedar betapa pentingnya kamibertindak untuk menentukan negara kami sentiasa 
stabil dan aman. 


5. S: Kenapa pula anda sebutkan 11 September itu sebagai titik tolak perubahan kepada 
Malaysia? 


J: Sebabnya ialah segala yang berlaku sebelum itu kepada Malaysia semacam sudah 
mengena negara lain juga. 


6. S: Contohnya? 


J: Seperti tindakan keganasan, huru-hara, orang-orang yang mengaku menggunakan hak 
asasi mereka, tetapi akhirnya, mereka menceroboh hak-hak ataupun menafikan hak 
golongan majoriti. 



7. S: Ramai pihak berkata anda telah melancarkan penangkapan terhadap orang yang anda 
syaki sebagai pengganas 11 September. Inilah yang membuatkan AS bergembira dengan 
tindakan yang anda lakukan. Anda juga sudah dilihat sebagai seorang pemimpin sederhana 
dunia Islam. Sekali lagi anda berjaya menunjukkan persepsi yang disenangi AS melalui 
kata-kata anda dan tindak-tanduk anda, lebih-lebih lagi selepas anda dipencilkan oleh 
AS sekitar tahun 1998, gara-gara perbicaraan Anwar Ibrahim dan penghukuman 
terhadapnya. 



Apakah ada sebarang kekeliruan ketika AS menolak anda, meminggirkan Malaysia dan kini 
muncul pula sikap berbaik semula selepas peristiwa 11 September? 


J: Kami tidak bertindak terhadap pengganas yang disyaki itu selepas 11 September. Kami 
bertindak sebelum itu lagi. Sebelum itu kami sudah sedar apa rencana mereka. Apabila 
mereka disedari, kami sudahpun bertindak, menangkap dan menyiasat mereka . Apabila 11 
September terjadi, tiba-tiba tindakan kami di Malaysia menjadi relevan dengan kejadian 
di tempat lain di dunia ini dan kami dapat memberikan beberapa maklumat mengenai 
aktiviti kumpulan ini di Malaysia dan kemungkinan adanya kaitan mereka dengan kumpulan 
lain. Sudah tentu, ini membantu orang lain memahami keadaan, terutama sekali di AS, 
akan apa yang terjadi di Malaysia dan apa pula kaitannya dengan kejadian di AS. 



8. S: Apakah anda sudah mempunyai persepsi yang berubah mengenai AS? Apakah hubungan 
baru itu anda merobah pandangan anda? 



J: Apabila AS mula menunjukkan kefahaman apa yang terjadi di Malaysia, sudah tentu 
kami turut merobah persepsi mengenai AS. 


9. S: Anda pernah menunjukkan kritikan yang pedas terhadap AS pada masa dulu. 



J: Memang, kami begitu kritikal kerana AS mengkritik kami. 



--------------


10 S: Betapa seriuskah keadaan keganasan di Asia Tenggara dan apakah ia merupakan 
sarang pembiak pengganas? 


J: Keadaan belum begitu serius lagi. Kami masih mampu menanganinya, tetapi kalau kami 
cuai, saya pasti ia akan menjadi satu ancaman yang serius kepada negara kami dan 
rantau kami. 



11. S: Anda telah menyetujui satu perjanjian (anti-keganasan) dengan Indonesia dan 
yang terbaru dengan Filipina. Berapa berkesankah perjanjian itu nanti dan lebih khusus 
lagi, apakah anda merasa tertekan dengan sikap Indonesia yang enggan bertindak keras 
terhadap kumpulan ekstrim? 



J: Saya fikir perjanjian antara kami adalah baik kerana kami mempunyai daya 
bertukar-tukar maklumat untuk mengesan mereka yang terlibat di mana mereka bersembunyi 
di tiga buah negara itu. Saya juga tidak berasa kecewa dengan Indonesia ataupun 
Filipina kerana mereka mempunyai masalah sendiri dan mereka tidak mampu menangani 
masalah itu mengikut cara kami menanganinya di Malaysia. 


12. S: Ada satu kaitan antara Al-Qaeda pada 11 September dan Malaysia. Perampas yang 
disyaki nombor 20 dipercayai pernah bertemu dua orang perampas lain di Malaysia. 
Apakah pendirian anda betapa dalil ini membabitkan 11 September ataupun ada sebahagian 
rencana itu pernah dirancangkan di Malaysia? 



J: Saya tidak fikir rancangan itu diatur di Malaysia. Daripada siasatan kami, mereka 
berfungsi sebagai sel yang tidak tahu-menahu kegiatan sel yang lain. Saya tidak fikir 
mereka telah mendedahkan rencana sendirian sesama mereka. Setiap yang terlibat 
mempunyai tugas tersendiri dan mereka di Malaysia yang mempunyai minat bagaimana mahu 
menggulingkan kerajaan (Malaysia). Memanglah mereka pernah bertemu tetapi saya tidak 
tahu sama ada mereka pernah membincangkan serangan terhadap Pusat Dagang Dunia itu. 


13. S: Tetapi tahap operasi di Malaysia memberi andaian bahawa Malaysia merupakan satu 
bentuk sarang pengganas juga? 



J: Mereka pernah berada di Switzerland. Kalau anda mahu cari pusat sarangnya, ia ada 
di Amerika ini kerana mereka pernah menjalani latihan di sini selama satu tahun, 
seperti yang saya diberitahu di AS. Di sinilah tempatnya mereka merancang segala 
tindakan mereka. Bukannya di Malaysia, saya fikir. 



14. S: Kalau anda mengatakan Malaysia bukannya sarang ataupun pusat pengganas 
bertumpu, kenapa anda terus menangkap orang dan mendakwa mereka adalah pengganas. 
Bukankah ada percanggahannya? 



J: Itu bukan percanggahan kerana semua itu ada sel-sel yang bertindak di Malaysia. 
Daripada maklumat yang kami kumpulkan daripada mereka, tumpuan utama mereka ialah cara 
menggulingkan kerajaan Malaysia. Mereka tidak ada kena mengena dengan kisah negara 
lain. 



15. S: Tetapi macam mana anda tahu yang mana satu pengganas di kalangan mereka? Siapa 
yang cuba menggulingkan kerajaan dan siapa yang tidak? Terlalu kerap sangat anda 
menangkap orang tanpa sebarang bahan buktinya? 


J: Apabila kami menangkap orang kami bukan sahaja menahan mereka. Kami menangkap orang 
kerana kami mahu tahu apa yang mereka buat dan kami mahu memulihkan mereka sebagai 
membantu mereka juga. Orang yang kami tangkap ini, bukan sahaja membuat pengakuan, 
tetapi mereka turut menunjukkan dengan angkuhnya rencana mereka mahu menggulingkan 
kerajaan secara menggunakan senjata, kekerasan bersenjata, dan bagaimana mereka 
bercita-cita...... (diganggu..) 


16. S: Ramai antara mereka kini mengadu bahawa mereka dipaksa untuk membuat pengakuan 
ketika mereka berada dalam penjara. Mereka telah didera, dikasari dengan ganas, 
dipaksa membuat pengakuan. 



J: Semua itu adalah andaian yang selalunya diada-adakan terhadap pribumi (bumiputra?) 
yang tidak tahu mematuhi undang-undang. Di Malaysia kami menghormati undang-undang 
walaupun kami mungkin tidak diikhtiraf sebagai antara negara yang paling bertamadun di 
dunia. 


17. S: Dalam usaha anda menafikan keganasan ataupun mahu menumpaskannya, anda 
sebenarnya menggunakan isu itu sebagai satu alasan untuk membisukan ataupun menghenyak 
pembangkang anda? 



J: Saya tidak perlu semua itu. Saya memperolehi majoriti tiga per empat di Parlimen 
[Raja Kelentong berbohong, dua per tiga saja.... - M@R]. Kami telah memenangi 
pilihanraya, secara adil selama ini dan kami juga pernah kalah dalam pilihanraya. Dua 
negeri dalam negara kami adalah ditadbirkan oleh parti pembangkang. Kerana itu kami 
tidak perlu menyiksa orang, memaksa mereka membuat pengakuan dan sebagainya. Memanglah 
ada kumpulan skeptik, yang suka mengomel apa sahaja, dan mereka akan menyanggah apa 
kami katakan. Mereka akan cakap apa yang mereka suka kerana mereka itu adalah kumpulan 
skeptik. 


18: S: Kebelakangan ini kisah hubung-kait antara Al-Qaeda dan Malaysia sudah menjadi 
fokus perbincangan di laman web. Ada laman web yang menunjukkan gambar-gambar Osama 
bin Laden, kiriman dokumen dan artikel yang ditandatangani oleh al-Qaeda. Ada juga 
satu laman web yang menunjukkan video saat-saat terakhir 11 September. Para perampas 
pesawat berkata mereka mempunyai lebih 18 video lagi. CNN baru sahaja mengesan pelayar 
laman web ini dan rupanya, dua laman web itu berada di Malaysia. Adakah anda 
tahu-menahu perkara ini? Jika tidak, apa pula reaksi anda? 


J: Saya tidak tahu tetapi saya fikir kebanyakan laman web itu berasal daripada Amerika 
sebenarnya. 


19: S: Tetapi yang khusus ini telah dikesan berasal daripada Malaysia. 



J: Oh, kalau anda boleh cakap begitu mengenai Malaysia, tentu anda boleh cakap yang 
serupa mengenai Amerika. 



--------------


20. S: Apakah kemungkinan pihak berkuasa di Malaysia menyiasat perkara ini dengan 
serius? 


J: Kami dapati adalah sukar untuk mengesan orang yang menggunakan internet dan 
menyebarkan banyak bahan kotor. 


21. S: Selama lebih 20 tahun anda mempunyai penyokong dan pengkritik. Anda juga telah 
memberikan bayangannya dalam pelbagai cara. Di sini ada sedikit kritikan itu: Mahathir 
Mohamad disenaraikan di setiap senarai kumpulan hak asasi manusia yang ulung di dunia. 
Jawatankuasa perlindungan wartawan dunia menyenaraikan nama anda sebagai salah seorang 
musuh busuk Kewartawanan. Jabatan Negara (AS) merakamkan perihal terhakisnya kebebasan 
sistem perundangan di Malaysia sepanjang kepimpinan anda. Terlalu banyak kritikan yang 
menyerang anda. Apa respons anda? 


J: Memang, saya pernah mengkritik akhbar dan media dan ada segelintir NGO (Pertubuhan 
Bukan Kerajaan) ini memang tidak saya harapkan mempunyai sebarang kata manis untuk 
saya. Lagipun saya tidak peduli apa yang mereka mahu katakan. Yang penting, ialah 
rakyat Malaysia mempercayai saya dan mereka mengundi saya untuk berkuasa setiap kali 
saya menghadapi pilihanraya dan setakat ini saya telah menghadapi lima pemilu 
semuanya. 



22. S: Sebahagian besar kritikan yang dihalakan kepada anda adalah berasaskan kepada 
penggunaan Akta ISA. Memang banyak soalan dan keprihatinan mengenai perkara itu. Ia 
menyangkuti cara anda mengganas dengannya ketika anda menghadapi kesulitan. Itulah 
caranya anda menggunakan Akta itu untuk terus mencengkam kuasa Cara anda menindas 
pembangkang seolah-olah anda mempunyai lampu hijau yang mengizinkan anda menindas dan 
memenjarakan mereka. 


J: Itu semua yang memang mereka suka katakan. Tetapi kalau anda teliti cara ISA 
dikuat-kuasakan ketika saya menjadi PM, sekitar 800 banduan telah dibebaskan kerana 
arahan saya. (he..he. he.. bunyi kamera CNN ketawa!!!). Pembebasan itu termasuk mereka 
yang ditahan oleh orang yang mendahului saya. Kalau saya takutkan orang-orang ini, 
saya tidak lepaskan mereka (patutlah Shaari Sungib dan kawan-kawannya tidak boleh 
dilepaskan!!!)Saya tidak perlu buat itu semua. Anda boleh lihat, saya menang dengan 
mudah setiap pemilu. Memang ada usaha untuk mengenepikan saya untuk mengambil-alih 
jawatan presiden parti saya, tetapi mereka gagal semuanya. 



* Terjemahan Transkripsi dari Laman CNN kerana Malay Mail tidak memetik soalan-soalan 
bernas seperti berikut: 


23. S: Kenapa anda tangkap pembangkang dan sumbat dalam penjara? 


J: Dak eh.!!!.. saya tak buat. 


24: S: Kenapa anda tahan mereka tanpa perbicaraan. 


J: Tidak ..saya tak lakukan. 


25: S: Tanpa sebarang urusan perundangan. 


J: Pembangkang parti yang mana? 


(timbul kekalutan sejenak) 


26. S: Anda telah menangkap enam anggota parti pembangkang, seingat saya, April tahun 
lalu, dan mereka telah menyatakan secara terbuka bahawa anda gagal menghormati 
undang-undang. Mereka ditangkap tanpa sebarang waran-tangkap-- tanpa sebarang sebab, 
kecuali kata mereka, Mahathir Mohamad tidak mahu melihat kami bergerak bebas, kerana 
itu dia gunakan ISA untuk menangkap kami. 


J: Mereka itu semua ikan bilis sahaja di pihak pembangkang. Dan memanglah mereka..... 


27: S: Kalau mereka bertaraf ikan bilis, kenapa anda menangkap mereka? 


J: Sebab mereka telah melakukan kesalahan. Mereka telah melanggar undang-undang, 
ataupun mereka telah membuat sesuatu yang menjadikan mereka disyaki melakukan sesuatu 
yang tidak berguna kepada negara. 



- CNN - 



28: S: Kenapakah tidak seorang pun (antara tahanan ISA itu) yang didakwa di mahkamah? 


J: Memanglah mereka tidak dikenakan tuduhan kerana undang-undang kata tidak perlu 
mendakwa mereka kerana ini hanya satu penahanan. Tindakan menahan adalah perbuatan 
mencegah. Tindakan mencegah adalah satu tindakan yang dilaksanakan sebelum berlakunya 
sesuatu jenayah. 


29. S: Keseluruhan masalah itu kata mereka, ialah, anda bersikap tidak demokratik? 



J: Memanglah mereka akan sebut begitu. Tetapi kalau mereka mempunyai kuasa yang sama 
mereka akan gunakan undang-undang yang serupa. 




--------------


30. S: Soalnya sekarang ialah anda yang memegang kuasanya sekarang. 



J: Undang-undang itu sudah lama digubal dan pernah digunakan oleh Perdana Menteri yang 
pertama, yang kedua dan yang ketiga. Mereka semua telah menggunakan undang-undang itu 
lebih galak daripada saya dan anda boleh periksa rekodnya. 



31. S: Tetapi, apakah ia membetulkan keburukannya? 


J: Sebenarnya saya mempunyai tanggungjawab kepada negara. Undang-undang itu diwujudkan 
untuk melindungi kepentingan negara. Bukannya kepentingan saya. 



32: S: Ada satu kenyataan daripada satu kumpulan yang mewakili hak asasi manusia yang 
berkata Anwar Ibrahim, bekas timbalan anda, yang kini dalam penjara, berada dalam 
keadaan kritikal dan menanggung kesakitan tulang belakangnya disebabkan penderaan yang 
ganas. 


J: Dan anda percaya kenyataan itu???? 


33. S: Tidak, saya mahu anda berikan respons kepada kenyataan itu. Mereka meminta agar 
Anwar diberikan peluang mendapat rawatan di luar negara. Bolehkah anda membenarkannya? 



J: Ada seorang doktor yang pernah datang lebih satu tahun yang lalu. Dia kata kalau 
Anwar Ibrahim tidak dibebaskan, dan diberikan izin keluar negara untuk rawatan di 
Eropah, dia akan mati. Sekarang, sudah satu tahun berlalu, dia masih mampu 
berjalan-jalan. 



34: S: Yang nyata, insan ini adalah juga penentang politik anda dan anda menggunakan 
setiap peluang untuk menyingkirkan sesiapa sahaja yang anda fikirkan mengancam 
kedudukan anda. 



J: Dia bukannya satu ancaman kepada saya. 


35: S: Kenapa tidak bebaskan beliau supaya dia bebas bercakap apa yang dia suka? 



J: Dia telah menulis macam-macam artikel di internet mengutuk kerajaan. Kami tidak 
pernah menegahnya. 


36. S: Kita sentuh sikit Timur Tengah yang menjadikan anda menonjol. Anda telah dipuji 
oleh AS kerana pandangan sederhana di rantau itu, dan kerana mengutuk pengebom 
relamati. Apakah fikiran anda yang perlu dilaksanakan di Timur Tengah? 



J: Kita mesti cari sebab-musabab orang berkelakuan begitu. Kenapa mereka melancarkan 
serangan relamati. Kita mesti selidik sebabnya dan perbaiki keadaannya, dan PBB 
seharusnya masuk campur, dan pisahkan para pejuang itu dan sempadan antara Israel dan 
Palestin mesti dikenalpasti dan dua negara Israel dan Palestin mesti diberikan 
mengiktirafan bersama oleh semua pihak. 


37. S: Apakah anda fikir AS mampu memainkan peranan yang lebih berkesan untuk merapati 
kumpulan yang sederhana di sana? 



J: Manusia mampu melakukan yang lebih baik daripada yang sedang dilaksanakannya. 
Sesiapa sahaja.... 


38. S: Apakah anda tidak fikir ada perkara lain yang boleh mereka lakukan untuk 
memperbaiki keadaan di Timur Tengah? 


J: Mungkin 



39. S: Ya? Contohnya? 


J: Seperti mempunyai pendirian yang sama mengenai isu ini, dan membuat keputusan 
darinya. 




--------------


40. S: Apakah pendapat anda mengenai peranan anda sebagai seorang pemimpin dalam dunia 
Islam. Apakah anda fikir suara anda yang moderat itu dapat memimpin sesuatu..... 


J: Saya tidak menganggap diri saya sebagai seorang pemimpin dunia Islam. Saya adalah 
seorang pemimpin di Malaysia. Saya tidak mempunyai ambisi... 


41. S: Malaysia menjangkakan pertumbuhan pada kadar 3.5%. Apakah itu masih relevan? 



J: Saya fikir begitulah.. 



42. S: Baru-baru ini anda sudah galak membeli-belah kelengkapan perang. Ini 
menunjukkan anda mahu memperkasakan pengaruh di rantau anda. Mereka mencadangkan 
bahawa satu ketenteraan yang perkasa akan mengukuhkan kekuatan ekonomi Malaysia. 
Kenapa anda bertindak begitu? 


J: Kami cuma meningkatkan kelengkapan kami kerana sudah ada wang sekarang berbanding 
dulu. Sudah tentu kami akan membeli yang terbaru dan banyak lagi yang akan dibeli. Ini 
bergantung kepada keupayaan berbelanja. Peruntukan (budget) kewangan kami untuk 
pertahanan adalah terlalu rendah. Di Malaysia 20 persen budget kami ditumpukan kepada 
pendidikan. Inilah prioriti kami bukannya senjata. 


43. S: Apakah perasaan anda dengan kebangkitan China sebagai sebuah kuasa besar? 



J: Saya tidak takut apa-apa. Kami memang sahabat akrab China. 



44: S: Apakah pendapat anda dengan sikap AS menyerlahkan kehadirannya di rantau anda? 



J: Saya tidak fikir sebarang kehadiran itu akan dapat membantu. Anda hanya akan 
membuatkan China merasa ragu-ragu, sehinggakan mereka dianggap sebagai musuh di satu 
hari kelak. Kalau anda layan orang semacam musuh di masa hadapan, mereka akan menjadi 
musuh anda waktu ini. 


45. S: Soalan terakhir, anda sudah mencengkam kuasa selama 21 tahun. Kalau mengimbau 
sejarah anda secara peribadi, adakah sesuatu yang mahu anda ubah ataupun laksanakan 
secara lain? 



J: Tak banyak pun. Saya fikir saya berkemungkinan ulang semula segala yang telah saya 
lakukan. 



[Rumusan: Apakah pandangan para pemimpin parti pembangkang? Kenapakah secara tiba-tiba 
mereka membisu seribu bahasa dengan wawancara yang menyerlahkan kehaprakan seorang 
raja kelentong? - Penterjemah] 



Terjemahan SPAR (Suntingan M@R) 


Asal: 
1. Malay Mail: M Focus: Dr. Mahathir's 30-Minute Interview on CNN's Q&A: Straight talk 
by P.M. 
2. CNN: Q&A - Mahathir With Zain Verjee 
http://www.cnn.com/TRANSCRIPTS/0205/16/i_qaa.01.html 
 



Print Article | Mail Article | Translate Article? | Back to Index  

V: 488   D: 0.030 secs   




 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Bulan <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke