Pelaksanaan hukum Hudud sesuai dengan pengisytiharan PM

Nash Rahman
5:16pm Tue Jun 11th, 2002

Tiga belas badan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuk Angkatan Belia Islam
Malaysia (Abim), menyokong sepenuhnya pelaksanaan Undang-undang Jenayah
Syariah (Hudud dan Qisas) di semua negeri, sesuai dengan pengisytiharan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia adalah
sebuah negara Islam.
Selaras dengan itu, mereka menyokong usaha Kerajaan Negeri Terengganu untuk
memperkemaskan draf rang undang-undang Jenayah Syariah tersebut, dengan
mendapat pandangan pelbagai pihak serta menganjurkan seminar yang berkaitan
dengannya.
Selain Abim, turut menandatangan kenyataan bersama itu ialah Persatuan Ulama
Malaysia (PUM), Jamaah Islah Malaysia, Persatuan Ulama Kedah, Abim, Teras,
Pengarah Iman International, Persatuan Graduan Syariah dan Majlis Bertindak
Wanita Islam Malaysia.
Menurut mereka, isu perlaksanaan hukum hudud di negara ini memerlukan
pertimbangan wajar, objektif, jujur dan tanpa prangsangka semua pihak.
“Ia perlu dinilai berdasarkan semangat dan tujuan murni agar kewajipan dan
tanggungjawab melaksanakan hukum Islam yang diredai Allah menjadi realiti.
“Kami berpendapat sebarang usaha oleh mana-mana pihak ke arah perlaksanaan
hukum syariat, hendaklah dinilai dari perspektif yang objektif dan
menyeluruh berdasarkan tujuan asas Syariat Islam, iaitu untuk memelihara
agama, nyawa, akal, nasab dan harta,” tambah kenyataan itu.
Oleh itu, kata mereka, hukum hudud tidak wajar dilihat secara berasingan
serta terpisah-pisah di antara satu bahagian dengan satu bahagian yang lain
di dalam perundangan Islam.
Sehubungan itu, kata mereka, semua individu dan organisasi perlu meneliti
secara terperinci usaha kerajaan Terengganu merangka draf rang undang-undang
jenayah syariah (Hudud dan Qisas).
Perlu tingkatkan penerangan
Sementara itu, Presiden PUM, Abdul Ghani Shamsudin, ketika dihubungi
menjelaskan sokongan itu dibuat sesuai dengan kenyataan Dr Mahathir itu yang
dianggapnya membawa kesan yang positif ke arah melaksanakan hukum syariah
Islam di negera ini.
“Kerana beliau (Dr Mahathir) telah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara
Islam maka kita mengisytiharkan menyokong draf undang-undang Jenayah Syariah
(Hudud dan Qisas) yang dirangka oleh Kerajaan Terengganu.
“Kita menyokong draf undang-undang itu sebagai membina pengisytiharan Dr
Mahathir yang merupakan sesuatu yang positif untuk masa depan negara,” kata
Abdul Ghani.
Sementara itu, Presiden Abim, Ahmad Azam Abdul Rahman ketika dihubungi
berkata Abim menyokong semangat pelaksanaan Hudud tetapi banyak lagi perkara
yang berkaitan dengannya yang perlu diperbaiki.
“Hudud adalah sebahagian kecil daripada syariah. Yang lainnya termasuk
bidang perbankan yang kini sudahpun diterima oleh semua pihak, termasuk
bukan Islam. Masalah sekarang ialah soal kefahaman, orang masih keliru
apakah yang dikatakan syariah dan apa yang dikatakan hudud.
“Penerangan mengenainya perlu dibuat sepertimana ketika memperkenalkan
sistem perbankan Islam dahulu. Ianya dibuat secara jelas dan bertahap,
manakala kakitangannya diberi latihan bersungguh-sungguh sehingga orang Cina
pun boleh menerimanya. Malah mereka mendalami pengetahuan mengenainya kerana
berminat,” katanya.
Kata Azam, sistem perbankan Islam yang juga sebahagian daripada syariah
Islam, dapat diterima masyarakat kerana proses penerangan dan kefahaman
mengenainya dibuat secara sistematik dan mendalam.
Oleh itu, katanya, gerakan yang sama perlu dilakukan untuk memperkenalkan
hudud dan ini memerlukan penglibatan ramai pakar dalam tempoh jangka pendek
dan jangka panjang.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Sign-up for Video Highlights of 2002 FIFA World Cup

Kirim email ke