Saya dan Zumrah telah bersiap sedia untuk menghadiri siasatan awam yang diumumkan oleh SUHAKAM yang akan berlangsung selama 3 hari bermula 18 Jun 2002 di Taiping. Pada hari-hari sebelum itu pihak peguam suami kami juga cuba mendapatkan makluman rasmi daripada mereka dengan menulis surat memohon penjelasan apakah ruang lingkup penyiasatan tersebut kerana dikatakan untuk menyiasat layanan terhadap tahanan. Petang Isnin itu kami diberitahu bahawa tempatnya adalah di Kuala Kangsar. Kami diminta menelefon Encik Nasir Hadi yang sudah pun berada di Kamunting untuk memastikan apa-apa sahaja mengenai siasatan ini. Saya dapat bercakap melalui telefon dan beliau memberitahu bahawa siasatan akan diadakan di Kelab Sukan Penjara Taiping dan beliau baru sahaja bertemu dengan tahanan dan menjemput saya hadir. Begitu kelam kabutnya SUHAKAM untuk memastikan tempat siasatan akan diadakan.
 
Walaupun hanya mendapat jawapan yang rasmi mengenai tempat dan masa siasatan diadakan, kami teruskan juga ke Taiping sejak pagi-pagi lagi pada hari tersebut. Kami menunggu sehingga pukul 10 pagi baharulah kelihatan rombongan SUHAKAM muncul. Kami dijemput untuk masuk ke dalam dewan tetapi diminta meninggalkan telefon, kamera, alat perakam di luar dewan dan mendaftar diri di buku yang disediakan. Kami agak kehairanan kerana sejak sejam kami berdiri menunggu, tidak dimanfaatkan untuk mendaftar dan untuk merekodkan setiap telefon bimbit pula memakan masa dan caranya juga tidak meyakinkan keselamatan barang-barang kami. Kami katakan kalau kita kena tinggalkan barang di supermarket pun ada kad sebagai bukti. Akhirnya pihak keselamatan hanya mengarahkan agar telefon dimatikan. Itupun kebiasaannya jika kami bertemu SUHAKAM di pejabat mereka di Kuala Lumpur. Betapa kelam-kabutnya permulaan hari pertama.
 
Proses Siasatan
 
Apabila ketiga-tiga pesuruhjaya duduk maka dibawa masuk seorang tahanan, berbaju biasa, berkepala botak dan bergari. Garinya hanya dibuka sebelum beliau duduk. Selepas itu beliau disuruh membaca satu kenyataan bersumpah bahawa beliau akan berkata benar. Maka Tan Sri Harun Hashim pun memulakan pertanyaan mengenai diri tahanan tersebut. Perbualan mereka mengambil masa lebih kurang 30 minit dan pada akhir sesi tersebut beliau memohon dibebaskan atau dihantar ke dunia ketiga.
 
Oleh kerana tahanan membelakangkan orang awam dan para wartawan maka agak sukar untuk mendengar apa yang dikatakan oleh tahanan. Selepas dua orang dipanggil, maka para wartawan memohon agar mereka dibenarkan duduk di sebelah kanan tahanan dan jika boleh diadakan alat pembesar suara agar segala percakapan dapat didengar. Lagi sekali siasatan ditangguhkan untuk menyiapkan alat pembesar suara.
 
Begitulah seorang demi seorang tahanan dibawa mengadap dengan diapit  oleh dua pegawai kem tahanan. Selepas tahanan pertama, tahanan seterusnya tidak lagi dibawa bergari. Mengapakah agaknya yang pertama tadi ‘tergari’? Pihak SUHAKAM tidak pun menjelaskan bahawa siasatan ini bebas dan tahanan tidak perlu takut untuk bercakap apa sahaja. Walau bagaimanapun, dengan kehadiran begitu ramai pihak polis Cawangan Khas dan pegawai-pegawai Kem maka secara semula jadi, tidak mungkin tahanan dapat bercakap dengan bebas. Apatah lagi bagi tahanan yang sudah begitu hampir tamat tempoh perintah tahanan, tidak mungkin mahu menanggung risiko bercakap sesuatu yang negatif terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas penahanan mereka.
 
Sekadar Melepaskan Batuk di Tangga
 
Pihak SUHAKAM menyatakan bahawa mereka tidak dapat memanggil semua 113 tahanan ISA kerana ini akan mengambil masa 6 bulan! Jadi mereka menyerahkan kepada setiap kumpulan tahanan menentukan dua orang sebagai wakil mereka. Tetapi menurut tahanan yang datang pada hari kedua, mereka diberitahu oleh pihak kem bahawa nama sekian orang tahanan telah ditentukan untuk bercakap. Ini sudah bercanggah dari apa yang dinyatakan oleh SUHAKAM. Mungkinkah ada pihak telah campurtangan? Maka saya dapat rumuskan, untuk menjalankan siasatan ini sahaja telah terdapat penafian hak  asasi. Lagipun setiap tahanan mempunyai pengalaman tersendiri yang berbeza dan tidak mungkin dapat mewakili tahanan yang lain. Mereka tidak diberi masa untuk bersedia hatta apakah gerangannya siasatan ini. Pada hari kedua baru ada tahanan yang membawa nota kecil atau menulis di tapak tangan! Itupun diambil kembali oleh pihak kem. Maka siasatan ini jelas bukan benar-benar untuk membela hak asasi mereka yang jelas telah dicabul oleh akta zalim ISA.
 
Sehari sebelum siasatan bermula Menteri Dalam Negeri telah mengumumkan bahwa kerajaan tidak akan memansuhkan ataupun mengkaji ISA. Maka apakah yang dapat SUHAKAM lakukan kalau begitulah amaran kerajaan? Mereka terpaksa lakukan siasatan ini sekadar untuk melepaskan batuk di tangga dan mungkin kerana tekanan pihak antarabangsa walaupun menurut mereka ini adalah kerana komitmen mereka untuk mengadakan siasatan selepas memorandum yang dihantar oleh GMI sempena Mogok Lapar yang dilancarkan oleh Tahanan Reformasi April lalu.
 
Oleh kerana SUHAKAM tidak memperjelaskan secara rasmi prosedur dan skop siasatan dan adalah dikhuatiri apabila sampai masa pihak yang bertanggungjawab menahan tahanan ISA iaitu Menteri Dalam Negeri dan polis Cawangan Khas tidak akan disiasat. Rupanya pada hari ketiga sahaja, SUHAKAM mengumumkan bahawa mereka akan buat susulan dengan pihak kem atau polis berkenaan aduan tahanan dan ini tidak akan dibuka kepada orang ramai. Maka dengan cara siasatan awal ini dijalankan sahaja sudah pun menghilangkan keyakinan dan kepercayaan kami bahawa hak asasi terhadap tahanan ISA terbela melalui siasatan ini.
 
Kami dan tahanan Reformasi tidak mahu terperangkap dengan sandiwara ini. SUHAKAM telah berganjak dari kenyataan asal yang dikeluarkan oleh pengerusinya sebelum ini iaitu Tan Sri Musa Hitam yang jelas menuntut agar semua tahanan ISA dibawa ke mahkamah untuk dibuktikan kesalahan mereka, jika tidak mereka mestilah dibebaskan segera. Inilah prinsip asas yang fundamental yang termaktub jelas dalam perlembagaan Malaysia.
 
Penahanan 60 hari yang diperuntukkan oleh ISA adalah zalim. Pihak polis Cawangan Khas telah menakut-nakutkan tahanan dalam keadaan tahanan dikurung berseorangan dan dinafikan hak mendapat khidmat peguam. Ini telah diceritakan dengan terperinci oleh suami saya dan kesemua 9 Tahanan Reformasi yang lain di dalam afidavit mereka kepada Mahkamah Persekutuan. Tuduhan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara sehari setelah penahanan dibuat adalah merupakan kenyataan politik. Tuduhan mengatakan mereka mempunyai bom, molotov cocktail, pelancar grenade dan bersenjata untuk menggulingkan kerajaan adalah palsu kerana mereka tidak sedikitpun ditanya semasa soal-siasat 60 hari. Tahanan tidak tahu menahu langsung itulah tuduhan rasmi yang dibuat oleh pihak kerajaan terhadap mereka. Ketua Polis Negara ‘tidak sempat’ untuk memberi’taklimat’ kepada pegawai penyiasatnya terhadap tahanan ISA April 2001. Tahanan-tahanan ISA adalah semata-mata tahanan yang mempunyai tujuan politik dan polis telah diperalatkan.
 
ISA telah disalahgunakan atas nama menjaga keselamatan negara. Anwar Ibrahim semasa ditahan pada September 1998 adalah di bawah Kanun Kesiksaan tetapi setelah beliau dibelasah teruk, tiba-tiba penahanan beliau ditukar pula menjadi di bawah ISA supaya pihak yang bertanggungjawab dapat menyembunyikan kecederaan yang telah diperlakukan terhadap beliau. Kini beliau menderita tetapi pihak kerajaan tidak sedikitpun memberikan hak perubatan yang beliau pilih sendiri yang jelas adalah hak beliau. Sungguh zalim kerajaan BN ini!
 
Hujah-hujah yang diberikan oleh pegawai penyiasat bahawa ISA ini perlu adalah tidak berasas. Ini telah didedahkan oleh suami saya di hadapan Lembaga Penasihat Kamunting dan boleh dibaca oleh orang awam dalam siri bukunya Suara Dari Kamunting. Antaranya ialah bertujuan untuk menyelamatkan orang dari menerima hukuman mati di tali gantung. Ada juga hujah yang diberi oleh penyiasat ini yang merupakan fantasi dan khayalan. Suami saya bertanya kepada Lembaga Penasihat, adakah kebenaran dan keadilan serta hak asasi manusia yang hakiki itu boleh dengan mudah sahaja dilentur dan dibentuk menurut telunjuk orang yang berkuasa untuk menggunakan kuasanya tersebut merampas hak asasi manusia sepertinya? Beliau hanya mengingatkan ayat Allah dari Surah Al-Mu’minun ayat 71 yang bermaksud;
“Kalau sekiranya kebenaran itu mengikuti hawa nafsu mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan apa-apa yang ada di dalamnya. Bahkan Kami telah datangkan kepada mereka peringatan (Al Qur’an), tetapi mereka telah berpaling daripada peringatan itu.”
 
Penyiasat juga menakut-nakutkan tahanan agar tidak mengambil khidmat peguam kerana ini hanya menghabiskan duit dan kalau ada peguam pun tidak akan menang. Perbuatan mereka adalah salah di sisi perlembagaan Malaysia tetapi mereka terlepas begitu sahaja. Berdasarkan aduan-aduan tahanan di hadapan SUHAKAM, tahanan-tahanan ini tidak tahu kenapa mereka ditahan. Mereka amat marah terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada mereka dan menafikan bahawa mereka dilabel contohnya sebagai KMM. Bagaimana tahanan ISA tidak marah kerana tuduhan yang dilemparkan telah memburukkan nama baik mereka dan maruah diri mereka? Pihak TV dan akhbar kerajaan pula tidak melaporkan perkara yang sebenar apa yang mereka katakan di hadapan SUHAKAM.
 
Hanya beberapa orang tahanan sahaja yang berani mendedahkan penyiksaan yang telah mereka lalui baik semasa tahanan 60 hari mahupun di Kem. Pihak Kem tidak dapat membantah apa-apa arahan kerana tahanan ISA adalah urusan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Cawangan Khas. Mendengar aduan mereka hati kami begitu pedih dan marah bagaimana ada di kalangan rakyat Malaysia kini masih terpaksa menanggung siksa yang amat dahsyat walaupun negara kita adalah negara ‘Islam’? Akhirnya apalah ertinya segala layanan baik yang kononnya akan dibela oleh Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia jika prinsip asas iaitu kebebasan mereka dirampas. Hidup manusia ini tidak akan ada ertinya jika mereka dipisahkan dengan zalim dari isteri, anak-anak dan keluarga yang mereka kasihi. Inilah fitrah kejadian manusia yang dijadikan oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Inilah penyiksaan yang paling berat bagi semua tahanan dan mereka hanya mahu dibebaskan bukan untuk mendapat layanan yang lebih baik.
 
SUHAKAM tidak jujur dan telus dalam siasatan ini dan langkah tahanan Reformasi tidak mengambil bahagian adalah wajar agar tidak bersubahat dalam sesuatu yang tidak jelas. Mereka ingin menyampaikan bantahan mereka melalui peguam mereka tetapi telah dihalang oleh Tan Sri Harun Hashim. Menurut beliau, peguam hanya boleh bercakap bagi pihak tahanan jika tahanan sendiri ada bersama. Apalah ada harapan lagi untuk rakyat jika Suruhanjaya Hak Asasi Manusia sendiri menafikan hak perlembagaan tahanan ISA untuk diwakili oleh peguam mereka di dalam siasatan yang Suruhanjaya itu sendiri anjurkan. Janganlah permainkan orang-orang yang dizalimi dan teraniaya ini. Ingatlah do’a-do’a orang yang dizalimi ini dimakbulkan Allah.
 
Bagi kami adalah jelas ISA adalah jenayah hak asasi manusia dan selagi ia wujud ia tetap mencabul hak asasi. ISA mesti dihapuskan dan tahanan mesti dibebaskan segera atau bawa mereka ke muka pengadilan untuk dibicarakan. Sudah lebih setahun suami yang kami kasihi dipisahkan dari isteri dan anak-anak. Bebaskanlah mereka dan jangan jadikan do’a kami yang dizalimi ini membinasakan pihak-pihak yang bertanggungjawab menyokong atau menggunakan ISA.
 
 22 Jun 2002
 
 
 
 

Kirim email ke