BUKTI Cucu PM Tengok Bahan Lucah

Utusan Malaysia 15 Julai 2001

Mahathir bimbang bahan lucah berleluasa

PUTRAJAYA 14 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangan terhadap bahan-bahan lucah yang berleluasa diedarkan kepada umum termasuklah ke peringkat kanak-kanak tadika. Menurut Dr. Mahathir, beliau terkejut dengan fenomena itu kerana maklumat tersebut diperoleh daripada cucu beliau sendiri yang menceritakan apa yang dilihatnya.

Remaja, kata beliau, amat mudah terpengaruh dengan filem-filem lucah kerana bagi mereka, ia adalah sesuatu yang misteri dan baru.

``Emosi mereka mudah dicuit sehingga mereka mungkin melakukan perkara tidak baik seperti merogol dan membunuh kanak-kanak berusia lima tahun,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian semasa berucap pada majlis Dialog Belanjawan 2002 Sesi Ketiga di sini, hari ini. Sejak kebelakangan ini, katanya, negara dikejutkan oleh banyak peristiwa di luar batasan kemanusiaan, terutama kes rogol, buang bayi, penderaan dan pembunuhan bayi.

``Lebih membimbangkan, peristiwa-peristiwa tersebut menjadi lebih kejam. Ia menunjukkan terdapat di kalangan masyarakat kita yang senang dipengaruhi oleh nilai-nilai negatif yang telah meruntuhkan akhlak dan sifat kemanusiaan.

``Ahli masyarakat perlu bersama berganding tenaga untuk mengutuk dan menghindari berlakunya lagi peristiwa-peristiwa seperti itu,'' katanya.

Dalam hal ini, ujar beliau, institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang berakhlak tinggi dan menghayati nilai-nilai murni kemasyarakatan.

``Kita tidak semestinya mengabaikan tanggungjawab kekeluargaan kerana semata-mata mengejar kemajuan. ``Ini akan hanya melahirkan ahli masyarakat yang memegang nilai-nilai menyimpang dari norma-norma nilai masyarakat sihat dan progresif,'' katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr. Mahathir berkata, isu utama yang ditekankan oleh badan-badan bukan kerajaan pada majlis dialog tersebut ialah peningkatan kes-kes jenayah kejam.

``Pembunuhan melibatkan sesama ahli keluarga tidak pernah berlaku sebelum ini dan begitu juga masalah penyalahgunaan dadah yang masih tinggi,'' katanya.

Perdana Menteri berkata, NGO juga meminta kerajaan memberi tumpuan kepada anak-anak yatim supaya mendapat asuhan serta perlindungan yang akan menjadi dinding kekuatan bagi mereka bila dewasa.

www.tranungkite.net


 



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Health - Feel better, live better

Reply via email to