HAIWAN EKONOMI SESAT BUDAYA: MUSA MOHAMAD - FAKTA DAN DATA PENGINGGERISAN
SAINS DAN MATEMATIK
Oleh : Kelana Bakti
Jawapan Musa Mohammad berhubung dengan dasar penginggerisan Sains dan
Matematik, jelas menampakkan wujudnya ketohoran minda serta kekalutan
persepsi. Penegasan Musa Mohammad, bahawa keputusan penginggerisan Sains dan
Matematik dikatakan berasaskan kajian dan pertemuan dengan ahli-ahli
akademik serta tokoh-tokoh pendidik adalah amat meragukan (Lihat Berita
Harian Online. 18/09/02). Dilaporkan Musa Mohammad juga berkata, "…mereka
yang terbabit dalam perbincangan dan pertemuan itu sebulat suara menyokong
penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik serta
memberi jaminan akan membantu menjayakan pelaksanaan dasar itu."
Persoalannya kenyataan ini hanyalah merupakan satu kenyataan Musa Mohammad
yang berkemungkinan terdedah kepada eksploitasi "helah bela diri,"
sebagaimana aliran berita dalam akhbar-akhbar utama yang menyiarkan "36 NGO
Melayu sokong" pada 25/08/02 yang kemudiannya dinafikan oleh Abdullah Ahmad
Badawi (The Sun. 26/08/02). Atau sebenarnya Musa Mohamad memperjelaskan lagi
akan kecelaruan persepsinya, sebagaimana kenyataannya yang menegaskan
pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik tidak boleh dicabar di mahkamah,
manakala di para yang lain beliau menyebut, "Oleh itu, kalau ada pihak yang
cuba mencabarnya (di mahkamah), kita akan pertahankan." (Utusan Online.
24/08/02)
Satu kenyataan yang cukup kontradik! Kalau tidak boleh dicabar, tentunya
tidak boleh di bawa ke mahkamah! Walhal peruntukan dalam Akta Pendidikan
1996, tidak pula memasukkan mana-mana fasal untuk menghalang Akta Pendidikan
1996 dari di cabar di mahkamah. Bukankah sejarah membuktikan bahawa Akta
Pendidikan 1961 (sebelum pindaan 1996) pernah di cabar di mahkamah berkait
dengan isu Universiti Merdeka? Bahkan hakikat sebenarnya tindakan
penginggerisan Sains dan Matematik itu sendiri bertentangan dengan pengisian
Akta Pendidikan 1996. Apakah Musa Mohamad bercakap berasaskan fakta dan
data? Musa Mohamad boleh sahaja mengatakan "…sebulat suara menyokong…"
kerana yang dibawa berbincang (?) itu adalah kesatuan-kesatuan guru yang
mana ahli-ahlinya adalah pegawai-pegawai kerajaan yang terpaksa akur dengan
segala dasar yang ditetapkan, lebih-lebih lagi mereka telah diancam dengan
"akujanji". Beranikah ahli kesatuan-kesatuan tersebut menentang atau
sekurang-kurangnya mengatakan "tidak?" Soalnya apakah sebenarnya berlaku
perbincangan sebagaimana yang dikatakan, atau hanya sekadar mengumpul ahli
kesatuan-kesatuan terbabit untuk mendengar taklimat dan kemudiannya di minta
membuat persetujuan?
Realiti ini ada kebenarannya kerana isu penginggerisan Sains dan Matematik
adalah isu yang digagaskan dengan ancaman dan ugutan, "Kerajaan ulangi
amaran akan guna akta hasutan" (Berita Harian Online. 24/08/02). Pernyataan
"…sebulat suara menyokong…" cukup subjektif sifatnya, tanpa adanya
penjelasan berhubung dengan mekanisme dan prosedur perbincangan dilakukan.
Dalam kebanyakan kes kesatuan-kesatuan ini lebih bertindak hanya sebagai
"cop getah" sebagaimana yang sering dilakukan oleh Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan (KPPK). Apa yang dikatakan perbincangan itu hanyalah
berkemungkinan satu formaliti sahaja. Begitu juga dikatakan "…ahli akademik,
tokoh pendidik…" soalnya siapa mereka? Musa Mohamad boleh sahaja menyebut
ahli akademik dan tokoh pendidik, soalnya sejauhmanakah "yang disebut" itu
benar-benar berwibawa sebagai ahli akademik dan tokoh pendidik? Apakah "yang
disebut" itu hakikatnya mereka yang benar-benar mendalami aspek transformasi
bahasa merentasi budaya penutur dalam pengungkapan pengajaran dan
pembelajaran? Apakah Musa Mohamad bersedia berbincang dengan Akademi Sains
Islam (ASASI) dan Persatuan Suluh Budiman? Apakah tidak mungkin ahli
akademik dan tokoh pendidik "yang disebut" oleh Musa Mohamad itu, hanyalah
segolongan pihak yang sememangnya bersifat "pengia?" tanpa mempunyai
pendalaman analisis terhadap keutuhan budaya bangsa jangka panjang? Apakah
tidak mungkin mereka "yang disebut" itu, terdiri dari kalangan individu
"haiwan ekonomi sesat budaya" yang hanya menilai segala bentuk kemajuan dan
pembangunan dari aspek fizik serta kepentingan material semata-mata.
Harus diingat, alasan bahasa Inggeris sebagai wadah kemajuan bangsa Melayu
hakikatnya tidak pernah terbukti, sebaliknya lebih banyak menimbulkan jurang
sosial (Haris Md. Jadi. 1990. Etnik, politik dan pendidikan. Kuala
Lumpur.Dewan bahasa dan Pustaka) Kenyataan Musa Mohamad amat celaru sekali!
Apa yang dipersoal umum adalah penginggerisan Sains dan Matematik, bukannya
soal untuk melahirkan pelajar bilingual, sebagaimana yang cuba ditonjolkan
oleh Musa Mohamad, "…seterusnya menjadi pelajar bilingual. (Berita Harian
Online. 18/09/02) Apakah jaminan Musa Mohamad bahawa pelajar-pelajar yang
mempelajari Sains dan Matematik akan bersifat bilingual? Atau dalam frasa
lain terdapat pula bayangan Musa Mohammad untuk melahirkan pelajar-pelajar
trilingual, "…supaya pelajar dapat menguasai kedua-dua bahasa Inggeris,
bahasa Melayu dan bahasa ibunda lain." Jika itu matlamatnya, apa kaitannya
dengan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris? Bukankah soal
mewujudkan pelajar bilingual atau trilingual, seharusnya dijana melalui
amalan berbahasa? Apakah pengajaran Sains dan Matematik akan benar-banar
memperkukuhkan amalan berbahasa Inggeris? Wal hal keadaan ini boleh dicapai
dengan memperkukuhkan kaedah serta prasarana pengajaran dan pembelajaran
bahasa Inggeris, umpamanya dengan memperluaskan skop pengajaran bahasa
Inggeris merangkumi pengenalan subjek English communication in practices dan
Creative thinking and mind explorer, sekadar sebagai satu contoh bagi
memahirkan pelajar meneroka dan menguasai bahasa Inggeris. Subjek-subjek ini
seharusnya tidak dibebankan dengan tuntutan peperiksaan, sebaliknya bersifat
pengamalan langsung yang dilakukan secara aktif.
Ternyata dalam kes cadangan penginggerisan Sains dan Matematik ini
memperlihatkan kerendahan kredibiliti Musa Mohamad sebagai Menteri
Pendidikan, terutamanya dalam mengeluarkan pelbagai kenyataan yang penuh
dengan kekeliruan! Musa Mohamad juga dikatakan (secara tersirat) bahawa
pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan dapat
mempertingkatkan pencapaian pelajar. Jika ini andaiannya, ternyata Musa
Mohamad cuba menyalahkan bahasa Melayu sebagai punca kelemahan pelajar dalam
kedua-dua subjek Sains dan Matematik. Apakah Musa Mohamad mampunyai data
kukuh untuk membuktikan akan hal ini? Juga, dikatakan oleh Musa Mohamad
bahawa penginggerisan Sains dan Matematik tidak mengancam kedudukan bahasa
Melayu. Dalam hal ini memperlihatkan kedangkalan corak berfikir Musa
Mohamad. Bukankah dengan menukar bahasa pengantar dari bahasa Melayu kepada
bahasa inggeris itu sendiri sudah merupakan satu ancaman kepada bahasa
Melayu? Bukankah secara tidak langsung menidakkan peranan bahasa Melayu
dalam proses penataran ilmu Sains dan Matematik? Dan ini bermakna
menghakiskan skala keyakinan terhadap kedudukan bahasa Melayu, bukan sahaja
sebagai bahasa kebangsaan, tetapi juga sebagai bahasa Ilmu.
Apakah dalam hal ini Musa Mohamad tidak percaya bahawa bahasa Melayu
mempunyai kekuatan sebagai bahasa Ilmu? Agak pelik bagaimana Musa Mohamad
gagal melihat unsur-unsur ancaman terhadap bahasa Melayu, bahkan dilihat
dari aspek pengajaran dan pembelajaran, sama ada di peringkat sekolah
rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi itu sendiri, telah
mengurangkan dengan ketara akan peranan bahasa Melayu dalam pengendalian
proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam subjek-subjek
berteraskan Sains dan Matematik. Bahkan kajian-kajian akademik, khususnya
dalam bidang Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu akan terus pupus.
Apakah jaminan Musa Mohamad bahawa kajian-kajian akademik seumpama, "Infeksi
Virus Hepatitis B di Malaysia: Dari Segi Biokimia dan Biologi Molekul,
Simbiosis Antara Sistem Nilai Dengan Tabii Matematik, Kesan Dadah Amina
Simpatomimetik dan Tirotoksikosis Eksperimental Pada Kontraksi Otot Skelet,
Diagnosis Pranatal Talasemia di Malaysia, Diseksi Immunositologik Sedimen
Urin Menggunakan Antibodi Monoklonal," akan terus wujud dalam medium
berbahasa Melayu, setelah bertukarnya bahasa pengantar Sains dan Matematik
ke dalam bahasa Inggeris? Dalam hal ini juga, sepatutnya Musa Mohamad dapat
mengimbas kesannya dari aspek perbendaharaan kata Sains dan Matematik dalam
bahasa Melayu yang akan terus menguncup dan akhirnya akan lenyap.
Begitu juga keadaannya dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, akan terus terpinggir dengan kewujudan dominan budaya sosial
berbahasa Inggeris. Keadaan ini sukar untuk dinafikan, bahkan dalam situasi
sosial bahasa Melayu yang sedia wujud pun, sindrom memperlekehkan bahasa
Melayu terus berleluasa, bukan sahaja di kalangan rakyat biasa tetapi juga
di kalangan mereka berpangkat. Lihat keadaan sekeliling, adanya Mid Valley
Megamall, Star Hill, KLCC, KL Central. Bahkan cuci kereta pun
disebut/dipaparkan sebagai "carwash." Dalam konteks kelangsungan pendidikan,
diperingkat peperiksaan awam UPSR, para pelajar akan mendudukan peperiksaan
dengan pengantar bahasa Inggeris untuk tiga subjek (sains, matematik dan
bahasa inggeris) hanya satu pengantar bahasa Melayu (bahasa melayu), SPM
aliran sains, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia
dan Biologi menggunakan pengantar bahasa Inggeris dan hanya tiga subjek
berpengantar bahasa Melayu (Bahasa Melayu, Pendidikan Islam/moral dan
sejarah). Realiti ini juga akan berterusan di peringkat matrikulasi yang
hanya menggunakan satu sahaja pengantar bahasa Melayu (Kertas Am), begitu
juga keadaannya di universiti, dengan hampir 1,000 kursus dalam bahasa
Inggeris, apakah ini dikatakan tidak menjejaskan/mengancam kedudukan bahasa
Melayu? Apakah ini maknanya bahasa Melayu masih lagi menjadi bahasa
pengantar utama dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan? Dalam beberapa kes,
menampakkan dengan nyata akan kekeliruan minda Musa Mohamad. Apakah ini
sebenarnya "standard" jawapan seorang menteri yang dikatakan bekas ahli
akademik?
Musa Mohamad sewajarnya menginsafi hakikat realiti yang berlaku terhadap
bahasa Melayu di Pulau Singa, sebagaimana digambarkan oleh Jamal Tukimin dan
dirakamkan oleh A.F Yassin, walhal bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Pulau
Singa tersebut. "Jamal melihat bahasa Melayu begitu terabai sejak sekian
lama. Jamal pernah mengalami momen-momen yang menyedihkan. Katanya dalam
majlis yang yang dihadiri oleh 100 peratus orang Melayu, masih juga orang
menggunakan bahasa Inggeris. Anak-anak muda Melayu tidak lagi petah
berbahasa.
Pada satu ketika Jamal hadir dalam pertemuan seniman dan budayawan Melayu
untuk membincangkan kegiatan seni di masjid, Jamal terpaksa "minta izin"
bercakap dalam bahasa Melayu. Sebabnya hampir semua budayawan Melayu dalam
pertemuan itu bercakap dalam bahasa Inggeris.
Katanya, "sebagai orang yang sudah berumur lebih 50 tahun, saya ragu-ragu
apakah saya masih berada di kalangan penutur bahasa Melayu? Atau dengan lain
perkataan, apakah saya tidak silap bahawa dikeliling saya hadir para seniman
dan budayawan Melayu." Pengalaman ini mencerminkan keadaan penggunaan bahasa
Melayu di kalangan orang Melayu." (Utusan Zaman. 15 September 2002)



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do you Yahoo!?
New DSL Internet Access from SBC & Yahoo!

Kirim email ke