KUANTAN: Kerajaan Pahang semalam mempersoalkan pembinaan sekolah di tiga perkampungan Orang Asli di Lipis yang menelan belanja RM24 juta tetapi gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru dan murid.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Omar Othman, berkata pembinaan sekolah itu, masing-masing setinggi empat tingkat berharga RM8 juta dan dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk makmal sains dan komputer sebagai pembaziran kerana ia belum dapat digunakan berikutan ketiadaan bekalan air dan elektrik.

Malah, katanya, ketiadaan jalan masuk ke perkampungan itu menyebabkan kos setiap sekolah yang sepatutnya antara RM2 juta hingga RM4 juta meningkat sehingga RM8 juta kerana semua bahan binaan diangkut dengan helikopter yang disewa khas dari Russia.

Tiga sekolah yang sudah siap itu, masing-masing di perkampungan Orang Asli Lenjan, Titom dan Lemoi, hanya menampung kira-kira 100 murid dengan empat guru. Difahamkan, bagi pembinaan sekolah itu, harga sekampit simen yang sepatutnya RM20 meningkat RM250 kerana diangkut menggunakan helikopter.

“Kementerian Pendidikan sepatutnya menyelaras projek pembangunan dengan agensi lain bagi memastikan ia memberi manfaat kepada kumpulan sasar. Seharusnya jalan dibina dulu kerana dapat mengurangkan kos membawa masuk bahan binaan.

“Selepas itu, lebihan peruntukan boleh digunakan untuk kemudahan asas lain, termasuk air dan elektrik. Malangnya, tiada perancangan dan penyelarasan, menyebabkan projek itu membazir," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya semalam.

Omar berkata, tiga kampung Orang Asli itu hanya boleh dilawati dengan berjalan kaki selama lapan jam atau menaiki helikopter. Malah, guru yang dihantar bertugas tidak pernah keluar dari kawasan berkenaan sehingga mereka ditukarkan selain ada yang langsung tidak mahu datang bertugas.

Beliau mendakwa, pegawai Kementerian Pendidikan juga tidak pernah melawat melawat kawasan itu walaupun menerima elaun 10 peratus kerana bertugas di pedalaman menyebabkan guru bersikap sambil lewa apabila mengajar.

"Selain tiga kampung Orang Asli itu, Pos Sinderot juga tidak ada jalan perhubungan sedangkan empat kampung terbabit adalah penempatan kekal yang dihuni lebih 4,150 penduduk," katanya.

Beliau berkata, masalah itu sudah dibangkitkan pada mesyuarat Lembaga Penasihat Kebangsaan Mengenai Orang Asli yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azmi Khalid.

"Pada 3 dan 4 April ini, saya mempelawa wakil Kementerian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Pembangunan Luar Bandar dan Pembangunan Tanah menyertai lawatan rasmi ke empat kampung itu.

"Kerajaan Pahang tidak menentang pembangunan di kawasan Orang Asli, tapi kemudahan canggih yang disediakan itu dianggap membazir kerana tidak digunakan sepenuhnya.

"Saya sendiri melawat kawasan itu dan dimaklumkan ada guru besar yang tidak datang bertugas selama dua tahun sejak ditukarkan ke situ kerana tidak sanggup tinggal di kampung berkenaan," katanya.

Omar berkata, kemunduran di kampung Orang Asli itu menyebabkan guru yang lama mengajar di situ turut terpengaruh dengan budaya hidup Orang Asli, termasuk berkahwin dengan masyarakat itu.



Do you Yahoo!?
Yahoo! Web Hosting - establish your business online

Kirim email ke