Saya kedekut, pernah balik kampung naik bas
Date: 01/11/2004

--------------------------------------------------------------------------------

Tan Sri (Hassan Marican - CEO Petronas) dikatakan seorang yang kedekut
dalam soal perbelanjaan Petronas. Betul ke?

HASSAN: Ya, saya kedekut (pelit). Tapi bukanlah dalam erti kata kedekut
sebenar. Cuma saya tidak suka melihat pembaziran. Kalau nak kena belanja,
walaupun RM10 juta, kalau kita kena belanja dan belanja betul, kita
belanja. Tapi kalau kita nak belanja RM10 tapi tak berfaedah, saya kata tak
perlu. Saya datang dari satu tempat dulu (semasa menjadi rakan firma audit
HRM) kita bagi pen dan pensel free kepada kakitangan buat kerja. Tapi kalau
depa mai nak ambil yang baru, dia kena bawa balik yang sudah habis dipakai.
Kalau dia tak bagi, saya bagi tahu kepada penjaga stor, jangan bagi. Kalau
tidak dia akan membazir. Saya guna amalan ini di Petronas.

Tan Sri buat macam itu di Petronas?

HASSAN: Falsafahnya sama. Kalau kita nak buat apa-apa sama ada RM1 atau
RM10 atau RM1 juta atau RM10 juta itu bukan relevannya, pertamanya anda
perlu justify (membuktikan) perbelanjaan itu adalah wajar dan membawa
faedah.

Saya mengaku saya kedekut, lagipun ia bukan duit saya, duit rakyat. Saya di
sini hanya sebagai pemegang amanah.

Di luar, Tan Sri seorang yang cukup sederhana. Walaupun antara CEO bergaji
paling tinggi di Malaysia, Tan Sri masih tinggal di rumah biasa berkembar
dua, mengapa?

HASSAN: Saya selesa, lagipun ia hanyalah sebuah rumah. Saya tinggal di
Ampang Jaya. Bagi saya ini semua sementara sahaja. Saya beli rumah itu 20
tahun lalu dengan harga RM240,000, tanah dia besarlah juga. Masa itu saya
di HRM. Arwah bapa saya dan arwah tok wan (datuk) saya selalu mengajar saya
jangan membazir dan jangan hidup menunjuk-nunjuk. Kita hidup sederhana
saja. Ini semua cara saya dibesarkan. Tok wan saya kastam (bea cukai) dan
bapa saya polis, bapa saya pun beli rumah teres (terrace-house, dempet sama
kanan kiri ada halaman di depan dan belakang) di Ampang Jaya sebelum dia
bersara sebagai pegawai polis.

Betul ke semasa Tan Sri berjawatan ini, Tan Sri pernah balik kampung di
Kedah naik bas?

HASSAN: Ya, saya pernah naik bas balik kampung. Apa salahnya. Isteri saya
pun naik bas ke Singapura. Ini semua atas diri kita. Kadang-kadang ada
orang tegur kerana kita makan di gerai (warung), tapi bagi saya apa
salahnya, bukan kita buat perkara-perkara yang tidak bermoral. Tidak
bolehkah kita jadi orang biasa? Di kampung kalau balik, saya naik Honda Cup
pak menakan (bapa saudara) saya punya, pakai kain dan kemeja-T keliling
sampai Semeling (dekat Merbok, Kedah) (ketawa).

Jadi inilah siapa Tan Sri sebenarnya. Kalau macam itu duit Tan Sri yang
banyak itu buat apa?

HASSAN: Apa sahaja kemewahan yang ada, saya letak tepi untuk pendidikan
anak-anak saya. Itu sahajalah yang akan mereka ada, pendidikan. Sama
seperti bapa saya buat, tak ada harta benda apa pun, pelajaran sahaja.

Tapi jika mengambil kira itu pun, duit Tan Sri masih banyak?

HASSAN: Yalah, kita laburlah (investasi) sikit sana sikit sini (ketawa).

Benarkah Tan Sri adalah CEO yang paling tinggi dibayar di Malaysia?

HASSAN: Persepsi kata Petronas bayar gaji tinggi sebenarnya tidak benar.
Jika dibandingkan dengan kakitangan kerajaan lain, tinggilah sikit. Malah
jika dibandingkan dengan naib-naib presiden saya gaji mereka tidak ke mana
berbanding pegawai-pegawai kanan di bank-bank tempatan.

Kalau ahli lembaga pengarah, dapat RM3,000 sahaja sebulan, itu pun saya
baru naikkan, sebelum ini hanya RM1,000 sebulan sahaja.

Pengerusi Petronas (yang dipegang oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Zainol
Abidin) hanya RM5,000 sahaja sebulan.

Saya pernah katakan kepada kakitangan saya, siapa yang sanggup berkhidmat
dengan Petronas ialah jenis orang yang luar biasa. Mereka ini, terutamanya
di peringkat senior mempunyai semangat nasionalisme dalam darah mereka.
Berkhidmat untuk negara. Saya datang dari sektor swasta, ada orang kata apa
bodoh sangat masuk kerajaan. Tapi saya kata ini adalah untuk negara dan
saya mendapat kepuasan kerana saya dapat bagi balik kepada negara. Cabaran
hari ini ialah untuk mendapatkan anak-anak muda dalam organisasi ini, untuk
berkongsi dengan jenis orang yang luar biasa itu. Kerana generasi muda ini,
dia semua nak cepat, nak tengok material.

Jika sekarang kita kakitangan dan dinaikkan pangkat sebagai naib presiden,
dia kena berhenti sebagai kakitangan Petronas dan masuk dalam skim kontrak
selama tiga tahun. Apa yang dia nikmati sebagai kakitangan dulu termasuk
faedah-faedah persaraan dalam KWSP dipindahkan ke skim kontrak.

Jumlah kakitangan Petronas, termasuk anak syarikat Malaysia International
Shipping Corporation Berhad (MISC) sekarang 20,000 termasuk luar negara
semua sekali 25,000.

Pada masa yang sama, saya juga ingin menafikan bahawa Petronas tidak pernah
menyiarkan penyata kewangannya. Walaupun, kami bukan syarikat senaraian
awam tetapi kami mengeluarkannya dan menyiarkan dalam laman web, bahan
bercetak yang kemudiannya diagih-agihkan. Petronas diberikan penarafan
kerana ia memudahkan kami membuat pinjaman untuk operasi.


Tan Sri ada jet Petronas, tapi jika menggunakan penerbangan komersial,
adakah Tan Sri turun gred ke kelas perniagaan (business class)?

HASSAN: Saya tidak turun gred ke kelas perniagaan, saya kekal di kelas
pertama (first class) kerana dua sebab. Pertama, saya boleh sampai ke
London dan terus bekerja, jadi saya nak ambil peluang untuk tidur dalam
pesawat, kedua, kedudukan yang saya bawa. Kalau tidak naik kelas pertama
dan naik kelas perniagaan orang akan perhati dan you adalah CEO Petronas,
ini soal imej dan persepsi orang, itu kena jaga juga.

Tapi jika saya pergi London atas urusan peribadi dan bersama keluarga,
mungkin saya pergi ekonomilah.

Tan Sri ini betul-betul kedekutlah?

HASSAN: Kalau nak kata kedekut, kedekutlah. Kita kena bagi tahu anak-anak
kita benda ini susah, bukan dapat mudah, dapat pi (pergi) London dan naik
kapal terbang itu sudah cukup baik. Ia adalah bagaimana kita membentuk
minda mereka, kalau tidak depa ingat kita dapat senang-senang saja. Anak
saya ada empat orang, dua masih kecil darjah (sd kelas) enam dan tingkatan
(sekolah menengah kelas) tiga, seorang di universiti habis tahun depan dan
seorang lagi dah kahwin.

Kita pernah nampak, Tan Sri bawa bungkusan dalam plastik ulam (lalapan)
dari rumah ke meja makan semasa berbuka puasa dengan para wartawan.
Nampaknya Tan Sri adalah peminat ulam?

HASSAN: Betul, saya suka makan ulam. Ulam raja, pucuk janggus (gajus),
pucuk putat. Saya tanam sendiri, pokok munggai pun ada di rumah. Di pejabat
setiap hari, saya makan nasi bekal. Isteri saya masak dan dihantar ke
pejabat. Kalau saya keluar makan tengah hari, habis banyak masa. Puas makan
makanan dari rumah, ada gulai ikan ka, dan macam-macam lagi, puaslah.
Kerana kadang-kadang kita pun ada macam-macam majlis dan makan malam yang
perlu hadir, jadi tengah hari kita ambil kesempatan makan lauk dari
rumahlah, sambal ikan kering mesti kena ada (ketawa).


Source :Utusan Malaysia - 31 Okt 2004




---------------------------------------------------------------------
To unsubscribe, send email to: [EMAIL PROTECTED]
Visit IAGI Website: http://iagi.or.id
IAGI-net Archive 1: http://www.mail-archive.com/iagi-net%40iagi.or.id/
IAGI-net Archive 2: http://groups.yahoo.com/group/iagi
Komisi Sedimentologi (FOSI) : F. Hasan Sidi([EMAIL PROTECTED])-http://fosi.iagi.or.id
Komisi SDM/Pendidikan : Edy Sunardi([EMAIL PROTECTED])
Komisi Karst : Hanang Samodra([EMAIL PROTECTED])
Komisi Sertifikasi : M. Suryowibowo([EMAIL PROTECTED])
Komisi OTODA : Ridwan Djamaluddin([EMAIL PROTECTED] atau [EMAIL PROTECTED]), Arif 
Zardi Dahlius([EMAIL PROTECTED])
Komisi Database Geologi : Aria A. Mulhadiono([EMAIL PROTECTED])
---------------------------------------------------------------------

Reply via email to