Lapor jika bank guna CTOS tanpa kebenaran SEREMBAN 6 Okt. - Orang ramai yang mendapati pihak bank menggunakan perkhidmatan Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) tanpa terlebih dahulu meminta kebenaran mereka diminta supaya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas berkata, sekiranya bank perdagangan di dapati telah berbuat demikian kerajaan tidak akan berkompromi untuk membawa mereka ke muka pengadilan. "Tindakan itu secara jelas telah membelakangkan kepentingan pelanggan dengan menggunakan CTOS tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran. "Saya telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) untuk membawa isu ini balik ke kabinet atau memberikan maklumat terkini mengenai CTOS kepada orang ramai," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Parti Progresif Penduduk (PPP) negeri di sini, hari ini. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan. Kayveas mengulas mengenai dakwaan orang ramai yang mendakwa terdapat sesetengah bank yang menggunakan CTOS tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran pelanggan mereka. Kabinet pada Julai lalu mengarahkan semua agensi kerajaan dan kementerian yang mengeluarkan pinjaman supaya tidak lagi menggunakan CTOS sebagai rujukan berkuat kuasa serta-merta.
