Assalamualaikum wrt wbt , Kepada mereka yang tak
berkesempatan membaca Ruangan Bicara Agama Mingguan
Malaysia 10 April 2005 tulisan Dato’ Dr Ismail
Ibrahim, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia ,
berikut ialah penulisannya yang saya dapati adalah
satu penulisan yang terbaik yang pernah saya baca
menggambarkan keadaan sebenar akhlak masyarakat
Malaysia terutamanya bangsa Melayu yang beragama
Islam. Tahniah kepada Dato’ yang ikhlas membicarakan
permasalahan ummah dan kepincangan sistem sedia ada
untuk renungan kita bersama.

Kehidupan malam KL dan UK

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM

SEORANG ibu yang saya temui semasa menyertai satu
program anjuran Jabatan Penuntut Malaysia London
minggu lepas, menyatakan bahawa anak remajanya yang
berada bersamanya di Manchester, tempat dia sedang
menyiapkan tesis doktor falsafahnya, tidak pernah
keluar rumah pada waktu malam semasa berada di sana.
Tetapi ketika kembali ke Kuala Lumpur masa cuti
baru-baru ini, anaknya itu boleh dikatakan setiap
malam meminta kebenarannya untuk keluar malam.

Di bandar raya tempat kediamannya di United Kingdom
(UK) tersebut, pada waktu malam tidak ada
``kehidupan'' di dalam bandar, atau di jalan-jalannya.
Kebanyakan kedai menutup pintunya sebelum menjelang
waktu maghrib, bukan kerana penjaganya hendak
bersembahyang maghrib, sebab kebanyakan mereka
bukanlah beragama Islam, tetapi kerana masa berniaga
di sana, hanyalah sekadar pukul 6 atau 7 malam.
Selepas itu kedai ditutup, tiada perniagaan lagi.

Itulah gambaran kehidupan malam di UK pada
keseluruhannya. Malah di kota raya London yang
terkenal dengan kesibukannya itu pun, kedai dan gedung
perniagaannya pada umumnya, menutup pintunya pada
pukul 6 atau 7 malam. Jalan raya yang terkenal dengan
syurga membeli-belahnya kepada para pelancong tempatan
dan luar negara, termasuk pelancong dari negara kita,
seperti Oxford Street, lengang menjelang malam, atau
lewat petang. 

Bagi sesetengah kalangan, hal ini menunjukkan
kemalasan orang putih untuk berniaga, tetapi bagi
orang-orang seperti ibu yang saya maksudkan di atas,
hal ini agak sihat di dalam masyarakat moden yang amat
canggih dan mencabar ini. Apa gunanya berniaga dan
mendapatkan keuntungan yang banyak, sekiranya hal itu
membawa kepada satu gejala yang dapat mengorbankan
nilai-nilai murni kehidupan, apa lagi bagi masyarakat
beragama seperti kita ini?

Sebab itulah, ibu yang saya sebutkan di atas,
menyatakan bahawa anak remajanya pada waktu malam di
rumahnya di UK, akan berada di rumah, menonton
televisyen, melayari komputer, membaca buku pelajaran
dan sebagainya. Atau kalau tidak ada apa yang hendak
dibuatnya, maka dia akan segera menarik selimut,
belayar dalam alam mimpi, terutamanya ketika berada di
dalam bilik yang dingin, pada musim sejuk. 

Tetapi ketika balik ke Malaysia kerana menghabiskan
cuti, kepala ibu menjadi pening, kerana hampir setiap
malam anaknya itu akan meminta kebenarannya untuk
keluar malam bersama kawan-kawannya. Di UK anaknya
mempunyai kawan sebaya juga, tetapi dia tidak pula
sibuk untuk keluar dengan rakannya itu, malah rakannya
juga tidak akan keluar pada waktu malam, kerana
seperti yang dinyatakan di atas, di sana tidak ada
kehidupan malam. Tidak ada restoran 24 jam, tidak ada
gerai yang menjual nasi lemak atau roti canai, dan
tidak ada gerai untuk mereka lepak-lepak berbual
sampai pagi, pukul tiga atau empat, sambil minum-minum
teh tarik atau Coca-Cola.

Di UK ibu remaja tersebut juga dapat menumpukan
perhatian sepenuhnya kepada kajian dan tesis Ph.Dnya
tanpa risau atau bimbang dengan keselamatan anaknya,
kerana anaknya berada di dalam rumahnya mulai dari
waktu senja sehingga pagi esok. Tetapi di Malaysia,
kalau anaknya tidak minta keluar pada waktu malam,
rakan-rakannya pula yang akan menelefonnya mengajak
keluar. Waktu yang dipilihnya untuk keluar malam itu
pula, bukan pada pukul 8 atau 9 malam, tetapi
kebanyakannya, pada pukul 10 atau 11 malam baru mula
nak pakai baju untuk keluar. Keluarnya pula bukan
sejam dua, tetapi sampai berjam-jam, kadang-kadang
menjelang azan subuh baru pulang keletihan dan
mengantuk. Ketika itu hanyalah bantal yang menjadi
temannya, dan segala azan atau subuh akan dibiarkan
berlalu begitu sahaja, kerana badannya terlalu letih,
dan matanya tidak mampu dibuka lagi. 

Apabila orang mulai tidur pada pukul 4, 5 atau 6
subuh, tentulah dapat dibayangkan pukul berapa baru
dia dapat bangun. Malah dapatlah juga dibayangkan
bagaimanakah beratnya kepala dan badan orang yang
bertindak demikian, kerana dia sebenarnya telah
melanggar sunah alam, iaitu kejadian siang dan malam
yang dijadikan Allah untuk tidur dan jaga.

Allah menjadikan malam untuk manusia berehat dan
tidur, dan siang ialah untuk berjaga dan bekerja,
kerana kejadian fizikal serta fitrah manusia pun telah
diprogramkan begitu oleh sunah alam, maka ketika
manusia menukar fitrah kejadian Allah itu,
kehidupannya tentulah tidak normal dan seimbang lagi.

Memang suasana sekeliling yang sebenarnya mencorakkan
kehidupan kita manusia ini. Di London tidak ada gerai
untuk kita melepak, tetapi di Bangsar atau Sri
Hartamas, terlalu banyak gerai yang menarik kehadiran
generasi tua dan muda untuk berjaga malam. Di London,
bar atau pubnya, kebanyakannya hanya dibuka sehingga
pukul 11 malam, tetapi di Bangsar dan tempat-tempat
lain, mungkin dibuka sehingga pukul 2 atau 3 pagi.
Kalau undang-undang mengatakan mereka boleh membuka
hingga pukul 2 pagi umpamanya, mereka cuba-cuba juga
membukanya hingga pukul 3 atau 4 pagi, kerana biasanya
pihak berkuasa tidak menghantar penguat kuasanya untuk
melihat sama ada para peniaga itu mematuhi peraturan
dan undang-undang yang dikuatkuasakan ataupun tidak.

Di London dan bandar-bandar lain juga di UK, orang
yang meminum minuman ringan atau arak, nampaknya
senyap-senyap saja di dalam kedai minuman, kerana
mereka tidak boleh membawa minuman itu keluar premis
yang ditetapkan. Tetapi di bandar ala Amerika atau New
York negara kita, semua orang yang berjalan di atas
jalan, dapat melihat orang meminum minuman keras atau
ringan di dalam kedai minum, atau kadang-kadang
kelihatan kelibat manusia berjalan, atau berarak di
tengah jalan dengan botol atau tin minuman keras di
tangannya.

Inilah suasana dan persekitaran yang merunsingkan
kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak remaja
sekarang ini di negara kita, seperti yang diceritakan
oleh ibu di atas, khususnya di bandar-bandar yang
telah dicorakkan sebegitu rupa, supaya kelihatan
seperti bandar koboi, atau yang bersuasana kota uncle
tom.

Bagi sesetengah golongan, mungkin hal ini tidaklah
merupakan isu besar yang merunsingkan. Apa salahnya
budak-budak muda itu keluar berhibur dan
sembang-sembang dengan rakan sebayanya sepanjang
malam, sambil minum teh tarik? 

Malah bagi sesetengah ibu bapa moden pun, mungkin
mereka beranggapan, apa salahnya anak-anak saya berada
di luar, sama ada di gerai minum Coca-Cola, atau di
kelab malam berhibur? Saya tahu anak saya berada dalam
kelab malam, dan dia selamat di sana, malahan dia
berjanji dengan saya akan balik ke rumah pada pukul 3
pagi, jadi apa yang hendak dirisaukan, dia berada di
tempat yang selamat, bukan di atas jalan?

Tetapi bagi ibu yang berada di Manchester itu, dia
mempunyai pandangan yang amat berlainan. Bila pulang
ke Malaysia, dia risau anaknya terpengaruh dengan
unsur jahat di luar, takut terlibat dalam permainan
jahat, cuba-cuba minum Coca-Cola atau air syaitan,
hisap itu atau hisap ini, hidu itu atau hidu ini, dan
takut juga bila keluar dari tempat minum, ditangkap
pula oleh jabatan agama Islam, bukankah malu
dibuatnya? Atau kalau tidak ditangkap jabatan agama
yang menjadi polis moral yang mengacau daun itu pun,
mungkin pula anaknya itu menumpang kereta mewah
kawannya, yang dipandu secara gila-gila, seterusnya
berlanggar dan mengorbankan nyawa anaknya itu?
Bukankah hal ini memeningkan kepala ibu tersebut?

Seterusnya dia takut pula, kesihatan anaknya
terganggu, kerana tabiat tidur dan jaganya tidak
mengikut fitrah kejadian dan biologikal manusia lagi,
yang pada jangka panjangnya tentu akan menyebabkan
mudarat kepada badan dan pemikiran, fizikal dan
mentalnya. Malah lebih dari itu, dia risau juga kerana
anaknya tak dapat sembahyang subuh, sebab bagaimana
nak bangun subuh, kalau pukul 3 atau 4 baru nak tidur?

Oleh itu, katanya, lebih baik dia tinggal di negara
orang putih ini saja. Tak payah risau dan susah hati,
tidak pening kepala dan tak perlu fikir yang
bukan-bukan, seperti yang dialaminya di Malaysia
ketika anaknya keluar malam dan tidak pulang-pulang
hingga dinihari. Dia sendiri tidak dapat tidur malam,
dan bukan hanya tidak dapat tidur, malah fikirannya
juga menjadi runsing dan buntu, mana nak fikirkan hal
tesisnya yang belum selesai, ditambah pula dengan
perilaku anaknya yang melampau itu. Kalau tidak
dibenarkan anaknya keluar di negara sendiri, nampak
macam tidak adil pula, tambahan pula dia balik bercuti
sekali-sekala sahaja, bukan selalu, dan peluang
anaknya berjumpa kawan-kawannya pula hanyalah semasa
balik cuti itu.

Saya hanya mendengar saja ceritanya itu, kerana saya
ke sana bukanlah sebagai pakar runding cara, atau
pakar motivasi. Tetapi terlintas juga di kepala saya,
takkanlah pula kita yang berada di negara sendiri,
beramal, beragama dan berbudaya serta berbudi bahasa,
akan lari ke negara Barat yang pesimis, negara orang
tidak beragama dan tidak beriman, malah negara yang
sentiasa kita anggap jahat itu?

Sehingga saya selesai menulis catatan ini, saya masih
tidak tahu, bagaimanakah keadaan yang kusut ini hendak
kita rungkaikan. Bagaimanakah kecelaruan perasaan hati
kecil seperti hati kecil ibu yang prihatin ini dapat
kita tolong redakan. Dia berkata juga bahawa dia takut
sekiranya pengalaman dan kerisauan ini berterusan,
mungkin satu hari dia akan mendarat di dalam klinik
psikiatri kerana mengalami penyakit kemurungan dan
tekanan jiwa yang hebat!

Namun kalau dia hendak terus tinggal di UK pula, dia
tidak akan dibenarkan berbuat demikian, kerana dia
sedang memakan wang universiti yang menyara dan
membelanjakannya untuk mendapatkan ijazah tinggi itu,
ertinya mahu tidak mahu, dia mestilah pulang ke negara
sendiri.

Oleh itu persoalan yang ditimbulkannya, apa mungkinkah
bila dia pulang nanti keadaan di sekelilingnya,
khususnya pada waktu malam akan berubah? Mungkinkah
cara hidup dan budaya kehidupan malam di negara
sendiri yang kelihatan tidak terkawal itu akan
mempunyai disiplin dan batas-batas tertentu yang tidak
memberikan ruang kebebasan yang begitu banyak kepada
generasi muda untuk mengubah sunah Allah dalam
memanfaatkan siang dan malamnya?

Saya berfikir, sekiranya pun hendak diadakan perubahan
yang radikal, maka siapakah pula yang akan mengadakan
perubahan itu? Jabatan agama? Kerjanya sebagai ``polis
moral'' tidak diperlukan lagi oleh banyak kalangan.
Akta moral? Akta itu telah didesak supaya dimansuhkan.
Ibu bapa? Ibu bapa pun, ada yang suka kehidupan dan
gaya hidup anak mudanya seperti itu. Jadi siapa? Hanya
Allah sahaja yang lebih mengetahui, wallahualam
bissawab.



 Layari  http://rozmal.blogspot.com



                
__________________________________ 
Do you Yahoo!? 
Yahoo! Mail - Helps protect you from nasty viruses. 
http://promotions.yahoo.com/new_mail


------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Would you Help a Child in need?
It is easier than you think.
Click Here to meet a Child you can help.
http://us.click.yahoo.com/0Z9NuA/I_qJAA/i1hLAA/wpWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke