Krisis Air Negeri Sembilan: Kemarau atau pengurusan
yang lemah?

Oleh : Dr. Rosli Yaakop

Musim kemarau dikatakan penyebab utama krisis air di
Negeri Sembilan khasnya di daerah Seremban. Krisis
sudah berpanjangan selama sebulan. Kini bekalan air
dicatu 24 jam. Kerana gangguan ini, penduduk Seremban
meminta rebat (diskaun) kadar bayaran air.

Reaksi Menteri Besar Negeri Sembilan dalam isu rebat
seperti dilaporkan dalam akhbar ialah "Buat apa nak
bagi rebat, pakai air bayarlah. Kita buat catuan air
supaya orang ramai lebih menghargai air." Seolah-olah
rakyat dipersalahkan dalam krisis air ini walhal yang
berkuasa menjaga urusan air ialah kerajaan negeri. 

Apa sudah jadi kepada kawasan hutan simpan yang
menjadi kawasan tadahan hujan di hulu Sungai Terip?
Apakah kerakusan menebang balak sehingga menjejaskan
kawasan tadahan hujan inilah yang menyebabkan krisis
air ?

Musim kemarau tidak berpanjangan. Tetapi, masalah air
di Negeri Sembilan sudah berlarutan sejak sekian lama.
Penduduk FELDA Palong, FELDA Sendayan dan LBJ, daerah
Rembau, Linggi dan banyak lagi tempat di serata negeri
sering menghadapi gangguan bekalan. 

Hakikatnya, sistem pengurusan air di Negeri Sembilan
amat teruk dan tidak efisien. Inilah tuduhan yang
dilemparkan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri
Lenggeng (lihat Berita Harian 12 Julai 2005). 

Kadar air hilang akibat kebocoran saluran paip adalah
yang tertinggi di Malaysia. Projek pemulihan bekalan
di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK7) gagal
disiapkan dengan sempurna. Ini menjejaskan pelaksanaan
pelan pembangunan pembekalan air dalam fasa-fasa yang
berikutnya. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Lenggeng yang mana empangan
Sungai Terip itu berada di dalam kawasan beliau
merungut: "Kalau tiga bulan hujan pun tidak mengatasi
masalah air, kerana air banyak terbuang berpunca dari
paip pecah." (Berita Harian 12 Julai 2005). 

Dari maklumat yang dapat dikumpulkan, ada alasan kuat
yang menunjukkan bahawa bukan kemarau yang menjadi
sebab utama kekeringan air. 

Kehilangan air di Seremban 54%...tertinggi di Malaysia


Sebab utama ialah kehilangan air atau apa yang
dipanggil Non-Revenue Water (NRW) yang kadarnya
dikatakan mencecah 54% di daerah Seremban, yang
tertinggi di Malaysia. 
 
Program pemulihan bekalan yang telah dilaksanakan
bertujuan untuk mengurangkan kehilangan air menemui
kegagalan walaupun wang mencecah ratusan juta ringgit
telah habis dibelanjakan. Inilah legasi Tan Sri Isa
Samad. Jururunding dibayar sampai RM9.5 juta dan enam
kontraktor telah dilantik melaksanakan projek
pemulihan bekalan air. Banyak paip yang bocor tidak
diganti. Duit rakyat hilang begitu sahaja, umpama air
yang keluar dari paip bocor.

Kerana diakui masalah bekalan air yang meruncing,
program pembangunan sektor pembekalan air mendapat
keutamaan di Negeri Sembilan mulai dari RMK7
(1996-2000) hinggalah ke tahun 2020. Khabarnya,
program ini dilaksanakan dalam tiga fasa: pertama,
Immediate Term Improvement (1996-2000), kedua, Medium
Term Improvement (2001-2010), dan ketiga, Long Term
Improvement (2011-2020). Soalnya, kerja fasa pertama
pun tidak siap dan terbengkalai, bagaimana fasa
seturusnya mahu dilaksanakan? 

Kenapa program pembangunan sektor pembekalan air
menjadi keutamaan? Pertama, permintaan yang dijangka
bertambah daripada 358 juta liter sehari (1995) kepada
826 juta liter sehari menjelang tahun 2020. Keperluan
dijangka bertambah dengan ketara di daerah Seremban
dan Port Dickson kerana pembangunan perindustrian,
perniagaan, perdagangan dan perumahan yang pesat di
kedua-dua daerah ini hasil kesan limpahan pembangunan
Putrajaya, KLIA dan MSC. Kedua, kerana Negeri Sembilan
mengalami kehilangan air paling tinggi di Malaysia. 

Oleh kerana telah dikenalpasti bahawa kehilangan air
amat tinggi di dua daerah, iaitu, 54% di daerah
Seremban dan 49% di daerah Port Dickson, maka prioriti
program di bawah RMK7 ialah membaikpulih dan menaik
taraf loji air di kedua-dua daerah. 


Penilaian Ketua Audit Negara 

Menurut penilaian Ketua Audit Negara, pelaksanaan
program pemulihan bekalan air di bawah fasa pertama
gagal. Pemasangan saluran paip baru dari jenis MS
hanya melibatkan jarak sepanjang 14.3 km. Kerja
penggantian paip AC dengan paip PE tidak dilaksanakan
langsung . Hanya 3 tangki air tambahan siap dibina
berbanding 9 yang sepatutnya dibina. Kerja pemulihan
hanya dilaksanakan di 3 zon di Seremban, iaitu, di
Senawang, Seremban Selatan dan Lenggeng berbanding 5
zon yang dirancang, Kerja pemulihan tidak dilaksanakan
di Bandar Seremban dan Nilai.  Kerja pemulihan di Si
Rusa dan penaikan taraf loji pembersihan air sungai
Linggi melibatkan kos RM68.75 juta. Kos keseluruhan
pelaksanaan kerja di bawah fasa pertama ialah RM132.28
juta (berbanding anggaran RM238.42 juta). Program
pembaikpulihan gagal dilaksanakan sepenuhnya. 

Inilah dia kesimpulan penilaian Ketua Audit Negara
(Negeri Sembilan 2002): "Pada pandangan audit,
pencapaian prestasi pelaksanaan adalah tidak
menggalakkan dan gagal memenuhi skop yang dirancang."
(ms. 120). 

Selanjutnya, juruaudit merumuskan bahawa  “...objektif
untuk mengurangkan kadar kehilangan hasil air
nampaknya masih kurang berkesan. Mengikut pendapat
audit, hasrat Jabatan untuk mengurangkan kadar
kehilangan air (NRW) menjadi 25% adalah sukar untuk
dicapai sekiranya peruntukan yang diluluskan tidak
menepati seperti yang dirancang." 

Kelewatan pelaksanaan fasa pertama menjejaskan
pelaksanaan fasa-fasa berikutnya. Oleh itu, jika
peruntukan secukupnya tidak diberikan kepada
membangunkan sistem bekalan air yang “reliable” dan
mampu memenuhi permintaan yang meningkat, bolehlah
diramalkan bahawa Negeri Sembilan akan terus dihantui
krisis bekalan air hinggalah ke tahun 2020 nanti. Duit
rakyat habis, tarif air semakin tinggi, airnya pula
kotor dan perkhidmatan bekalan jauh dari memuaskan. 

Tidak ada sesiapa yang berani minum air terus daripada
paip seperti yang kanak-kanak sekolah lakukan dalam
tahun 1960-70an dahulu. Yang menjadi mangsa adalah
rakyat. Sudah hampir lima dekad kita merdeka, sistem
bekalan air masih jauh dari memuaskan. 

Memang wajar pengguna meminta rebat kerana kerajaan
Negeri Sembilan gagal menguruskan bekalan air dengan
baik walaupun wang rakyat telah dibelanjakan. 

Dengar khabarnya, urusan bekalan air Negeri Sembilan
telah diswasta kepada sebuah syarikat berpengkalan di
Sarawak. Isa Samad pernah berjanji kepada rakyat
Negeri Sembilan tidak akan menswastakan urusan air di
Negeri ini. Apa dah jadi? Kalau benar urusan air
Negeri telah diswastakan, maka rakyat NS bersedialah:
poket anda akan dirompak. 

Air adalah keperluan asas dan tidak wajar samasekali
diletakkan di dalam tangan pemilik swasta - tidak
wajar dari segi ekonomi dan tidak wajar dari segi
keselamatan negara. Atas rasional ini, kerajaan
Singapura tidak menswastakan urusan air. Kalau
keperluan asas pun diswastakan, apa peranan kerajaan
untuk menjaga kebajikan rakyat. 
 
Dr Rosli Yaakop adalah merupakan Pesuruhjaya PAS
Negeri Sembilan dan AJK PAS Pusat. Beliau adalah juga
pakar ekonomi dan pernah menjadi pegawai kanan Bank
Negara Malaysia. 

Layari Blog PAS N.Sembilan di
http://pasns.blogspot.com



Sila layari Blog PAS N.Sembilan di http://pasns.blogspot.com
 
Untuk menyertai forum PAS N.Sembilan sila klik sini 
http://groups.yahoo.com/group/pasn9 

Untuk maklumat lanjut sila hubungi : 
Lajnah Penerangan dan Dakwah 
Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan 
Tingkat 2, Bangunan Tabung Haji, Ampangan, Seremban 
Tal : 013-3426346
e-mel : [EMAIL PROTECTED] 

“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”





                
__________________________________ 
Yahoo! Mail for Mobile 
Take Yahoo! Mail with you! Check email on your mobile phone. 
http://mobile.yahoo.com/learn/mail 


///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke