Di Sebalik Ancaman Islam Liberal
Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)

Sejak aliran pemikiran Islam Liberal dibongkarkan di
Malaysia pada pertengahan tahun 2004, umat Islam mula
memberi perhatian yang serius kepadanya. Ini adalah
petanda yang baik, membuktikan bahawa kita memang
prihatin kepada unsur-unsur yang mencemari dan menodai
ketulenan Islam. Akan tetapi di sebalik keprihatinan
tersebut, saya memerhatikan terdapat beberapa
pekembangan yang kurang sihat yang perlu diluruskan.
Di sebalik ancaman Islam Liberal, muncul
ancaman-ancaman baru yang jika tidak ditangani dari
awal, akan menjadi satu ancaman baru yang setaraf,
bahkan mungkin lebih hebat, dari ancaman Islam Liberal
itu sendiri.

JANGAN MUDAH MELABEL ISLAM LIBERAL.

Satu ciri yang tidak asing sesama umat Islam adalah
sikap “ringan mulut” dan “murah hati” dalam menuduh
dan melabel sesama kita. Label: “Si anu Ikhwan (Ikhwan
al-Muslimin)”, “si fulan Wahabi”, “mereka tareqat”,
“dia tu dulu orang Arqam” dan pelbagai lagi adalah
satu kebiasaan. Bahkan ia menjadi satu kelaziman bagi
orang yang kononnya “lebih sikit” agamanya. Ya!
Semakin beragama seseorang itu, semakin dia merasa
dirinya layak untuk melabel sesama umat Islam. 

Dengan terbongkarnya aliran “Islam Liberal”, golongan
yang suka melabel mendapat satu lagi peluru berpandu
yang dapat dilancarkan kepada sesama umat Islam. Apa
sahaja yang kelihatan terbuka pada ukurannya, itulah
Islam Liberal. Padahal ukuran terbuka dan tertutup itu
sendiri amat relatif, bergantung kepada kadar ilmu dan
kesahihan ilmu tersebut dalam diri masing-masing.

Saya kerap mendengar tuduhan Islam Liberal dilancarkan
ke sana sini, termasuk kepada diri saya sendiri.
Apabila saya bertanya: “Apa tu Islam Liberal?” Mereka
menjawab dengan agak terperanjat: “Ehh! Takkan kamu
tak tahu!” Saya membalas: “Istilah Islam Liberal biasa
saya dengar, tetapi apa dan bagaimana Islam Liberal,
itulah yang saya ingin tahu.” Di sini mereka lazimnya
terdiam beberapa saat, kemudian menjawab: “Yalah! Saya
pun dengar-dengar sahaja orang sebut Islam Liberal.
Apa dan bagaimana saya pun tak berapa pasti. Kamu tahu
ke?”

Jawapan di atas tidak terhad kepada label Islam
Liberal. Cuba tanya kepada orang-orang yang lazim
melabel sesama umat Islam sebagai Ikhwan al-Muslimin,
Haraki, Wahabi, Tabligh, Tareqat, pasti mereka tidak
akan mampu memberi jawapan yang terperinci berkenaan
apa dan bagaimana ciri-ciri yang ada di sebalik label
tersebut.

Di sini saya bukan ingin membenarkan aliran Islam
Liberal atau menegah para pembaca daripada bersikap
prihatin kepada Islam Liberal. Yang ingin saya
betulkan adalah sikap mudah melabel seseorang dengan
Islam Liberal mahupun dengan apa-apa label yang lain.
Sikap melabel sesama muslim dengan tujuan
memburuk-burukkan mereka tanpa bukti atau hujah adalah
sikap yang dilarang oleh Islam. Allah s.w.t.
berfirman, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu
puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan
merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana)
mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada
mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum
perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak
perempuan yang lain, (kerana) mungkin puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; 

Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban
setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu
panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan
gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut
menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,
maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada
seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah),
sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan
fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
[al-Hujurat 49:11]

Justeru jangan mudah melabel sesama umat Islam
melainkan kita sendiri mengetahui secara pasti apa
yang dimaksudkan oleh label tersebut. Pengetahuan
tersebut hendaklah berdasarkan dalil dan hujah, bukan
sangkaan dan prejudis. Jangan melabel semata-mata
kerana pendapat atau amalan seseorang itu berbeza
dengan apa yang kita tahu dan amalkan. Kerana mungkin
sahaja, yang dilabel itu lebih baik dan lebih benar
dari diri kita sendiri. [Lebih lanjut tentang sebab
kelahiran, apa dan bagaimana Islam Liberal, sila rujuk
artikel saya Membongkar Aliran Islam Liberal dalam
buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah,
Buku 1 (Jahabersa, Johor Bahru, 2004)].

Selain itu perlu dipertimbangkan sama ada sikap
melabel itu bermanfaat atau tidak. Jika seseorang itu
benar-benar salah berdasarkan ukuran dalil dan hujah,
maka prioriti yang pertama bukan melabelnya secara
negatif, tetapi mengajaknya untuk berdialog atas
tujuan saling menasihat dan menegur. Ingat! Kewajipan
kita ialah saling berpesan kepada kebenaran dan
kesabaran, bukan melabel kepada kefasikan dan
kerosakan:

 “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta
berpesan-pesan dengan sabar.” [Maksud surah al-Asr
103: 1-3]

JANGAN KERANA ISLAM LIBERAL, KITA MENJADI ISLAM MEGA
LITERAL.

Lawan kepada Islam Liberal adalah Islam Literal. Iaitu
Islam yang dihayati secara jumud, beku, sempit,
memberatkan, menakutkan dan membelenggu. Di sini ingin
saya tarik perhatian para pembaca kepada dua perkara
penting: 

Pertama, antara sebab lahirnya Islam Liberal ialah
sebagai satu tindakbalas meronta keluar daripada Islam
yang biasa diajar kepada kita sejak kecil, iaitu Islam
yang serba jumud, beku, sempit, kejam, memberatkan,
menakutkan dan membelenggu. Oleh itu dalam
keprihatinan kita kepada aliran Islam Liberal masa
kini, kita juga perlu prihatin kepada sebab yang
menghantar kepada lahirnya aliran tersebut, iaitu
Islam Literal. Dalam susun kata yang lain, dalam
rangka kita membetulkan aliran Islam Liberal, kita
juga hendaklah membetulkan aliran Islam Literal.

Kedua, setiap kali muncul pemikiran yang ekstrim ke
satu sudut, akan muncul tindakbalas yang melahirkan
pemikiran yang ekstrim ke sudut lain yang
menentangnya. Demikian juga dalam kes aliran Islam
Liberal, ia adalah satu pemikiran ekstrim yang
menelanjangkan Islam. Namun dibimbangi akan muncul
pula tindakbalas pemikiran ekstrim lain yang akan
membungkus Islam sebagaimana konkrit membungkus besi
dalam projek-projek pembinaan. Pemikiran ini akan
bersifat lebih literal (baca: Mega Literal) daripada
Islam Literal yang pada asalnya mengarah kepada
kelahiran Islam Liberal.

Berdasarkan dua poin di atas, hendaklah kita
meletakkan diri di pertengahan antara Islam Liberal
dan Islam Literal. Mudah cerita, hendaklah kita
berpegang kepada Islam yang tulen: Islam Original.
Iaitu Islam yang serba mudah, lapang, toleran,
dinamik, indah, penyayang, pemaaf, dan menggembirakan.
Tentu sahaja semua ini memerlukan ilmu yang sahih dan
pemikiran yang cemerlang, yang tidak dicemari dengan
unsur liberal mahupun literal.




__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 


///// JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/, dari seksyen "BORANG Online".

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke