Disertakan untuk perhatian semua...

Surat Terbuka Kepada Perdana Menteri Malaysia daripada Persatuan Peguam Syarie 
Malaysia (PGSM) Membantah Penggunaan Perkataan Allah oleh Penganut Bukan Islam
__________________________________


Tarikh: 2 Januari 2008

Y.A.B Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia
Jabatan Perdana Menteri
PUTRAJAYA

Assalamualaikum wrmth wbrkth

YAB Datuk Seri ,

BANTAHAN PENGGUNAAN PERKATAAN “ALLAH” OLEH PENGANUT AGAMA BUKAN ISLAM.

Kami menarik perhatian YAB terhadap perkara di atas, laporan akhbar dalam The 
Star bertarikh 31 Disember 2007 dan Permohonan Bagi Semakan Kehakiman No 
R2-25-407-07 yang difailkan oleh Jerry W.A. Dusing @ Jerry W. Patel & Sidang 
Injil Borneo di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan 
Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) boleh membuat 
undang-undang bagi menghalang penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang 
Islam. Berikutan itu kesemua negeri-negeri di Malaysia kecuali Wilayah 
Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak telahpun menggubal dan meluluskan 
undang-undang berkenaan. YAB sendiri telah menggesa keempat-empat negeri 
tersebut di atas berbuat sedemikian dan ianya telahpun dipersetujui oleh 
negeri-negeri berkenaan. Namun perkara tersebut masih lagi belum menjadi 
realiti . Tiada penjelasan langsung tentang kelewatan ini.

Bagi negeri-negeri yang telahpun mempunyai undang-undang tersebut, telah 
diperuntukkan adalah menjadi suatu kesalahan menggunakan istilah-istilah 
tertentu (termasuk menggunakan perkataan ‘Allah’) bagi kegunaan agama selain 
agama Islam.

Walaupun dari sudut penggunaan Bahasa Arab perkataan Allah itu merujuk kepada 
Yang Maha Pencipta, tetapi apabila ia disekutukan dengan perkara-perkara 
syirik, umat Islam di Malaysia tidak dapat menerimanya. Apatah lagi, umat 
Melayu/Islam sudahpun berada dalam keadaan keliru tentang agama mereka atas 
pelbagai faktor, dan sekiranya perkara ini dibenarkan maka umat Melayu/Islam 
akan bertambah-tambah keliru.

Perkataan “Allah” adalah berasal dari bahasa Arab. Sekiranya pihak Gereja ingin 
mengajar kanak-kanak Kristian yang berbahasa Malaysia, kenapa mereka tidak 
menggunakan perkataan Bahasa Malaysia iaitu Tuhan. Kenapakah untuk istilah ini 
diambil dalam Bahasa Arab. Sedangkan di Malaysia perkataan itu telah sebati 
bermaksud Allah azzajawalla. Lebih dahsyat lagi beberapa perkataan lain juga 
seperti “Baitullah”, “Kaabah” dan “Solat” juga hendak digunakan bagi merujuk 
kepada agama Kristian.

Jelaslah maksud yang tersirat disebalik permohonan mereka ini adalah untuk 
mengelirukan umat Islam yang telah lama menjadi sasaran Kristianisasi selama 
ini. Situasi di Indonesia adalah contoh terbaik bagaimana umat Islam begitu 
mudah di Kristiankan kerana segala perkataan yang berunsur Islam itu telah 
diserapkan ke dalam agama Kristian.

PGSM juga ingin merakamkan kekesalan yang amat sangat atas keputusan Kerajaan 
memperbaharui permit Herald –The Catholic Weekly dalam seksyen Bahasa Malaysia. 
Sekiranya tujuannya untuk menyebarkan agama Kristian kepada orang bukan Islam 
kenapakah tidak hanya dibenarkan dibuat di dalam bahasa ibunda masing-masing. 
Ini adalah kerana mengikut Perlembagaan orang Melayu adalah orang Islam.

PGSM menuntut agar Kerajaan bertegas melarang sebarang bentuk percubaan 
menggugat aqidah orang Islam di Malaysia dan mempertahankan kedaulatan Islam. 
Islam adalah jatidiri orang Melayu dan sama sekali tidak boleh diasingkan dari 
kehidupan harian.

Oleh yang demikian sebarang keputusan hendaklah juga mengambil kira kedudukan 
undang-undang, sensitiviti masyarakat arus perdana Islam dan juga apa yang 
telah sekian lama diamalkan.


Sekian. Wassalam.

“MELETAKKAN HAK KEPADA YANG BERHAK”

Yang benar,


Haji Zainul Rijal Abu Bakar, AMN
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)


      
____________________________________________________________________________________
Never miss a thing.  Make Yahoo your home page. 
http://www.yahoo.com/r/hs

Kirim email ke