Mutiara RIADHUS SHALIHIN

Mutiara 19 : Menyuruh Makruf, Mencegah Mungkar


(Bab 23 : Menyuruh Makruf, Mencegah Mungkar, Hadits RS184-RS197)





Allah Taala berfirman:



“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru
kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang
mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran, 3:104)



“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia,
menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar.” (Ali
Imran, 3:110)



“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian
mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka
menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar.”
(At-Taubah, 9:71)



Ayat-ayat lain : Al-A’raaf, 7:199; Al-Maa-idah, 5:78-79; Al-Kahfi, 18:29; 
Al-Hijr, 15:94; Al-A’raaf, 7:165.





Orang-orang beriman mengambil berat makruf yang diperintahkan oleh
Allah s.w.t. dan kemungkaran yang ditegah. Mereka sedaya upaya
melakukan kewajipan yang telah ditetapkan ke atas mereka dan sekuat
hati cuba meninggalkan apa-apa yang terlarang. Perintah dan larangan
Allah ini tidak terhad untuk diri mereka sahaja, tetapi juga keluarga,
masyarakat, negara dan dunia umumnya. 



Orang-orang yang beriman tentunya tidak akan senang hati selagi makruf
tidak dilakukan dan kemungkaran berleluasa di luar sana. Mereka
berusaha untuk membenteras kemungkaran dan menegakkan makruf,
bersendirian maupun berkerjasama dengan orang lain. 



M52. Dari Abu Said al-Khudri r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. 
bersabda:



"Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, ubahlah dengan
tangannya; jika tidak mampu, ubahlah dengan lidah dan jika tidak mampu
juga, ubahlah dengan hati. Ini adalah selemah-lemah iman. (RS184;
Muslim)



M53. Dari Ibnu Mas'ud r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:



"Tiada seorang nabi yang diutuskan Allah sebelumku melainkan ia
mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat setia yang mengikuti
sunnah dan mentaati perintahnya. Kemudian timbul selepas mereka
pengganti yang suka mengatakan apa yang mereka tidak lakukan dan
melakukan apa yang tidak diperintahkan.



Sesiapa yang menentang mereka dengan tangannya, ia mukmin; sesiapa
yang menentang mereka dengan lidahnya, ia mukmin dan sesiapa yang
menentang mereka dengan hatinya, ia juga mukmin. Selain dari itu, tidak
ada iman walau seberat biji sawi.” (RS185; Muslim)



M54. Dari An-Nu'man bin Basyir r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:



"Perumpamaan orang yang menegakkan hukum Allah dan orang yang
menjerumuskan diri di dalamnya seperti satu kaum yang membahagikan
tempat dalam sebuah kapal. Sebahagian berada di atas dan sebahagian
lagi di bawah. Apabila orang-orang yang berada di bahagian bawah
memerlukan air mereka naik ke atas, tentunya menyusahkan mereka. Mereka
berkata: ‘Bagaimana kalau kita membuat lubang di bahagian bawah kita
ini (untuk mendapatkan air), dengan itu tidak mengganggu orang yang
berada di atas?’ Sekiranya orang-orang di atas membiarkan sahaja orang
di bawah berbuat begitu, tentulah semua akan karam. Kalau mereka
mencegah, semua terselamat.” (RS187; Bukhari)



M55. Dari Abu Said Al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda: 



"Jauhilah dari duduk-duduk di jalan-jalan." Para sahabat berkata:
"Ya Rasulullah, kami tidak dapat meninggalkan tempat itu kerana mahu
berbual-bual.” Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Jika kamu enggan
meninggalkannya, berilah hak jalan.” Mereka bertanya: "Apakah hak jalan
itu,ya Rasulullah?" Baginda bersabda: "Pejamkan mata, tidak mengganggu,
menjawab salam, menyuruh makruf dan mencegah mungkar.” (RS190; Bukhari,
Muslim)



M56. Dari Hudzaifah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda: 



"Demi Dia yang jiwaku di tanganNya, hendaklah kamu menyuruh makruf
dan mencegah kemungkaran . Kalau tidak, Allah akan menurunkan siksaan
kepada kamu. Kemudian kamu berdoa kepadaNya tetapi tidak akan
dikabulkan." (RS193; Tarmizi)



M57. Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:



"Seutama-utamanya jihad ialah kalimat menuntut keadilan di hadapan penguasa 
yang menyeleweng." (RS194; Abu Daud, Tarmizi)

www.riadhusshalihin.blogspot.com


      

Kirim email ke