Guru : Terjamin atau tiada masa depan? BEBERAPA kajian luar negara mendapati 
faktor pemilihan kerjaya perguruan boleh dikategorikan kepada dua, iaitu 
intrinsik dan ekstrinsik.
 
Salah satu faktor instrinsik yang dikenal pasti ialah ingin berbakti kepada 
negara dan bangsa (Chuen et.al. 1999), suasana kerja yang menyeronokkan (Brown 
1992) dan untuk memanfaatkan ilmu pengetahuan serta berpeluang melanjutkan 
pelajaran (Thomas 1984).
 
Mengikut kajian Yong (1994), Chuen et al. (1999) dan Yee (1990) faktor 
ekstrinsik seperti jaminan kerja, gaji dan prospek masa depan serta peluang 
kenaikan pangkat ditemui dalam kajian tentang pemilihan kerjaya perguruan di 
kalangan guru sekolah.
 
Penulis ingin memfokuskan kepada faktor jaminan kerja sebagai antara punca 
tarikan pelajar lepasan SPM, STPM, matrikulasi, diploma mahupun ijazah untuk 
menjadikan bidang pendidikan dan profession keguruan sebagai pilihan utama 
dalam kerjaya. Apabila Kerajaan mengumumkan penghapusan jaminan penempatan guru 
pelatih dan peralihan kepada ‘Sistem Terbuka dalam Latihan Guru’ dalam 
Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015), penulis tertanya-tanya di manakah 
rasionalnya?
 
Sedangkan di antara intipati RMK-10 ialah menjadikan profession keguruan 
sebagai pilihan utama dalam kalangan siswazah cemerlang. Sekiranya tiada lagi 
jaminan penempatan guru bagaimana mungkin dasar ini dapat menarik minat 
golongan sasaran tersebut.
 
Disini penulis ingin lontarkan persoalan yang perlu diperjelaskan secara 
terperinci oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Apakah dengan 
mengubah dasar daripada jaminan penempatan guru pelatih kepada sistem terbuka 
dalam latihan guru ini adalah salah satu usaha untuk meningkatkan daya tarikan 
keguruan dan meningkatkan kualiti guru baru secara signifikan seperti yang 
dinyatakan di dalam RMK-10? Bagaimana pula dengan masa depan bakal-bakal guru 
di seluruh IPTA dan IPTS pada masa akan datang?
 
Kebelakangan ini kedengaran rintihan dan keluhan graduan Ijazah Sarjana Muda 
Pendidikan (ISMP) di seluruh IPTA dan IPTS negara mengenai masalah penempatan 
mereka. Persoalan timbul mengenai status sebenar graduan ISMP berikutan 
kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Menteri 
Pelajaran bahawa penambahan jawatan baru dibekukan bagi mengurangkan defisit 
negara.
 
"Defisit kita boleh uruskan dan kita telah tunjukkan kita telah dapat 
kurangkan. Bermakna itu tidak harus jadi satu perkara yang membimbangkan. Tapi 
ada langkah dibuat untuk mengurangkan (defisit), umpamanya penambahan jawatan 
baru dibekukan."- Sumber: Malaysiakini
 
Penulis berpendapat tindakan kerajaan membekukan jawatan baru melibatkan juga 
pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah sehingga 31 Ogos 2011 dan dilanjutkan 
pula ke 31 Disember 2011 perlu dikaji semula. Ini kerana bilangan guru di 
sekolah rendah dan menengah sentiasa tidak mencukupi setiap tahun.
 
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Zakariah 
Kasa pernah berkata sememangnya negara kita masih mengalami masalah kekurangan 
guru walaupun setiap tahun pengambilan pelajar di IPTA atau IPG dilakukan. 
Menurutnya, pengambilan pelajar dalam bidang perguruan berdasarkan unjuran yang 
dikeluarkan Kementerian Pelajaran. 
 
"Untuk bakal guru di sekolah menengah, mengikut unjuran kementerian, seramai 
4,500 pelajar akan mengisi kekosongan di seluruh IPTA tahun ini."Daripada 
jumlah itu, UPSI akan menerima 2,500 pelajar dan semuanya akan mengisi 
kekosongan jawatan guru untuk empat tahun akan datang," katanya. Sumber: Harian 
Metro
 
Selain itu Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi juga telah 
mengumumkan penyerapan lebih 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).
 
“Mereka akan dilantik semula mengikut syarat seperti usia tidak melebihi 35 
tahun pada 31 Disember 2010 dan sudah berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun 
berturut-turut sebagai GSTT” Sumber: Berita Harian
 
Tindakan KPM mengutamakan GSTT yang hanya berpengalaman mengajar selama 3 tahun 
mengisi jawatan kekosongan guru di seluruh negara, pada pandangan penulis 
adalah kurang tepat sedangkan graduan ISMP yang menuntut ilmu perguruan selama 
4 tahun di IPTA dan IPTS diabaikan dan tiada jaminan .
 
Mengikut maklumat terkini KPM bertarikh 15 September 2011, KPM telah melantik 
semula 6,280 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) manakala seramai 4,433 
dikenal pasti tidak memenuhi syarat dan seramai 7,258 orang lagi masih menerima 
surat perlantikan semula sehingga akhir Julai lalu.
 
Kementerian juga dalam proses untuk menyerap guru GSTT yang masih dalam kontrak 
dan sudah bertugas lebih tiga tahun ke jawatan guru tetap melalui Kursus 
Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC).
 
Masalah timbul apabila GSTT diserap melalui KDC. Sekiranya kita rujuk kembali 
Akta Pendidikan 1996, GSTT diberi kebenaran untuk mengajar di sekolah melalui 
peruntukan kuasa Ketua Pendaftar. Sila rujuk Bahagian IX Pendaftaran Guru, Bab 
2 - Permit Mengajar, di bawah seksyen 114. Pengeluaran permit mengajar. (c) 
seseorang yang diperlukan untuk bertindak sebagai guru untuk sementara.
 
Apabila GSTT diserap ke jawatan KDC penulis berpendapat bahawa tindakan 
tersebut menyalahi kuasa Ketua Pendaftar kerana seksyen 114 (c) menyebut secara 
jelas bahawa pengeluaran permit mengajar hanya untuk sementara. GSTT yang 
diserap ke jawatan tetap melalui KDC masih belum lagi mempunyai kelayakan untuk 
mengajar tetapi boleh berdaftar sebagai guru. Ini jelas bercanggah dengan 
peruntukkan kuasa Ketua Pendaftar yang berhak untuk enggan mendaftarkan 
seseorang sebagai guru sekiranya tidak mempunyai kelayakan untuk mengajar atau 
mempunyai kelayakan yang pada pendapat Ketua Pendaftar tidak mencukupi bagi 
maksud itu. Sila rujuk Bahagian IX Pendaftaran Guru, Bab 1 Pendaftaran Guru di 
bawah seksyen 106 (b).
 
Terdapat isu graduan ISMP di IPTS yang tidak diterima permohonan untuk 
perlantikan guru sektor awam. Sekiranya kita lihat kembali antara intipati 
Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pendidikan.
 
EPP 4: Mengembangkan Latihan Guru Swasta
 
Unjuran masa kini menunjukkan bahawa institusi awam tidak mempunyai kapasiti 
yang mencukupi untuk memenuhi permintaan guru baru setiap tahun. Daripada 
melabur dengan banyaknya untuk menambah kapasiti di Institut Pendidikan Guru 
(IPG), NKRA Makmal Kualiti Guru meluluskan liberalisasi pasaran untuk 
memasukkan pengusaha swasta bagi mempertingkatkan persaingan. Oleh itu, EPP ini 
telah direka bentuk untuk menyokong pelaksanaan inisiatif ini.
 
Kami akan membenarkan pengusaha swasta menyediakan latihan pra-perkhidmatan dan 
dalam perkhidmatan untuk guru sekolah rendah dan menengah. Pengusaha swasta 
akan bertanggungjawab untuk menentukan bidang subjek khusus mereka (contohnya, 
Bahasa Inggeris atau pendidikan khas), dan jenis model perniagaan yang akan 
digunakan (contohnya, secara bersemuka, e-pembelajaran, model campuran). 
Bagaimanapun, mereka mesti mematuhi standard kualiti seperti yang telah 
ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan MQA untuk latihan guru dan mesti 
mencari sumber pelaburan modal dan kakitangan sendiri.
 
Bagi pihak Kementerian Pendidikan, kami akan membuka ruang untuk pelantikan 
guru sektor awam dari kalangan graduan institusi-institusi ini (IPTS), tidak 
kira jika mereka ditaja oleh kami ataupun tidak.
 
Di sini secara jelas dasar KPM untuk mengembangkan latihan guru swata dalam 
NKEA Pendidikan bagi memenuhi permintaan guru baru setiap tahun. Oleh itu isu 
ini sepatutnya tidak timbul.
 
Kita lihat sistem pendidikan di negara maju seperti Jepun yang berhasil 
merombak dan memajukan minda masyarakatnya melalui pendidikan dengan mengambil 
beberapa langkah progresif. Antaranya ialah kerjaya guru diberi perhatian 
serius oleh Kerajaan Jepun dengan menjamin dan mempercepatkan penempatan 
bakal-bakal guru bagi mengelakkan masalah kekurangan tenaga pengajar. Rujuk 
kembali kajian bertajuk The InstitutionS of Education: A Comparative Study of 
Educational Development in the Six Core Nations by William K. Cummings (2003).
 
Sewajarnya KPM yang diperuntukkan sejumlah dana yang begitu besar untuk sektor 
pendidikan iaitu RM50.2 bilion melalui Belanjawan Negara 2012 yang lepas, 
menyelesaikan segera isu penempatan lebih 7,000 graduan ISMP. Penulis percaya 
isu ini boleh dipercepatkan sekiranya digunakan tidak sampai satu peratus pun 
daripada dana pendidikan tersebut bagi membiayai kos penempatan bakal guru.  
 
Penempatan segera graduan ISMP bukanlah satu pilihan akan tetapi ianya satu 
keperluan yang mendesak berikutan bebanan tugas guru-guru senior akibat 
kekurangan guru di seluruh negara
 
Graduan ISMP UPSI     
 
http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/5903-guru-terjamin-atau-tiada-masa-depan


------------------------------------

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Sila ke "JIM E-Bazaar" untuk membeli belah, membayar yuran program dan 
menyumbang untuk dakwah, di http://www.jim.org.my/e-bazaar/

Untuk melanggan Islah-Net, hantar e-mail ke islah-net-subscr...@yahoogroups.com
Untuk menghentikan langganan, hantar e-mail ke 
islah-net-unsubscribe@yahoogroups.comYahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    islah-net-dig...@yahoogroups.com 
    islah-net-fullfeatu...@yahoogroups.com

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    islah-net-unsubscr...@yahoogroups.com

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Reply via email to