Audit beri amaran selenggara segera bumbung Stadum Nasional elak runtuh - KUALA 
LUMPUR, 24 Okt 2011 - Bumbung Stadium Nasional Bukit Jalil, pusat sukan yang 
menjadi lokasi nadi Sukan Komanwel 1998, telah tamat tempoh jaminan tiga tahun 
lalu dan memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan segera demi keselamatan dan 
keselesaan pengguna, kata laporan Ketua Audit Negara 2010. 
 
“Semakan Audit mendapati bumbung stadium tersebut telah tamat tempoh jaminan 
pada 2008 dan masih digunakan sehingga kini.
 
“Sebahagian besar bumbung didapati telah terkoyak dan skru kabelnya longgar dan 
berkarat,” kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya 
dikeluarkan hari ini.
 
Katanya, masalah itu antara lain berpunca daripada kelewatan dan ketiadaan 
kelulusan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.
 
Selain Stadium Nasional, Stadium Putra Bukit Jalil juga berhadapan dengan 
masalah mendapatkan peruntukan.’
 
Tanpa merujuk kepada mana-mana kes sebelum ini, Ambrin berkata tindakan segera 
perlu diambil bagi mengelakkan insiden bumbung stadium runtuh.
 
Terengganu menyaksikan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh dua 
tahun lalu.
 
Stadium Nasional Bukit Jalil ialah pusat sukan dan bangunan sukan paling 
terkenal di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil. Ia mempunyai tempat duduk 
berbumbung untuk 100,000 penonton.
 
Maklumat sebelum ini menunjukkan ia mampu menganjurkan pelbagai acara dan juga 
sebagai tempat acara olahraga dan telah direka bentuk mengikut piawaian 
Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik dan mempunyai kemudahan padang dan trek.
 
Ambrin berkata pihak Audit berpendapat berlaku kelewatan melaksanakan 
kerja-kerja penukaran bumbung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang telah tamat 
tempoh jaminan kerana peruntukan yang dimohon semenjak 2006 tidak diluluskan.
 
“Ini boleh menjejaskan keselesaan pengguna kerana terdesah kepada hujan serta 
membahayakan pengguna sekiranya berlaku bumbung runtuh terutamanya bagi 
penganjuran acara dan kejohanan peringkat antarabangsa.
 
“Selian itu, PSM perlu membuat perancangan rapi untuk kerja penukaran bumbung 
tersebut supaya kerja dapat dilaksanakan dengan teratur dan mengikut jadual 
yang ditetapkan.
 
“Ini bagi memastikan hasil penyewaan stadium tidak terjejas sekiranya berlaku 
kelewatan penukaran bumbung,” kata beliau.
 
Laporan itu menyebut Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah mengambil tindakan 
memohon peruntukan bagi mengatasi masalah itu dengan membuat enam permohonan 
dan telah dipanjangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan mulai 2006 hingga 2010
 
PSM telah membuat dua permohonan tahun lalu, RM40 juta pada 8 Februari dan RM35 
juta 20 September di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan.
 
“Bagaimanapun kerajaan telah meluluskan peruntukan sejumlah RM30 juta di bawah 
Rancangan Malaysia Kesembilan pada bulan Disember 2010.
 
“PSM melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyerahkan pelaksanaan kerja 
penukaran bumbung stadium kepada Jabatan Kerja Rayat pada April 2011 kerana PSM 
tidak mempunyai kepakaran teknikal,” katanya lagi.
 
Ambrin berkata kelewatan bukan disebabkan pihak PSM kerana perbadanan telah 
memulakan tindakan awal mulai 2006 bagi mengatasi masalah yang timbul.
 
“Kelewatan juga adalah berpunca daripada pihak lain dan disebabkan kekangan 
kewangan kerajaan adalah faktor utama kelewatan ini berlaku. PSM selaku 
pengurus dan pentadbir Kompleks Sukan Negara telah melaksanakan tugas dengan 
melaporkan masalah yang dihadapi,” katanya lagi.
 
Malah katanya, semakan lanjut mendapati PSM telah memohon peruntukan bagi 
menukar bumbung Stadium Putra sebanyak empat kali, antara 2006 dan 2010, tetapi 
tidak diluluskan.
 
“Pada Mac 2010, PSM sekali lagi telah memohon peruntukan sejumlah RM6 juta di 
bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10. Kerajaan telah meluluskan permohonan 
sejumlah RM6 juta pada Januari 2011,” katanya.
 
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/audit-beri-amaran-selengara-segera-bumbung-stadum-nasional-elak-runtuh/
 

Reply via email to