Anak sulung berhenti sekolah akibat kemiskinan. 
CAMERON HIGHLANDS 31 Okt 2011 : Akibat kesempitan hidup, seorang pekerja kebun 
sayur di Kampung Melayu, Brinchang, di sini, terpaksa memberhentikan 
persekolahan anak sulungnya setakat tahun enam. 
 
Rosli Shariff, 35, berkata, dia terpaksa berbuat demikian terhadap Intan 
Nursyahirah, 13, bagi mengurangkan beban sekali gus memberikan peluang kepada 
tiga lagi anak lain meneruskan persekolahan.
 
Menurutnya, dia yang bekerja dengan mengangkat kotak dan bakul sayuran untuk 
dipunggah ke atas lori dan cuma menerima upah harian antara RM25 hingga RM30 
menyebabkannya sukar untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak.
 
Katanya, bagi membantu menyara keluarga, isterinya, Fadilah Pelek, 36, pula 
bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah menengah di Tanah Rata. Namun, 
upah yang diterimanya rendah dan sekadar cukup untuk membeli makanan. 
“Pendapatan kami berdua tidak mampu menampung kehidupan seharian sekeluarga 
serta perbelanjaan persekolahan tiga anak yang masih belajar dalam tahun lima, 
tahun dua dan tadika di Pekan Brinchang.
 
“Jika masalah kesempitan kewangan ini masih berterusan, kemungkinan tiga anak 
saya bakal mengalami nasib yang sama seperi kakaknya apabila hanya belajar 
setakat tahun enam,” katanya.
 
Sementara itu, Intan Nursyahirah berkata, dia berharap dapat bersekolah semula 
bersama dengan rakan sebayanya.
 
“Tidak ada apa yang kurang pada diri saya kerana saya boleh membaca, menulis 
dan mengira. Tetapi, disebabkan kemiskinan keluarga membantutkan hasrat saya 
untuk meneruskan persekolahan dan mencapai cita-cita menjadi seorang guru.
 
“Saya merayu kepada pihak berkenaan yang sudi membantu dengan menampung 
perbelanjaan sekolah supaya saya dapat meneruskan pembelajaran sehingga 
peringkat tertinggi,” katanya.
 
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anaksulungberhentisekolahakibatkemiskinan/Article/index_html
 

Reply via email to