KUANTAN 2 Okt 2011 : Seorang pegawai kanan polis berpangkat Superintendan dan 
isterinya menempuh detik cemas apabila diikat pada katil oleh tiga perompak 
bersenjatakan kuku kambing dan parang, dalam kejadian samun di Taman Mewah, 
Seri Bayu, Beserah, dekat sini pagi kelmarin. 
 
Mangsa berusia 56 tahun dan isterinya 53 tahun kerugian RM90,000 selepas wang 
tunai berjumlah RM1,700 dan sebuah kereta jenis Toyota Harrier dilarikan suspek 
dalam kejadian jam 6.45 pagi. 
 
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) negeri, 
Superintendan Mohd Haris Daud, berkata kejadian berlaku apabila isteri mangsa 
melihat seorang daripada suspek berada di dapur rumah. 
 
Beliau berkata, suspek terbabit yang sedang memegang kuku kambing kemudian 
mengarahkan isteri mangsa diam sebelum seorang lagi suspek menahan mangsa dan 
mengarahkan mereka masuk ke bilik utama. 
 
“Mangsa dan isteri diikat kaki dan tangan sebelum mulut ditutup dengan kain 
lalu ditambat di kiri dan kanan katil sebelum suspek menggeledah rumah 
berkenaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam. 
 
Mohd Haris berkata, suspek yang melindungi muka dengan kain dipercayai 
melarikan dompet yang berisi kad kuasa polis serta kereta Toyota Harrier milik 
mangsa. 
 
“Mangsa sedang bercuti selepas bertugas di Sudan untuk misi pengaman. “Siasatan 
turut mendapati suspek memasuki rumah berkenaan yang sedang diubah suai melalui 
pintu belakang,” katanya. 
 
Beliau berkata, kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan. 
“Usaha sedang giat dilakukan bagi mengesan kenderaan milik mangsa bernombor 
pendaftaran JFP 13 yang dilarikan suspek dipercayai berusia lingkungan 20-an 
atau 30-an,” katanya
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pegawaipolisdiikatdikatil/Article 

Kirim email ke