Feb 12, 2012 - Satu lagi ceramah, kali ini mengenai kebebasan akademik terpaksa 
dibatalkan malam tadi selepas sekumpulan remaja menganggu majlis itu dan 
mengepung lokasi yang dicadangkan di Kampung Idaman, Klang.
 
Ketika dihubungi, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab 
Razab berkata "samseng" berkenaan telah memecahkan kerusi dan menyelerakkan 
dewan serbaguna itu sebelum ceramah bermula.
 
"Mereka juga mengepung lokasi itu dan kami terpaksa berlindung di sebuah gerai 
makanan berhampiran sementara menunggu keadaan kembali tenang," katanya.
 
Walau bagaimanapun, kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 70 orang, kata 
Ahmad Syukri, enggan berganjak dan ini memaksa pelajar yang berjumlah kira-kira 
15 orang itu membuat laporan di balai polis Pandamaran.
 
"Kami tiba di balai polis Pandamaran pada kira-kira jam 11.30 malam, samseng 
itu terus ekori kami dan mula berkumpul di sana bersama motosikal mereka,” 
katanya.
 
Kejadian ini adalah kali kedua apabila ceramah seumpama itu di Klang terganggu. 
Kali pertama, ceramah pertubuhan Asalkan Bukan Umno (ABU) ‘diserang’ remaja 
bermotosikal yang bertindak ganas dengan menyerbu lokasi di Jalan Kebun dan 
dilaporkan memukul seorang pemuda.
 
Baling batu
 
Menurut Ahmad Syukri, akibat keadaan yang tegang, polis Pandamaran memutuskan 
untuk mengiringi pelajar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang untuk membuat 
laporan.
 
“Tiga kereta polis mengiringi kami dalam konvoi lima kenderaan tetapi ketika 
kami keluar, mereka membaling batu dan memukul kereta kami dengan kayu.
 
“Syukur, cermin kereta kami tidak pecah tetapi kereta (timbalan presiden, 
Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen) Khalid Mohd Ismath kemek teruk," katanya 
sambil menambah polis juga tidak mampu berbuat apa-apa.
 
Samseng-samseng itu sekali lagi mengekori pelajar berkenaan ke ibu pejabat 
polis daerah Klang  dan kali ini, kata Ahmad Syukri bilangan mereka meningkat 
kepada lebih 100 orang.
 
"Selepas membuat laporan polis, kami dinasihatkan supaya tidak meninggalkan 
balai polis berkenaan demi keselamatan.
 
"Malah sehingga jam 4 pagi, samseng itu masih di luar, jadi kami terpaksa 
melarikan diri melalui pintu lain dengan bantuan penduduk tempatan," katanya.
 
Menurut Ahmad Syukri, pelajar akhirnya berjaya meninggalkan tempat itu tanpa 
sebarang kejadian yang tidak diingini dan tanpa sebarang kecederaan.
 
Ceramah malam tadi adalah sebahagian daripada program jelajah mereka ke seluruh 
negara bagi menuntut kebebasan akademik. Walau bagaimanapun, ini adalah kali 
pertama ia diganggu.
 
http://malaysiakini.com/news/188917 

Kirim email ke