PERUTUSAN EID-UL-ADHA 1433H AQSA SYARIF
by Hafidzi Mohd Noor <http://www.facebook.com/hafidzi.noor> on Wednesday,
October 24, 2012 at 11:47pm ·
**<http://www.facebook.com/notes/hafidzi-mohd-noor/perutusan-eid-ul-adha-1433h-aqsa-syarif/4791708156396#>
PublicFriendsOnly MeCustomClose FriendsAqsa Syarif BerhadSee all
lists...Pertubuhan
IKRAM MalaysiaUniv Putra MalaysiaEnglish College, Johor BahruUniversiti
Putra MalaysiaUniversity of TennesseeSekolah Menengah Islam Al-AminPertubuhan
IKRAM MalaysiaEnglish College JBBangi AreaUPM Serdang SelangorThe English
College in MalaysiaUniversity of Wisconsin-MadisonFamilyAcquaintancesGo Back



Saat ini lebih dua juta umat Islam sedang berada di Makkatul Mukarramah
untuk melaksanakan ibadah haji, kemuncak kepada rukun Islam ke lima. Hari
Raya Haji juga disebut sebagai Yaum-un-Nahar atau hari menyembelih haiwan
qurban. Hari itulah yang disambut sebagai Eid-ul-Adha hari Raya yang
dikaitkan dengan ibadah ‘udhiya atau korban.



Ibadah Qurban adalah sunnah para Nabi sejak awal. Ia telah disyariatkan
dari Nabi Adam AS di  mana anak-anak baginda telah diperentahkan oleh Allah
melakukan ibadah tersebut sebagai suatu ujian. Riwayat menunjukkan bahawa
Habil telah melepasi ujian tersebut dan mendapat keredhaan Allah sedang
Qabil gagal dimurkai oleh Allah. Sesungguhnya ibadah qurban yang
disyariatkan kepada umat Muhammad SAW adalah mengambil sempena dari ibadah
qurban yang diperentahkan kepada keluarga Ibrahim AS. Sesungguhnya Nabi
Ibrahim dan Nabi Ismail AS telah melepasi satu tahap ujian yang membuktikan
kesediaan untuk melaksanakan perentah Allah meski ianya amat berat iaitu
seorang ayah diperentahkan untuk menyembelih anaknya sendiri. Sebagai
ganjaran di atas kesabaran dan benarnya iman keluarga Ibrahim maka Allah
telah menggantikan Ismail dengan sebuah domba yang besar.



Hari ini ibadah qurban ini dihayati dalam bentuk menyembelih haiwan
ternakan pada hari Raya Qurban. Ia adalah satu lambang bahawa seorang
muslim sentiasa bersedia untuk berqurban demi meninggikan kalimah Allah
dalam semua keadaan. Jika Ibrahim AS bersedia menuruti perentah Allah untuk
mengorbankan anak yang paling disayanginya maka tidak ada yang menghalang
seorang muslim untuk mengorbankan apa sahaja pada dirinya demi melaksanakan
perentah Allah SWT.



Ibadah qurban juga adalah lambang perpaduan ummah yang tidak mengenali
batas sempadan. Pada hari ini seringkali umat Islam digalakkan untuk
berkorban kepada ‘yang lebih memerlukan’. Daging ibadah qurban akan
diagih-agihkan di tempat-tempat di mana umat Islam menderita akibat
konflik, peperangan dan bencana alam. Kini terdapat pelbagai skim
penyertaan ibadah kurban yang disempurnakan melalui inisiatif pelbagai NGO
di negara-negara umat Islam yang menjadi keutamaan. Namun yang lebih
penting dari ibadah qurban itu sendiri ialah sejauh manakah umat Islam
menghayati hikmah di sebaliknya. Ia bukan sekadar menyembelih haiwan qurban
dan daging diagih-agihkan kepada fakir miskin setiap tahun tanpa diiringi
dengan perubahan sikap dan keutamaan dalam menyusun agenda kehidupan.
Sesungguhnya ibadah qurban yang dilakukan pada pagi Eid-ul-adha itu
hanyalah satu permulaan dan penterjemahan kepada tekad yang bulat untuk
sedia berkorban dalam setiap ketika.



Solidariti umat bukan diukur dengan menagihkan daging korban setahun sekali
kemudian melupakan tanggungjawab yang lebih besar untuk membela umat Islam
di mana sahaja mereka berada. Di Palestin khususnya , tanggungjawab umat
Islam tidak selesai dengan hanya melakukan ibadah qurban, kemudian
melupakan penderitaan saudara-saudara seakidah yang ditindas oleh
musuh-musuh zionis sepanjang masa. Rakyat Palestin sudah terjajah lebih
dari 61 tahun kini dan Baitul Maqdis tanah suci umat Islam serta Masjid
al-Aqsa yang terdapat di sana sudah berada dalam cengkaman zionis selama
lebih dari 45 tahun. Tentunya umat Islam punya kewajipan untuk membebaskan
tanah suci umat Islam dan memelihara kesucian Masjid al-Aqsa yang sentiasa
diancam oleh musuh-musuh zionis Israel. Jika warga Palestin berada di
barisan depan bumi ribat Baitul Maqdis (bumi peperangan) maka
saudara-saudara seiman di seluruh dunia memberi mereka segala bantuan dan
sokongan yang diperlukan untuk memenangkan jihad ini. Saudara-saudara
mereka tidak akan membiarkan mereka bersendirian mempertahankan tanah suci
umat Islam. Lebih dahsyat lagi jika saudara-saudara mereka berkhianat dan
bersekongkol pula dengan musuh-musuh mereka dalam menjalankan makar untuk
melemahkan perjuangan rakyat Palestin seperti yang berlaku pada hari ini.



Alhamdulillah, kini perjuangan rakyat Palestin mula memasuki fasa baru.
Regim-regim Arab yang selama ini bersekongkol dengan musuh-musuh umat Islam
tumbang satu demi satu. Regim-regim Arab yang berjiran dengan Negara
Palestin yang terjajah sebelum ini telah menambah derita rakyat Palestin.
Mereka bukan melegakan sebaliknya tunduk kepada Israel dan pelindungnya
Amerika Syarikat untuk mengenakan pelbagai tekanan dan kezaliman berterusan
kepada umat Islam di Palestin. Selama hampir lima tahun Gaza dikepung dari
semua arah. Rafah sebagai satu-satunya laluan keluar masuk jalan darat ke
Mesir tertutup rapat dan hanya dibuka secara terhad untuk sehari dua dalam
sebulan dengan pelbagai syarat tidak menasabah kepada rakyat Palestin untuk
menyeberang masuk ke Mesir bagi mendapatkan barang-barang asas dan
keperluan harian. Tumbangnya diktator Arab yang mencengkam rakyatnya
sendiri adalah satu bukti bahawa kezaliman yang dilakukan ke atas rakyat
Palestin akan berakhir. Soalnya bukan apakah Palestin akan bebas merdeka
dari cengkaman Israel tetapi soalnya sekarang ialah bila ia akan dibebaskan.



Pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam pada dua tahun kebelakangan ini
amat memberangsangkan. Bantuan kewangan yang datang mencurah-curah dari
rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk meringankan beban
saudara-saudaranya Palestin adalah bukti pertautan hati umat Islam. Pada
misi kemanusiaan yang diterajui oleh Aqsa Syarif pada bulan Ramadhan/Syawal
yang lepas iaitu melalui misi A2G8 (Misi ke 8 Aqsa Syarif ke Gaza), rakyat
Malaysia telah menyalurkan sumbangan dalam bentuk pelbagai pelaksanaan
projek lestari (kilang roti, akuakultur, ladang ternakan lembu, bantuan
modal untuk pinjaman *micro credit (Qardhul Hassan)*, projek
*Malaysian-Palestinian
Industrial Village*) atau ‘*one-off’* (projek *Back to School*, projek
iftar Ramadhan, Projek *Ramadhan Food Package*, Pembinaan Musolla, Projek
membina semula rumah-rumah penduduk miskin). Jumlah yang disumbangkan dalam
misi tersebut mencecah RM2.8 juta. Bahkan dalam tempoh hampir tiga tahun
rakyat Malaysia telah menyalurkan lebih dari RM9 juta kepada rakyat
Palestin dengan dimudah-cara oleh Aqsa Syarif.



Meskipun kita amat bersyukur dengan perkembangan ini, namun umat islam
tidak bolih berpuas hati dan harus meningkatkan lagi usaha untuk
mengeluarkan rakyat Palestin dari kezaliman zionis yang mencengkam. Rejim
Israel masih terus melakukan pencerobohan demi pencerobohan, membina lebih
banyak penempatan haram Yahudi di Baitul maqdis timur dan Tebing barat yang
dijajah pada tahun 1967. Israel terus berdolak-dalih untuk melaksanakan
penyelesaian dua negara ‘two state solution’ yang dijadikan umpan kepada
dunia supaya terus mempercayai ‘kesungguhan’ Israel. Tembok pemisah yang
menceroboh jauh ke dalam wilayah yang diduduki di Tebing barat dan hampir
mengepung Baitul Maqdis dari semua arah terus dibina di atas tanah rakyat
Palestin, menghalang mereka dari mengerjakan ladang-ladang zaitun yang
mereka warisi sejak ratusan tahun. Anak-anak mereka terhalang dari
meneruskan persekolahan kerana tembok menghalang perjalanan mereka untuk ke
sekolah.





Semua ini menuntut seluruh dunia Islam merenung sedalam-dalamnya implikasi
tuntutan ibadah qurban yang disyariatkan pada hari Raya Eid-ul-adha. Apakah
umat Islam telah menghayati makna ibadah qurban yang dilakukan saban tahun
setiap tibanya Eid-ul-adha. Sudah tibalah waktunya umat Islam membuat satu
lonjakan untuk menterjemahkan ibadah qurban melepasi sekadar satu ‘ritual’
atau ibadah khusus. Sepatutnya ia membekas dijiwa untuk umat Islam bangkit
dan menyahut perentah Allah dalam menunaikan tuntutan jihad sebagaimana
keluarga Ibrahim mengorbankan anaknya yang paling disayangi demi mentaati
arahan Allah SWT. Dalam nada yang sama umat islam harus bersedia untuk
mengorbankan masanya, tenaganya, harta dan sumber-sumber yang dimilikinya,
mengerah pelbagai usaha untuk perjuangan pembebasan tanah suci Palestin



Pada hari ini kita melihat masyarakat antarabangsa termasuk masyarakat
sipil (Civil society) semakin memahami pencerobohan-pencerobohan yang
dilakukan oleh Israel ke atas hak asasi rakyat Palestin. Mereka menjalankan
kempen-kempen boikot barangan yang menyokong ekonomi Israel yang dinamakan
sebagai BDS (Boycott, Divestment and Sanction). Kempen BDS ini mendapat
sokongan yang semakin besar di Amerika, Negara-negara EU dan Australia.
Malah beberapa buah institusi pengajian tinggi dan university di USA telah
memutuskan untuk mengalihkan pelaburan mereka dari syarikat-syarikat yang
dikenal pasti menyokong ekonomi Israel. British Universiti turut
mengusulkan untuk memboikot university-universiti Israel. Kempen boikot
Israel di negara-negara umat Islam perlu terus dilonjakkan dan umat Islam
dan rakyat Malaysia harus menyahut kempen boikot barangan yang memberi
sokongan ekonomi kepada Israel. Boikot adalah pengorbanan yang amat kecil
dan melatih diri untuk menyahut seruan pengorbanan yang lebih besar yang
mana kemuncaknya ialah berjihad dengan harta dan jiwa raga untuk
membebaskan bumi Palestin dan Tanah seci baitul Maqdis.



Pengorbanan umat islam untuk membela rakyat Palestin adalah sangat dititik
beratkan kerana bumi Palestin adalah bumi anbiya’, bumi yang penuh
keberkatan, bumi di mana berlakunya peristiwa besar isra’ dan mikraj dan
tempat yang akan menyaksikan pertarungan terakhir di antara hak dan batil
menjelang hari kiamat.



Semuga Eid-ul-Adha pada tahun ini membawa satu perubahan dalam diri untuk
melakukan apa sahaja pengorbanan samda kecil atau besar ke arah perjuangan
pembebasan al-Aqsa.



Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Aqsa Syarif

10 Zulhijjah 1433H

26 Oktober 2012

Kirim email ke