Sinar Harian 4 Jan 2013 , DUNGUN – Tindakan biadab
penjenayah menceroboh masuk selain mencuri harta benda masjid dilihat satu
fenomena baru yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Timbalan Pengerusi
Masjid Kampung Baru Kuala Abang, Mustapa Awang berkata, sehingga kini, sudah
empat kali masjid dibina sejak lebih tiga tahun lalu itu dipecah masuk pencuri.
 
Mustapa berkata, peti tabung masjid menjadi sasaran utama
pencuri kerana setiap kali berlakunya kes kecurian, peti tabung yang digunakan
untuk menyimpan wang derma jemaah turut lesap.
 
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Kuala Abang, Mohd Nasir Hashim berkata,
sebelum ini, sebatang tongkat digunakan oleh Khatib untuk membaca khutbah yang
diletakkan di mimbar masjid, juga turut hilang dikebas pencuri.
 
Katanya, kejadian seumpama itu bukan pertama kali, malah
sudah beberapa kali berlaku biarpun ada usaha dilakukan ahli jemaah untuk
mengunci pintu utama masuk ke masjid yang mampu menampung lebih 1,000 jemaah
pada satu-satu masa itu.
 
Menurut Nasir, sebelum ini besi penutup longkang juga turut
hilang beberapa kali dikebas pencuri.
 
“Kita juga sudah tidak tahu bagaimana hendak mengatasi
masalah ini.
 
“Mungkin dengan pemasangan kamera litar tertutup dapat
membantu mengenal pasti suspek yang sering mencuri harta benda masjid,
sekurang-kurangnya risiko kecurian dapat dikurangkan,” katanya.
 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tabung-masjid-jadi-sasaran-1.117865
 

Reply via email to