KENYATAAN AKHBAR
PEJABAT PILIHANRAYA PAS
DUN N28 KOTA (PARLIMEN P131-REMBAU)
13 MAC 2013
 
KOTA PERLU DIISYTIHAR
TEMPAT WARISAN BERSEJARAH
 
Sejarah Negeri Sembilan
bermula di Rembau. Sejarah Rembau pula banyak bermula di kawasan sekitar DUN
Kota. Pada hakikatnya Kota mempunyai banyak kesan sejarah sejak mula pembukaan
Rembau oleh orang Asal dari keturunan Jakun. Sistem pemerintahan Rembau yang
tersusun adalah hasil kesepakatan antara orang Asal keturunan Jakun dengan kaum
pendatang Minangkabau dari Sumatera.
 
Perlantikan Undang
Rembau yang pertama iaitu Dato' Sri Rama bin Datuk Lela Balang (Waris Jakun)
pada tahun 1540 M adalah merupakan putera dari hasil perkahwinan pembesar dari
Pagar Ruyung dan anak Ketua Tok Batin adalah detik permulaan sistem pemerintahan
kerajaan Rembau pada ketika itu. 
 
Sepertimana yang
diketahui pakar sejarah, kerajaan Rembau banyak memberi bantuan kepada pembesar
Melaka selepas kejatuhan Melaka ditangan penjajah Portugis. 
 
Lubok China di Rembau
adalah tempat pusat perdagangan orang Cina di rantau ini selepas orang-orang
Cina pada ketika itu memboikot untuk berdagang di pelabuhan Melaka yang dikawal
Portugis. Manakala Tun Zainal Abidin bin Bendahara Paduka Raja Tun Perak  telah 
dilantik menjadi Dato' Lubok China.
 
Memandangkan Kota
mempunyai banyak kesan sejarah, maka beberapa tempat-tempat bersejarah di Kota
ini perlulah dipelihara untuk tatapan generasi kini dan akan datang agar mereka
dapat mengenang kembali sejarah bahawa Kota adalah merupakan tempat penyatuan
umat di rantau ini.
 
Secara tidak langsung
dengan pengisytiharan Kota sebagai tempat Warisan Bersejarah, ianya akan
merancakkan lagi kegiatan ekonomi di tempat ini.
 
Antara tempat bersejarah
yang terdapat di Kota dan perlu dipelihara ialah :
1. Rumah YTM Dato Lela
Maharaja, Dato' Haji Sulong (Undang Rembau ke 17)
2. Surau Batu Kampung
Paya (Berhadapan rumah YTM Dato' Haji Sulong)
3. Rumah Tun Abd Malek
Yusof (Menteri Besar Negeri Sembilan yang pertama)
4. Telapak YTM Dato'
Lela Maharaja, Dato' Haji Ipap (Undang Rembau ke 19), Kampung Kota Lama
(bermulanya ketamadunan Kerajaan Rembau)
5. Makam Lela Balang
(Ayahanda kepada Undang Rembau Pertama)
6. Makam Tok Bungkal
(Bonda kepada Undang Rembau Pertama)
7. Makam Dato' Si Rama
(Undang Rembau Pertama)
8. Makam Dato' Ombo
(Undang Rembau Kedua)
9. Makam Tok Tua,
Kampung Perah
10. Makam Tok Dalam,
Kampung Padang Lekok
11. 2 makam lama Batu
Nesan Acheh yang terletak di Kg Tanah Datar, Gadong
12. Danau Tasik Emas
13. Kuala Dadih
14. Masjid Lama Kg
Selemak
15. Masjid Lama Tanah
Datar
16. Masjid Kampung Paya
 
Disamping itu terdapat beberapa
tempat bersejarah di Kota yang telah hilang kesannya iaitu :-
1. Perigi Raja Melewar
ketika bersemayam di Penajis. Perigi ini telah dirobohkan ketika pembinaan
semula Sekolah Kebangsaan Penajis.
2. Pusat permerintahan
Rembau di Kendong ketika zaman Inggeris. Kawasannya sekarang ialah Pusat
Pengembangan Pertanian Kendong
 
Kota perlu diisytihar
sebagai tempat Warisan Bersejarah.
 
HJ GHAZALI BIN MOHD SHOM
Penyelaras PAS DUN Kota

Reply via email to