Begitu banyak perkara baru yang dipelajari
malam tadi semasa Majlis Ceramah sempena Israk Mikraj di Masjid Bandar Baru
Senawang yang disampaikan oleh Sheikh Haji Baba Abdul Karim bin Haji Isa Al
Fatoni, seorang ulama yang berasal dari Patani, Thailand akan tetapi telah
berkhidmat di mahkamah Arab Saudi selama lebih 20 tahun. Pertama kali saya
mendengar ceramah Sheikh Baba.
 
Sheikh Baba pun merupakan anak murid kepada
beberapa ulama terkenal yang masih lagi mengajar di Masjidil Haram, Mekah.
Sheikh Baba amat sayang untuk meninggalkan Mekah kerana telah lama berkhidmat
dan beribadah di sana. Akan tetapi atas arahan Tok Gurunya yang memerintahkan
untuk beliau pulang ke Nusantara untuk mengajar kepada umat Islam di sini, maka
beliau dengar dan taat akan arahan Tok Guru beliau.
 
Malam tadi beliau mengupas kitab Sheikh
Daud Fatoni, beliau menceritakan dengan panjang lebar mengenai salasilah Sheikh
Daud Fatoni hinggalah ke Saidina Husin ra., Saiditina Fatimah rah. dan Nabi 
Muhammad
saw. Kaitannya juga dengan Raja Fatoni, Raja Champa dan Sunan Ampel.
 
Begitu banyak ilmu-ilmu kitab lama yang
baru tahu orang jemaah yang hadir termasuk diri saya sendiri, terlalu banyak.
 
Antaranya ialah Sheikh Baba mengatakan
memberi hutang kepada orang yang memerlukan adalah lebih baik dari memberi
sedekah. Jika kita memberi sedekah kita akan diberi 10 ganjaran, akan tetapi
jika kita memberi hutang kita akan diberi 18 ganjaran. Ini adalah kerana mereka
yang memang dalam kesempitan memerlukan hutang untuk melepaskan kesempitan
tersebut, akan tetapi jika kita memberi sedekah adakalanya keperluannya
tidaklah dalam keadaan yang amat memerlukan. 
 
Terlalu banyak ilmu yang saya pelajari
semalam, yang tidak boleh saya sampaikan di sini kerana bimbang disalah tafsir. 
 
Kepada mereka yang ingin menadah ilmu
dengan Sheikh Baba bolehlah ke Masjid Negeri, Seremban pada hari Sabtu 1 Jun
2013 selepas Maghrib, beliau akan menyambung kitab kisah Israk Mikraj yang dah
sampai di langit ke tujuh.
 
Cubalah pergi, barulah kita tahu betapa
cetek, terlalu cetek, teramat cetek, ilmu dan amalan yang ada pada kita
sekarang ini. Betapa banyaknya kita melakukan dosa dan betapa kurangnya kita
beramal ibadat.

Kirim email ke