SAYA terpanggil untuk memberikan reaksi terhadap laporan
muka depan akhbar Utusan Malaysia Rabu 5 Jun, 2013 yang mendedahkan bahawa
siswazah Melayu didiskriminasi. Pihak kerajaan, khasnya Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam (SPA) wajar mengambil iktibar terhadap nasib yang dialami
oleh siswazah Melayu mutakhir ini. Sememangnya siswazah Melayu berdepan dengan
cabaran untuk mendapatkan pekerjaan. Malah siswazah pendidikan keluaran
Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) sendiri pun mengalami nasib yang sama. 
 
Realitinya, siswazah Melayu pemegang Ijazah Sarjana Muda
Perguruan untuk sekolah kebangsaan (SK) juga telah 'didiskriminasikan' kerana
sehingga kini belum lagi mendapat tawaran penempatan di mana-mana sekolah.
 
Rakan-rakan mereka yang seangkatan dalam kalangan siswazah
Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan
sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) telah bertugas di sekolah-sekolah
berkenaan seawal Januari lalu. 
 
Mengapakah perkara sebegini berlaku? 
 
Lebih malang lagi, para siswazah cemerlang yang telah ditemu
duga pun masih menganggur. Apakah maknanya Guru Interim yang diwar-warkan
dahulu?
 
Lebih malang lagi, kumpulan siswazah tersebut seperti telah
digantung tidak bertali. Pihak SPA telah mengeluarkan surat pelantikan jawatan
kepada mereka sebaik selesai ditemu duga pada April 2013 tetapi anehnya dalam
surat tersebut tidak dinyatakan sekolah tempat bertugas dan tarikh melapor
diri.
 
Ini bermakna siswazah tersebut masih menjadi penganggur
terhormat dan dalam keadaan serba salah mengenai nasib masa depan
masing-masing. 
 
Sehubungan itu, saya merayu kerajaan memberi perhatian dan
mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan permasalahan yang membelenggu
siswazah tersebut.
 
Warga Pendidik
Tanjung Malim, Perak.
 
http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130619/fo_03/Bakal-guru-masih-menanti-tawaran-penempatan-tugas
 

Kirim email ke