BINATANG YANG HALAL DAN HARAM



Pendahuluan:
Sesuatu yang telah disepakati oleh para ulama ialah:
asal hukum dalam semua perkara -kecuali ibadah yang mempunyai kaedah
lain- adalah harus hingga datang dalil yang menunjukkan kepada haram.
Ini berdasarkan kaedah: Perkara yang haram ialah apa yang diharamkan
oleh Allah dan rasul-Nya manakala apa yang didiamkan daripadanya adalah
suatu yang dimaafkan.
Sungguhpun begitu al-Quran telah memberikan panduan tentang  makanan yang 
bagaimanakah yang perlu dan boleh dimakan.

i- Firman Allah SWT:
“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi
baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti
langkah-langkah setan; karena sesungguhnya setan itu adalah musuh yang
nyata bagimu”  (al-Baqarah: 16  

ii- Firman Allah SWT:
“Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan  mengharamkan bagi mereka 
segala yang buruk” (al-A’raf:157)
Al-Quran telah menegaskan bahawa makanan yang
dihalalkan oleh Allah ialah yang baik-baik sahaja. Justeru itu makanan
yang memudaratkan agama dan kesihatan adalah haram dan termasuk di
dalam al-khbai’th.

Perkara-perkara yang  diharamkan:
1) Bangkai.
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
Katakanlah: “Tiadalah
aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang
diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu
bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi, karena sesungguhnya
semua itu kotor atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah.
Barang siapa yang dalam keadaan terpaksa sedang dia tidak
menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya
Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-An’am:145)
Termasuk di dalam kategori  bangkai ialah haiwan:
        1. yang mati tercekik atau dicekik.
        2. yang mati kerana dipukul samada dengan kayu atau dihempap    dengan 
sesuatu atau dikejutkan.
        3. yang mati kerana terjatuh atau dijatuhkan dari tempat    tinggi, 
termasuk juga yang dicampak ke dalam perigi dan seumpamanya.
        4. yang mati kerana ditanduk oleh binatang lain.
        5. yang mati kerana dimakan binatang lain, sekalipun anjing    pemburu 
yang terlatih.
Dalilnya ialah firman Allah SWT:
“Diharamkan
bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang
disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang
jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang
sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih
untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah,
(mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan.” (al-Mai’dah:3)
Ayat 3 surah al-Maidah ini mengecualikan mana-mana yang  tersebut yang sempat 
disembelih secara syar’ie selagi ia belum mati.

2) Darah yang  mengalir.
Dalilnya ialah ayat-ayat di atas.
Ibn Abbas r.a telah ditanya tentang limpa, lalu beliau menjawab:
“makanlah”, lalu mereka berkata: “ia adalah darah”, jawab beliau: “yang
diharamkan kepada kamu hanyalah darah yang mengalir”.

3) Babi.
Dalilnya ialah ayat-ayat di atas.
Ayat-ayat tersebut hanya menyebut daging, ini menyebabkab segelintir
manusia menyangka selain dari daging babi seperti tulang dan lemaknya
adalah halal. Sedangkan yang sahih ialah: setiap yang berasal darinya
adalah haram dan hanya daging yang disebut kerana kebiasaannya daging
itu yang dimakan.

4) Sembelihan  untuk selain daripada Allah.
Dalilnya ialah ayat-ayat di atas.
Maksudnya ialah binatang disebutkan nama selain dari
Allah semasa penyembelihan itu. Begitu juga sembelihan yang ditujukan
kepada selain daripada Allah, samada disebut namanya atau tidak semasa
penyembelihan, bahkan sekalipun dibacakan bismillah. Menurut pengarang
Fath al-Majid fi Syarh Kitab al-Tawhid: “Ini kerana sembelihan untuk
berhala (an-Nusb) menunjukkan pengagungan untuk taghut sekalipun tidak
dilafazkan namanya. Maka ia sama dengan sembelihan yang disebut nama
selain Allah. Jika diharamkan kerana disebut: “dengan nama al-Masih”
dan sebagainya, maka memaksudnya adalah lebih aula untuk diharamkan.
Sebabnya, ibadat kepada selain dari Allah adalah lebih besar
kekufurannya berbanding yang memohon kepada selain Allah. Oleh yang
demikian, jika haiwan itu disembelih untuk selain dari Allah sebagai
ibadah (taqarrub), hukumnya haram sekalipun disebut bismillah.

5) Semua  binatang buas (as-Siba’) yang bertaring.
Kata Ibn al-Athir: “iaitu binatang pemangsa yang
memakan secara menerkam seperti: singa, harimau, serigala dan
seumpamanya. Sabda Nabi SAW:
“Setiap yang memiliki taring dari kalangan pemangsa, maka memakannya adalah  
haram“. (Riwayat Malik, Muslim dan lain-lain dari hadith Abi Tha’labah 
al-Khusyani) .
Al-Syafi’e berpandangan bahawa as-siba’ yang
diharamkan ialah yang menyerang manusia seperti singa, harimau dan
serigala. Oleh itu dubuk dan musang adalah halal. Abu Hanifah pula
berpendapat bahawa karnivor adalah as-sabu’ di antaranya: gajah, dubuk
dan kucing. Semuanya haram disisinya.
Hujah al-Syafi’e berhubung dengan dubuk:
        1. ia tiada taring, sebaliknya semua giginya memang sama tajam.
        2. Andai kata diterima bahawa ia memiliki taring, ia
bukan dari kategori as-siba’ yang disebut di dalam hadith. Pendapat ini
dipersetujui oleh Ibn al-Qayyim.
        3. Hadith Jabir. Beliau ditanya tentang dubuk: Adakah
dubuk binatang buruan? Jawabnya: ya. Beliau ditanya lagi: adakah ini
disabdakan oleh nabi SAW? Jawabnya: ya. (Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi
dan disahihkannya serta an-Nasa-i dan Ibn Majah. Disahihkan juga oleh
al-Hakim).
6) Semua jenis  burung berkuku tajam dan menyambar.
Dalilnya ialah hadith Ibn Abbas, katanya:
“Rasulullah SAW melarang (memakan) setiap yang bertaring dari binatang buas  
dan setiap yang berkuku (claw) dari burung.” (Riwayat Muslim)
Adapun yang dimaksudkan dengan burung yang mempunyai
kuku ialah: yang kukunya tajam digunakan untuk menangkap dan melukakan
serta mengoyak mangsa. Contohnya: helang, enggang, gagak dan
layang-layang. Dikecualikan daripadanya: merpati dan burung-burung
kecil; kerana ia termasuk dalam al-mustatob (perkara yang dipandang
baik).

7) Keldai  peliharaan.
Di antara perkara yang diharamkan oleh Nabi SAW dalam peperangan
Khaibar ialah keldai peliharaan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-’Allamah Siddiq hasan Khan: “Ramai dikalangan umat Arab yang
memiliki naluri yang sejahtera mengharamkannya dan dia melihat
syaitan.” Sabda Nabi SAW:
“Apabila kamu mendengar suara keldai, maka mohonlah perlindungan Allah dari  
syaitan; sesungguhnya dia melihat syaitan.” (Riwayat al-Bukhari dan  Muslim).
Para ulama sepakat tentang halalnya keldai liar -dan
kuda belang dan seladang-. Nabi SAW telah dihadiahkan dengan keldai
liar lalu baginda memakannya. (Riwayat al-Bukhari dari hadith Abi
Qatadah).
Al-Jallalah (Binatang yang memakan kotoran).
Iaitu binatang yang memakan kotoran dan sesuatu yang
menjijikkan. Ibn Hazm menghadkannya hanya kepada yang berkaki empat
sedangkan Ibn Hajar menyatakan ianya umum. Dalilnya:
i- Hadith Ibn Umar:
Rasulullah SAW melarang dari memakan al-jallalah dan meminum susunya.
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan at-Tirmizi yang mensahihkannya) .
ii- Hadith Ibn Abbas:
Larangan itu ialah tentang memakan al-jallalah dan meminum susunya.
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa-i, Ibn Majah, al-Hakim.
At-Tirmizi mensahihkannya) . Kata al-Hafiz dalam al-Fath: ia adalah yang
paling sahih dalam bab ini.
Kata al-Albani: zahir hadith memihak kepada Ibn Hazm
lantaran disebut tentang susunya. Sungguhpun begitu, para ulama
meluaskannya kepada yang lebih umum sebagaimana yang disebut oleh Ibn
Hajar.
Kata al-Baghawi: “kemudian hukum tentang binatang yang memakan kotoran,
hendaklah dilihat: jika ia hanya memakannya kadang-kadang, maka ia
bukan al-jallalah; justeru tidak haram dimakan seperti ayam dan
sebagainya”. Kata Ibn Hazm: “telah sahih bahawa Abu Musa mengurung ayam
(bertujuan membersihkan makanannya), jika didapati memakan kotoran”.
Berhubung hal ini para ulama berbeza pendapat:
        * Ahmad, ath-Thauri dan al-Syafi’iyyah berpendapat
memakan al-jallalah adalah haram. Inilah yang ditegaskan oleh Ibn Daqiq
al-’Eid.
        * Sebahagian yang lain menyatakan hukumnya adalah makruh    sahaja.
Hukum memakan haiwan halal yang memakan bahan dari  daging babi.
        1. Pendapat Malik dan sebahagian ulama: daging dan
telurnya harus dimakan; kerana makanan yang najis itu dapat disucikan
dengan istihalah (seperti mengurungnya) .
        2. Pendapat sebahagian yang lain seperti ath-Thauri, al-Syafi’e    dan 
Ahmad: haram memakan daging, telur dan susunya.
        3. Pendapat yang lain: jika kebanyakan makanannya
adalah najis, maka dia adalah jallalah dan tidak boleh dimakan.
Sebaliknya jika kebanyakan makanannya bukan najis, ia boleh dimakan.
        * Jawatankuasa Tetap Penyelidikan dan Fatwa Arab Saudi    mentarjihkan 
pendapat yang mendetailkan keadaan.
‘Illah bagi keharaman al-jallalah ialah kenajisan.
‘Illah itulah yang mengubah daging dan susunya dari halal kepada haram.
Jadi apabila ‘illat itu hilang dengan cara mengurungnya atau yang
seumpama itu, hilanglah hukumnya berdasarkan kaedah:  Oleh demikian,
tiada lagi ruang untuk mengharamkannya kerana ia adalah halal asalnya
dan diharamkan lantaran halangan (najis). Apabila hilang najis, hilang
haram.
Pendapat inilah yang sahih sepertimana yang
dijelaskan oleh al-Hafiz dalam al-Fath dan al-Albani. Namun tiada satu
had yang ditentukan dalam mengurung/membersih kan binatang itu sekalipun
memang sahih bahawa Umar mengurung ayam al-jallalah selama 3 hari. Kata
Siddiq Hasan Khan: “barangsiapa yang mendakwa bahawa najis itu masih
kekal, sedangkan nama dan sifatnya sudah pergi, hendaklah memberikan
dalil”.

9) Anjing dan  kucing.
Hampir tiada khilaf di kalangan ulama tentang
pengharaman anjing melainkan satu riwayat pandangan Malik yang
menyatakannya sebagai halal. Sungguhpun begitu, sebahagian ulama
Malikiyyah (khususnya yang mutaakhkhirin) menyanggahi pandangannya itu.
Pengharaman anjing datang dengan beberapa faktor:
        1. ia adalah najis menurut jumhur ulama; lantaran
arahan nabi SAW supaya bekas yang dijilat oleh anjing hendaklah dibasuh
7 kali yang pertama dengan air tanah. (Riwayat Muslim).
        2. ia termasuk di dalam al-mustakhbath (yang dipandang jijik);    ia 
memakan kotoran.
        3. larangan nabi SAW daripada memakan harga anjing dan kucing.    
(Riwayat as-sahih).
Dalil keharaman kucing pula disebut di dalam hadith Jabir:
“Bahawasanya nabi SAW telah melarang dari memakan kucing dan harganya.”  
(Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibn Majah, dalam isnad hadith ini Muhammad 
Bin  Zaid - dhaif).
Sungguhpun begitu, ia dikuatkan dengan dalil yang sama tentang keharaman anjing 
 di atas.
Menurut ulama, tiada beza hukum di antara kucing liar ataupun jinak,
melainkan salah satu pandangan al-Syafi’yyah yang menyatakan halal
kucing liar. 


10) Semua jenis  binatang yang menjijikkan.
Firman Allah SWT:
” dan Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi  
mereka segala yang buruk” (al-A’raf:157)
Kebanyakan ulama memberikan garis panduan dalam hal ini  seperi berikut:
        1. Apa yang dipandang jijik dan kotor oleh manusia
(yang murni fitrahnya) dari jenis haiwan - bukan kerana sesuatu ‘illah
atau kerana tidak biasa – sebaliknya semata-mata kerana menganggapnya
jijik, maka ia adalah haram.
        2. Apabila sebahagian manusia menganggapnya jijik sedangkan    yang 
tidak, maka yang diambil kira ialah tanggap majoriti.
Sungguhpun begitu, al-Albani mempersoalkan tentang
kesukaran menetukan yang manakah padangan teramai dan ia juga
membabitkan soal budaya dan seumpamanya. Oleh itu menurutnya, yang
paling tepat ialah: setiap yang jijik di sisi syara’ itu tentulah akan
memudaratkan diri dan agama manusia.
Kebanyakan haiwan yang tidak dimakan oleh manusia
sedangkan tiada dalil yang jelas menunjukkan ia haram, merupakan haiwan
dari kategori ini.

11) Semua  binatang yang diarahkan untuk dibunuh atau dilarang dari dibunuh.
Sebilangan ulama berpendapat bahawa
binatang-binatang yang dilarang oleh nabi SAW dari membunuhnya atau
yang diarahkan untuk membunuhnya adalah haram.


Binatang yang diarahkan bunuh:
Sabda nabi SAW:
“Dari ‘Aisyah bahawa rasul SAW bersabda: 5 jenis binatang semuanya
fawasiq boleh dibunuh di Tanah Haram: burung gagak, burung
layang-layang, kala jengking, tikus, anjing dan al-’aqur (sejenis
binatang yang menggigit).” (Riwayat al-Bukhari,  Muslim, at-Tirmizi dan 
an-Nasai).


Binatang yang dilarang bunuh:
Sabda nabi SAW:
Dari Ibn Abbas bahawa nabi SAW telah melarang daripada membunuh 4 jenis 
binatang:  semut, lebah, belatuk dan nuri.

12) Binatang  beracun samada yang ikan atau selainnya, diburu atau dijumpai 
mati.
Ini adalah jelas kerana Islam melarang al-khabai’th. Juga dengan umum ayat:
” Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan
Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam
kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai
orang-orang yang berbuat baik.”  (al-Baqarah: 195)

13) Haiwan 2 alam:
Kata al-Qadi Ibn al-’Arabi: Pendapat yang sahih
berhubung haiwan yang hidup di darat dan air ialah dilarang; kerana
terdapat percanggahan dalil halal dan haram. Lalu kami memenangkan
dalil haram sebagai langkah berhati-hati (ihtiyat).
Sementara sebilangan ulama pula berpandangan bahawa semua haiwan yang
memang hidup di laut adalah halal sekalipun ia mungkin boleh hidup di
daratan kecuali katak kerana ada dalil lain berhubungnya.

14) Binatang yang tidak disebutkan statusnya:
Berdasarkan sabda nabi SAW:
“Apa yang Allah halalkan di dalam kitab-Nya,
maka ia halal. Apa yang Allah haramkan, maka ia haram. Apa yang Allah
diamkan tentangnya, maka ia adalah dimaafkan.” (Riwayat al-Bazzar dan katanya: 
sanadnya sahih,  juga disahihkan oleh al-Hakim).

15) Contoh-contoh binatang  yang diperselisihkan hukumnya:
a) landak:
- yang mengharamkannya: Abu Hanifah dan Ahmad
- yang menghalalkannya: Malik dan Syafi’e
Dalil yang mengharamkannya, ialah hadith dari Ibn Umar dalam riwayat
Ahmad dan Abu Daud. Namun isnadnya dhaif. Oleh itu yang rajih ialah:
halal.
b) katak:
- yang menghalalkannya: Malik
Dalilnya:
Umum ayat Allah:
“Dihalalkan
bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut
sebagai makanan yang lezat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam
perjalanan”  (al-Maidah:96)
ii- Umum hadith tentang air dan bangkai  haiwan di lautan.
Dia (laut) suci airnya dan halal bangkainya. (Riwayat Malik,  al-Syafi’e dan 
imam yang empat).
Kedua-dua dalil ini umum tentang hidupan / haiwan di
laut (air), lalu ia mencakupi katak; kerana katak termasuk dalam
kategori soidul bahr.
- yang mengharamkannya: Ahmad
Dalilnya:
Hadith Abd. Rahman Bin ‘Uthman tentang seorang doctor bertanya kepada
nabi SAW tentang hukum menjadikan katak sebagai ubat (untuk dimakan),
lalu nabi SAW melarang dari membunuhnya. (Riwayat disahihkan oleh
al-Hakim. Dalam sanadnya ada Sa’id Bin Khalid al-Qurtubi: didhaifkan
oleh an-Nasai tetapi dithiqahkan oleh Ibn Hibban serta kata
ad-Daraqutni: dia Madaniyy yang boleh dibuat hujah dengannya).
Justeru itu, jika nabi melarang dari dibunuh katak sedangkan tujuannya
adalah untuk suatu yang penting seperti dijadikan ubat, tentulah ia
tidak boleh dimakan sebarangan. Larangan makannya pula tentulah kerana
ia memang haram dimakan. Ini kerana nabi SAW jika melarang dari
membunuh sesuatu haiwan, maka ia mungkin kerana kehormatannya seperti
manusia atau kerana haram dimakan seperti katak.
Asy-Syawkani pula seakan-akan tidak bersetuju dengan kaedah binatang
yang dilarang bunuh bererti haram dimakan; lantaran baginya ia tidak
jelas. Namun yang rajih ialah: katak haram dimakan.
c) buaya:
        * yang menghalalkannya: Malik,
Syafi’e dan sebahagian yang lain. Ini kerana ia termasuk di dalam
soidul bahr. Oleh itu tentulah ia terkandung di dalam ayat surah
al-Maidah:96 tersebut.
        * yang mengharamkannya: Abu Hanifah
dan sebahagian lain. Ini kerana ia termasuk di dalam binatang buas,
lalu termasuk di dalam kategori bintang buas bertaring.
Kata Ibn Baz: masalah ini adalah ijtihadiyyah dan
perbahasannya luas, namun yang lebih ahwat (berhati-hati) ialah
meninggalkan daripada memakannya; mengambil kira khilaf yang wujud di
samping langkah berjaga-jaga mengelakkan larangan.
d) dubuk: telah dibincangkan sebelum ini.
Penutup:
Ini adalah yang dapat diusahakan berhubung persoalan halal dan haramnya
binatang-binatang yang mempunyai berbagai-bagai spesis. Pendetailan
tajuk boleh dirujuk di dalam kitab-kitab tafsir dan hadith ahkam serta
buku-buku Fiqh.


Oleh: Abd. Rasyid Bin  Idris @ Adir
Dewan Pengajian Ibn Qayyim al-Jauziyyah
  >>Click to join Taman2Syurga<<

[[Berpesan-pesan sesama insan]]





 

    


      

Kirim email ke