IN MEMORIAM : Habib Abdur Rahman Bukit Duri

Hari Isnin, waktu Zohor tanggal 7 Rabi`ul Awwal 1428H (26 Maret 2007) 
kembali seorang lagi ulama kita ke rahmatUllah. Habib 'Abdur Rahman 
bin Ahmad bin 'Abdul Qadir as-Saqqaf dilahirkan di Cimanggu, Bogor. 
Beliau telah menjadi yatim sejak kecil lagi apabila ayahandanya 
berpulang ke rahmatUllah dan meninggalkan beliau dalam keadaan dhoif 
dan miskin. Bahkan beliau sewaktu-waktu terkenang zaman kanak-
kanaknya pernah menyatakan: "Barangkali dari seluruh anak yatim, yang 
termiskin adalah saya. Waktu Lebaran, anak-anak mengenakan sandal 
atau sepatu, tapi saya tidak punya sandal apa lagi sepatu."

Tapi kemiskinan tidak sekali-kali menghalangi beliau dalam menuntut 
ilmu agama. Bermula dengan pendidikan di Jamiat al-Khair, Jakarta, 
dan seterusnya menekuni belajar dengan para ulama sepuh seperti 
Habib 'Abdullah bin Muhsin al-Aththas rahimahUllah yang lebih 
terkenal dengan panggilan Habib Empang Bogor. Beliau sanggup berjalan 
kaki berbatu-batu semata-mata untuk hadir pengajian Habib Empang 
Bogor. Selain berguru dengan Habib Empang Bogor, beliau turut menjadi 
murid kepada Habib 'Alwi bin Thahir al-Haddad (mantan Mufti Johor), 
Habib 'Ali bin Muhammad bin Thahir al-Haddad, Habib Ali bin Husein al-
Aththas (Habib Ali Bungur), Habib Ali bin 'Abdur Rahman al-Habsyi 
(Habib Ali Kwitang) dan beberapa orang guru lagi. Dengan ketekunan, 
kesungguhan serta keikhlasannya, beliau dapat menguasai segala 
pelajaran yang diberikan dengan baik. Penguasaan ilmu-ilmu alat 
seperti nahwu telah membuat guru-gurunya kagum, bahkan menganjurkan 
agar murid-murid mereka yang lain untuk belajar dengan beliau.

Maka bermulalah hidup beliau menjadi penabur dan penyebar ilmu di 
berbagai madrasah sehinggalah akhirnya beliau mendirikan pusat 
pendidikan beliau sendiri yang dinamakan Madrasah Tsaqafah Islamiyyah 
di Bukit Duri, Jakarta. Dunia pendidikan memang tidak mungkin 
dipisahkan dari jiwa almarhum Habib 'Abdur Rahman, yang hampir 
seluruh umurnya dibaktikan untuk ilmu dan pendidikan sehingga dia 
disebut sebagai gurunya para ulama. Sungguh almarhum adalah seorang 
pembimbing yang siang dan malamnya menyaksikan keluhuran akhlak dan 
budi pekertinya, termasyhur dengan kelembutan perangainya, termasyhur 
dengan khusyu'nya, termasyhur dengan keramahannya oleh segenap 
kalangan masyarakat, orang-orang miskin, orang kaya, pedagang, 
petani, kiyai, ulama dan orang-orang awam yang masih belum mendapat 
hidayah pun menyaksikan kemuliaan akhlak dan keramahan beliau 
rahimahullah, termasyhur dengan keluasan ilmunya, guru besar bagi 
para Kiyai dan Fuqaha di Indonesia, siang dan malamnya ibadah, 
rumahnya adalah madrasahnya, makan dan minumnya selalu bersama 
tamunya, ayah dan ibu untuk ribuan murid-muridnya.

Selain meninggalkan anak-anak kandung serta ribuan murid yang 
menyambung usahanya, beliau turut meninggalkan karangan-karangan 
bukan sahaja dalam Bahasa 'Arab tetapi juga dalam Bahasa Jawa dan 
Sunda. Karangannya pula tidak terbatas pada satu cabang ilmu sahaja, 
tetapi berbagai macam ilmu, mulai dari tauhid, tafsir, akhlak, fiqh 
hinggalah sastera. Antara karangannya yang dicetak untuk kegunaan 
santri-santrinya:-
1.      Hilyatul Janan fi hadyil Quran; 
2.      Safinatus Sa`id; 
3.      Misbahuz Zaman; 
4.      Bunyatul Ummahat; dan
5.      Buah Delima.

Maka bulan mawlid tahun ini menyaksikan pemergian beliau ke 
rahmatUllah. Mudah-mudahan Allah menempatkan beliau bersama para 
leluhur beliau sehingga Junjungan Nabi s.a.w. dan semoga Allah 
jadikan bagi kita yang ditinggalkannya pengganti.
al-Fatihah


Kirim email ke