12: UZLAH ADALAH PINTU  TAFAKUR 

--------------------------------------------------------------------------------


TIADA SESUATU YANG SANGAT BERGUNA BAGI HATI SEBAGAIMANA UZLAH UNTUK MASUK KE 
MEDAN TAFAKUR. 

Kalam-kalam Hikmat pertama hingga ke sebelas telah memberi gambaran tentang 
keperibadian tauhid yang halus-halus. Seseorang yang mencintai Allah s.w.t dan 
mahu berada di sisi-Nya sangat ingin untuk mencapai keperibadian yang demikian. 
Dalam membentuk keperibadian itu dia gemar mengikuti landasan syariat, kuat 
beribadat dan menjauhkan diri dari perbuatan maksiat dan dosa. Dia sering 
bangun pada malam hari untuk melakukan sembahyang tahajud dan selalu pula 
melakukan puasa sunat. Dia menjaga tingkah-laku dan akhlak dengan mencontohi 
apa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Hasil daripada kesungguhannya itu 
terbentuklah padanya keperibadian seorang muslim yang baik. Walaupun demikian 
dia masih tidak mencapai kepuasan dan kedamaian. Dia masih tidak mengerti 
tentang Allah s.w.t. Banyak persoalan yang timbul di dalam kepalanya yang tidak 
mampu dihuraikannya. Dia telah bertanya kepada mereka yang alim, tetapi dia 
tidak mendapat jawapan yang memuaskan hatinya. Jika ada pun jawapan yang baik 
disampaikan kepadanya dia tidak dapat menghayati apa yang telah diterangkan 
itu. Dia mengkaji kitab-kitab tasauf  yang besar-besar. Ulama tasauf  telah 
memberikan penjelasan yang mampu diterima oleh akalnya namun, dia masih 
merasakan kekosongan di satu sudut di dalam dirinya. Bolehlah dikatakan yang 
dia sampai kepada perbatasan akalnya. 

Hikmat 12 ini memberi petunjuk kepada orang yang gagal mencari jawapan dengan 
kekuatan akalnya. Jalan yang disarankan ialah uzlah atau mengasingkan diri dari 
orang ramai. Jika dalam suasana biasa akal tidak mampu memecahkan kubu 
kebuntuan, dalam suasana uzlah hati mampu membantu akal secara tafakur, 
merenungi perkara-perkara yang tidak boleh difikirkan oleh akal biasa. Uzlah 
yang disarankan oleh Hikmat 12 ini bukanlah uzlah sebagai satu cara hidup yang 
berterusan tetapi ia adalah satu bentuk latihan kerohanian bagi memantapkan 
rohani agar akalnya dapat menerima pancaran Nur Kalbu kerana tanpa sinaran Nur 
Kalbu tidak mungkin akal dapat memahami hal-hal ketuhanan yang halus-halus, dan 
tidak akan diperolehi iman dan  tauhid yang hakiki. 

 Hati adalah bangsa rohani atau nurani iaitu hati berkemampuan mengeluarkan nur 
jika ia berada di dalam keadaan suci bersih. nur yang dikeluarkan oleh hati 
yang suci bersih itu akan menerangi otak yang bertempat di kepala yang menjadi 
kenderaan akal. Akal yang diterangi oleh nur akan dapat mengimani 
perkara-perkara ghaib yang tidak dapat diterima oleh hukum logik. Beriman 
kepada perkara ghaib menjadi jalan untuk mencapai tauhid yang hakiki. 

 Nabi Muhammad s.a.w sebelum diutus sebagai Rasul pernah juga mengalami 
kebuntuan akal tentang hal ketuhanan. Pada masa itu ramai pendeta Nasrani dan 
Yahudi yang arif tentang hal tersebut, tetapi Nabi Muhammad s.a.w tidak pergi 
kepada mereka untuk mendapatkan jawapan yang mengganggu fikiran baginda s.a.w, 
sebaliknya baginda s.a.w telah memilih jalan uzlah. Ketika umur baginda s.a.w 
36 tahun baginda s.a.w melakukan uzlah di Gua Hiraa. Baginda s.a.w tinggal 
sendirian di dalam gua yang sempit lagi gelap, terpisah dari isteri, anak-anak, 
keluarga, masyarakat hinggakan cahaya matahari pun tidak menghampiri baginda 
s.a.w. Amalan uzlah yang demikian baginda s.a.w lakukan secara berulang-ulang 
sehingga umur baginda s.a.w mencapai 40 tahun. Masa yang paling baginda s.a.w 
gemar beruzlah di Gua Hiraa' ialah pada bulan Ramadan. Latihan uzlah yang 
baginda lakukan dari umur 36 hingga 40 tahun itu telah memantapkan rohani 
baginda s.a.w sehingga berupaya menerima tanggungjawab sebagai Rasul. Latihan 
semasa uzlah telah menyucikan hati baginda s.a.w dan meneguhkannya sehingga 
hati itu mampu menerangi akal untuk mentafsir wahyu secara halus dan lengkap. 
Wahyu yang dibacakan oleh  Jibrail a.s hanyalah singkat tetapi Rasulullah s.a.w 
dapat menghayatinya, memahaminya dengan tepat, mengamalkannya dengan tepat dan 
menyampaikannya kepada umatnya dengan tepat meskipun baginda s.a.w tidak tahu 
membaca dan menulis. 

 Begitulah kekuatan dan kebijaksanaan yang lahir dari latihan semasa uzlah. 
Tanpa latihan dan persiapan yang cukup seseorang tidak dapat masuk ke dalam 
medan tafakur tentang ketuhanan. Orang yang masuk ke dalam medan ini tanpa 
persediaan dan kekuatan akan menemui kebuntuan. Jika dia masih juga merempuh 
tembok kebuntuan itu dia akan jatuh ke dalam jurang gila. 

 Orang awam hidup dalam suasana: "Tugas utama adalah menguruskan kehidupan 
harian dan tugas sambilan pula menghubungkan diri dengan Allah s.w.t". Orang 
yang di dalam suasana ini sentiasa ada masa untuk apa juga aktiviti tetapi 
sukar mencari kesempatan untuk bersama-sama Allah s.w.t. Orang yang seperti ini 
jika diperingatkan supaya mengurangkan aktiviti kehidupannya dan 
memperbanyakkan aktiviti perhubungan dengan Allah s.w.t mereka memberi alasan 
bahawa Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda s.a.w tidak meninggalkan 
dunia lantaran sibuk dengan Allah s.w.t. Mereka ini lupa atau tidak mengerti 
bahawa Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah mendapat wisal atau penyerapan 
hal yang berkekalan. Hati mereka tidak berpisah lagi dengan Allah s.w.t. 
Kesibukan menguruskan urusan harian tidak membuat mereka lupa kepada Allah 
s.w.t walau satu detik pun. Orang yang mata hatinya masih tertutup dan cermin 
hatinya tidak menerima pancaran Nur Sir, tidak mungkin hatinya berhadap kepada 
Allah  s.w.t ketika sedang sibuk melayani makhluk Allah s.w.t. Orang yang insaf 
akan kelemahan dirinya akan mengikuti jalan yang dipelopori oleh Rasulullah 
s.a.w dan diikuti oleh para sahabat iaitu memisahkan diri dengan semua jenis 
kesibukan terutamanya pada satu pertiga malam yang akhir. Tidak ada hubungan 
dengan orang ramai. Tidak dikunjung dan tidak mengunjungi. Tidak ada surat 
khabar, radio dan televisyen. Tidak ada perhubungan dengan segala sesuatu 
kecuali perhubungan dengan Allah s.w.t. 

 Dalam perjalanan tarekat   tasauf  amalan uzlah dilakukan dengan bersistematik 
dan latihan yang demikian dinamakan suluk. Orang yang menjalani suluk dinamakan 
murid atau salik. Si salik menghabiskan kebanyakan daripada masanya di dalam 
bilik khalwat dengan diawasi dan dibimbing oleh gurunya. Latihan bersuluk 
memisahkan salik dengan hijab yang paling besar bagi orang yang baharu 
menjalani jalan kerohanian iaitu pergaulan dengan orang ramai. Imannya belum 
cukup teguh dan mudah menerima rangsangan daripada luar yang boleh 
menggelincirkannya untuk melakukan maksiat dan melalaikan hatinya daripada 
mengingati Allah s.w.t. Apabila dia dipisahkan dari dunia luar jiwanya lebih 
aman dan tenteram mengadakan perhubungan dengan Allah s.w.t. 

 Semasa beruzlah, bersuluk atau berkhalwat, si murid bersungguh-sungguh di 
dalam bermujahadah memerangi hawa nafsu dan tarikan duniawi. Dia 
memperbanyakkan sembahyang, puasa dan berzikir. Dia mengurangkan tidur kerana 
memanjangkan masa beribadat. Kegiatan beribadat dan pelepasan ikatan nafsu dan 
duniawi menjernihkan cermin hatinya. Hati yang suci bersih menghala ke alam 
ghaib iaitu Alam  Malakut. Hati mampu menerima isyarat-isyarat  dari alam 
ghaib. Isyarat yang diterimanya hanyalah sebentar tetapi cukup untuk menarik 
minatnya bagi mengkaji apa yang ditangkap oleh hatinya itu. Terjadilah 
perbahasan di antara fikirannya dengan dirinya sendiri. Pada masa yang sama dia 
menjadi penanya dan penjawab, murid dan pengajar. Perbahasan dengan diri 
sendiri itu dinamakan tafakur. 

 Pertanyaan timbul dalam fikirannya namun, fikirannya tidak dapat memberi 
jawapan. Ketika fikirannya meraba-raba mencari jawapan, dia mendapat bantuan 
daripada hatinya yang sudah suci bersih. Hati yang berkeadan begini 
mengeluarkan nur yang menerangi akal, lalu jalan fikirannya terus menjadi 
terang. Sesuatu persoalan yang pada mulanya difikirkan rumit dan mengelirukan, 
tiba-tiba menjadi mudah dan terang. Dia mendapat jawapan yang memuaskan hatinya 
kepada persoalan yang dahulunya mengacau fikiran dan jiwanya. Dia menjadi 
bertambah berminat untuk bertafakur menghuraikan segala kekusutan yang tidak 
dapat dihuraikannya selama ini. Dia gemar merenung segala perkara dan berbahas 
dengan dirinya, menghubungkannya dengan Tuhan sehingga dia mendapat jawapan 
yang memuaskan hatinya. Semakin dia bertafakur semakin terbuka kegelapan yang 
menutupi fikirannya. Dia mula memahami tentang hakikat, hubung-kait antara 
makhluk dengan Tuhan, rahsia Tenaga Ilahi dalam perjalanan alam dan sebagainya. 

 Isyarat-isyarat tauhid yang diterima oleh hatinya membuat mata hatinya melihat 
bekas-bekas Tangan Allah s.w.t dalam alam maya ini. Dia dapat melihat bahawa 
semuanya adalah ciptaan Allah s.w.t, gubahan-Nya, lukisan-Nya dan 
peraturan-Nya. Hasil dari kegiatan bertafakur tentang Tuhan membawa dia 
bermakrifat kepada Allah s.w.t melalui akalnya. Makrifat secara akal menjadi 
kemudi baginya untuk mencapai makrifat secara zauk. 

Dalam pengajian ketuhanan akal hendaklah tunduk mengakui kelemahannya. Akal 
hendaklah sedar bahawa ia tidak mampu memahami perkara ghaib. Oleh itu akal 
perlu meminta bantuan hati. Hati perlu digilap supaya bercahaya. Dalam proses 
menggilap hati itu akal tidak perlu banyak mengadakan hujah. Hujah akal 
melambatkan proses penggilapan hati. Sebab itulah Hikmat 12 menganjurkan supaya 
mengasingkan diri. Di dalam suasana pengasingan nafsu menjadi lemah dan akal 
tidak lagi mengikut telunjuk nafsu. Baharulah hati dapat mengeluarkan 
cahayanya. Cahaya hati menyuluh kepada alam ghaib. Apabila alam ghaib sudah 
terang benderang baharulah akal mampu memahami hal ketuhanan yang tidak mampu 
dihuraikannya sebelum itu
 




------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Join modern day disciples reach the disfigured and poor with hope and healing
http://us.click.yahoo.com/lMct6A/Vp3LAA/i1hLAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

Ajaklah teman dan saudara anda bergabung ke milis Media Dakwah.
Kirim email ke: [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/media-dakwah/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke