-2: AHLI ASBAB  DAN AHLI TAJRID 


KEINGINAN KAMU UNTUK BERTAJRID PADAHAL ALLAH MASIH MELETAKKAN KAMU  DALAM 
SUASANA ASBAB ADALAH SYAHWAT YANG SAMAR, SEBALIKNYA KEINGINAN KAMU UNTUK 
BERASBAB PADAHAL ALLAH  TELAH MELETAKKAN KAMU  DALAM SUASANA TAJRID BERERTI 
TURUN DARI SEMANGAT DAN TINGKAT YANG TINGGI. 

Hikmat 1 menerangkan tanda orang yang bersandar kepada amal. Bergantung kepada 
amal adalah sifat manusia biasa yang hidup dalam dunia ini. Dunia ini dinamakan 
alam asbab. Apabila perjalanan hidup keduniaan dipandang melalui mata ilmu atau 
mata akal akan dapat disaksikan kerapian susunan sistem sebab musabab yang 
mempengaruhi segala kejadian. Tiap sesuatu berlaku menurut sebab yang 
menyebabkan ia berlaku. Hubungan sebab dengan akibat sangat erat. Mata akal 
melihat dengan jelas keberkesanan sebab dalam menentukan akibat. Kerapian 
sistem sebab musabab ini membolehkan manusia  mengambil manfaat daripada anasir 
dan kejadian alam. Manusia dapat menentukan anasir yang boleh memudaratkan 
kesihatan lalu menjauhkannya dan manusia juga boleh menentukan anasir yang 
boleh menjadi ubat lalu menggunakannya. Manusia boleh membuat ramalan cuaca, 
pasang surut air laut, angin, ombak, letupan gunung berapi dan lain-lain kerana 
sistem yang mengawal perjalanan anasir alam berada dalam suasana yang sangat 
rapi dan sempurna, membentuk hubungan sebab dan akibat yang padu. 

Allah s.w.t mengadakan sistem sebab musabab yang rapi adalah untuk kemudahan 
manusia menyusun kehidupan mereka di dunia ini. Kekuatan akal dan pancaindera 
manusia mampu mentadbir kehidupan yang dikaitkan dengan perjalanan sebab 
musabab. Hasil daripada pemerhatian dan kajian akal itulah lahir berbagai-bagai 
jenis ilmu tentang alam dan kehidupan, seperti ilmu sains, astronomi, 
kedoktoran, teknologi maklumat dan sebagainya. Semua jenis ilmu itu dibentuk 
berdasarkan perjalanan hukum sebab-akibat. 
 Kerapian sistem sebab musabab menyebabkan manusia terikat kuat dengan hukum 
sebab-akibat. Manusia bergantung kepada amal (sebab) dalam mendapatkan hasil 
(akibat). Manusia yang melihat kepada keberkesanan sebab dalam menentukan 
akibat serta bersandar dengannya dinamakan ahli asbab. 

Sistem sebab musabab atau perjalanan hukum sebab-akibat sering membuat manusia 
lupa kepada kekuasaan Allah s.w.t. Mereka melakukan sesuatu dengan penuh 
keyakinan bahawa akibat akan lahir daripada sebab, seolah-olah Allah s.w.t 
tidak ikut campur dalam urusan mereka. Allah s.w.t tidak suka hamba-Nya 
'mempertuhankan' sesuatu kekuatan sehingga mereka lupa kepada kekuasaan-Nya. 
Allah s.w.t tidak suka jika hamba-Nya sampai kepada tahap mempersekutukan 
diri-Nya dan kekuasaan-Nya dengan anasir alam  dan hukum sebab-akibat 
ciptaan-Nya. Dia yang meletakkan keberkesanan kepada anasir alam berkuasa 
membuat anasir alam itu lemah semula. Dia yang meletakkan kerapian pada hukum 
sebab-akibat berkuasa merombak hukum tersebut. Dia mengutuskan rasul-rasul dan 
nabi-nabi membawa mukjizat yang merombak hukum sebab-akibat bagi mengembalikan 
pandangan manusia kepada-Nya, agar waham sebab musabab tidak menghijab 
ketuhanan-Nya. Kelahiran Nabi Isa a.s, terbelahnya laut dipukul oleh tongkat 
Nabi Musa a.s, kehilangan kuasa membakar yang ada pada api tatkala Nabi Ibrahim 
a.s masuk ke dalamnya, keluarnya air yang jernih dari jari-jari Nabi Muhammad 
s.a.w dan banyak lagi yang didatangkan oleh Allah s.w.t, merombak keberkesanan 
hukum sebab-akibat bagi menyedarkan manusia tentang hakikat bahawa kekuasaan 
Allah s.w.t yang menerajui perjalanan alam maya dan hukum sebab-akibat. Alam 
dan hukum yang ada padanya seharusnya  membuat manusia mengenal Tuhan, bukan 
menutup pandangan kepada Tuhan. Sebahagian daripada manusia diselamatkan Allah 
s.w.t daripada waham sebab musabab. 

Sebagai manusia yang hidup dalam dunia mereka masih bergerak dalam arus sebab 
musabab tetapi mereka tidak meletakkan keberkesanan hukum kepada sebab. Mereka 
sentiasa melihat kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan atau mencabut 
keberkesanan pada sesuatu hukum sebab-akibat. Jika sesuatu sebab berjaya 
mengeluarkan akibat menurut yang biasa terjadi, mereka melihatnya sebagai 
kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan kekuatan kepada sebab tersebut dan Allah 
s.w.t juga yang mengeluarkan akibatnya. Allah s.w.t berfirman: 


Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan 
Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dialah sahaja yang menguasai dan 
memiliki langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas 
tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 1 & 2 : Surah al-Hadiid ) 

Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu 
yang kamu sembelih itu". (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). 
Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan 
kepada kamu tanda-tanda  kekuasaan-Nya, supaya kamu memahaminya. ( Ayat 73 : 
Surah al-Baqarah ) 
Orang yang melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t menerajui hukum sebab-akibat 
tidak  meletakkan keberkesanan kepada hukum tersebut. Pergantungannya kepada 
Allah s.w.t, tidak  kepada amal yang menjadi sebab. Orang yang seperti ini 
dipanggil ahli tajrid. 

Ahli tajrid, seperti juga ahli asbab, melakukan sesuatu menurut peraturan 
sebab-akibat. Ahli tajrid juga makan dan minum  Ahli tajrid memanaskan badan 
dan memasak dengan menggunakan api juga. Ahli tajrid juga melakukan sesuatu 
pekerjaan yang berhubung dengan rezekinya. Tidak ada perbezaan di antara amal 
ahli tajrid dengan amal ahli asbab. Perbezaannya terletak di dalam diri iaitu 
hati. Ahli asbab melihat kepada kekuatan hukum alam. Ahli tajrid melihat kepada 
kekuasaan Allah s.w.t pada hukum alam itu. Walaupun ahli asbab mengakui 
kekuasaan Allah s.w.t tetapi penghayatan dan kekuatannya pada hati tidak sekuat 
ahli tajrid. 

Dalam melakukan kebaikan ahli asbab perlu melakukan mujahadah. Mereka perlu 
memaksa diri mereka berbuat baik dan perlu menjaga kebaikan itu agar tidak 
menjadi rosak. Ahli asbab perlu memperingatkan dirinya supaya berbuat ikhlas 
dan perlu melindungi keikhlasannya agar tidak dirosakkan oleh riak (berbuat 
baik untuk diperlihatkan kepada orang lain agar dia dikatakan orang baik), 
takbur (sombong dan membesar diri, merasakan diri sendiri lebih baik, lebih 
tinggi, lebih kuat dan lebih cerdik daripada orang lain) dan sama'ah (membawa 
perhatian orang lain kepada kebaikan yang telah dibuatnya dengan cara bercerita 
mengenainya, agar orang memperakui bahawa dia adalah orang baik). Jadi, ahli 
asbab perlu memelihara kebaikan sebelum melakukannya dan juga selepas 
melakukannya. Suasana hati ahli tajrid berbeza daripada apa yang dialami oleh 
ahli asbab. Jika ahli asbab memperingatkan dirinya supaya ikhlas, ahli tajrid 
tidak melihat kepada ikhlas kerana mereka tidak bersandar kepada amal kebaikan 
yang mereka lakukan. Apa juga kebaikan yang keluar daripada mereka diserahkan 
kepada Allah s.w.t yang mengurniakan kebaikan tersebut. Ahli tajrid tidak perlu 
menentukan perbuatannya ikhlas atau tidak ikhlas. Melihat keihklasan pada 
perbuatan sama dengan melihat diri sendiri yang ikhlas. Apabila seseorang 
merasakan dirinya sudah ikhlas, padanya masih tersembunyi keegoan diri yang 
membawa kepada riak, ujub (merasakan diri sendiri sudah baik) dan sama'ah. 
Apabila tangan kanan berbuat ikhlas dalam keadaan tangan kiri tidak menyedari 
perbuatan itu baharulah tangan kanan itu benar-benar ikhlas. Orang yang ikhlas 
berbuat kebaikan dengan melupakan kebaikan itu. Ikhlas sama seperti harta 
benda. Jika seorang miskin diberi harta oleh jutawan, orang miskin itu malu 
mendabik dada kepada jutawan itu dengan mengatakan yang dia sudah kaya. Orang 
tajrid yang diberi ikhlas oleh Allah s.w.t mengembalikan kebaikan mereka kepada 
Allah s.w.t. Jika harta orang miskin itu hak si jutawan tadi, ikhlas orang 
tajrid adalah hak Allah s.w.t. Jadi, orang asbab bergembira kerana melakukan 
perbuatan dengan  ikhlas, orang tajrid pula melihat Allah s.w.t yang mentadbir 
sekalian urusan. Ahli asbab dibawa kepada syukur, ahli tajrid berada dalam 
penyerahan. 

Kebaikan yang dilakukan oleh ahli asbab merupakan teguran agar mereka ingat 
kepada Allah s.w.t yang memimpin mereka kepada kebaikan. Kebaikan yang 
dilakukan oleh ahli tajrid merupakan kurniaan Allah s.w.t kepada kumpulan 
manusia yang tidak memandang kepada diri mereka dan kepentingannya. Ahli asbab 
melihat kepada keberkesanan hukum sebab-akibat. Ahli tajrid pula melihat kepada 
keberkesanan kekuasaan dan ketentuan Allah s.w.t. Dari kalangan ahli tajrid, 
Allah s.w.t memilih sebahagiannya dan meletakkan kekuatan hukum pada mereka. 
Kumpulan ini bukan sekadar tidak melihat kepada keberkesanan hukum 
sebab-akibat, malah mereka berkekuatan menguasai hukum sebab-akibat itu. Mereka 
adalah nabi-nabi dan wali-wali pilihan. Nabi-nabi dianugerahkan mukjizat dan 
wali-wali dianugerahkan kekeramatan. Mukjizat dan kekeramatan merombak 
keberkesanan hukum sebab-akibat. 

Di dalam kumpulan wali-wali pilihan yang dikurniakan kekuatan mengawal hukum 
sebab-akibat itu terdapatlah orang-orang seperti Syeikh Abdul Kadir al-Jailani, 
Abu Hasan as-Sazili, Rabiatul Adawiah, Ibrahim Adham dan lain-lain. Cerita 
tentang kekeramatan mereka sering diperdengarkan. Orang yang cenderung kepada 
tarekat  tasauf  gemar menjadikan kehidupan aulia Allah s.w.t tersebut sebagai 
contoh, dan yang mudah memikat perhatian adalah bahagian kekeramatan. 
Kekeramatan biasanya dikaitkan dengan perilaku kehidupan yang zuhud dan 
bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Timbul anggapan bahawa jika mahu 
memperolehi kekeramatan seperti mereka mestilah hidup sebagaimana mereka. Orang 
yang berada pada peringkat permulaan bertarekat  cenderung untuk memilih jalan 
bertajrid iaitu membuang segala ikhtiar dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah  
s.w.t. Sikap melulu bertajrid membuat seseorang meninggalkan pekerjaan, isteri, 
anak-anak, masyarakat dan dunia seluruhnya. Semua harta disedekahkan kerana dia 
melihat Saidina Abu Bakar as-Siddik telah berbuat demikian. Ibrahim bin Adham 
telah meninggalkan takhta kerajaan, isteri, anak, rakyat dan negerinya lalu 
tinggal di dalam gua. Biasanya orang yang bertindak demikian tidak dapat 
bertahan lama. Kesudahannya dia mungkin meninggalkan kumpulan tarekatnya dan 
kembali kepada kehidupan duniawi. Ada juga yang kembali kepada kehidupan yang 
lebih buruk daripada keadaannya sebelum bertarekat   dahulu kerana dia mahu 
menebus kembali apa yang telah ditinggalkannya dahulu untuk bertarekat. Keadaan 
yang demikian berlaku akibat bertajrid secara melulu. Orang yang baharu masuk 
ke dalam bidang latihan kerohanian sudah mahu beramal seperti aulia Allah s.w.t 
yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan mencampak semua yang 
dimilikinya secara tergesa-gesa membuatnya berhadapan dengan cabaran dan dugaan 
yang boleh menggoncangkan imannya dan mungkin juga membuatnya berputus-asa. Apa 
yang harus dilakukan bukanlah meniru kehidupan aulia Allah s.w.t yang telah 
mencapai makam yang tinggi secara melulu. Seseorang haruslah melihat kepada 
dirinya dan mengenalpasti kedudukannya, kemampuanya dan daya-tahannya. Ketika 
masih di dalam makam asbab seseorang haruslah bertindak sesuai dengan hukum 
sebab-akibat. Dia harus bekerja untuk mendapatkan rezekinya dan harus pula 
berusaha menjauhkan dirinya daripada bahaya atau kemusnahan. 

Ahli asbab perlu berbuat demikian kerana dia masih lagi terikat dengan 
sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih lagi melihat bahawa tindakan makhluk memberi 
kesan kepada dirinya. Oleh yang demikian adalah wajar sekiranya dia mengadakan 
juga tindakan yang menurut pandangannya akan mendatangkan kesejahteraan kepada 
dirinya dan orang lain. Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang pada kedudukan 
sebagai ahli asbab ialah apabila urusannya dan tindakannya yang menurut 
kesesuaian hukum sebab-akibat tidak menyebabkannya mengabaikan kewajipan 
terhadap tuntutan agama. Dia tetap berasa rengan untuk berbakti kepada Allah 
s.w.t, tidak gelojoh dengan nikmat duniawi dan tidak berasa iri hati terhadap 
orang lain. Apabila ahli asbab berjalan menurut hukum asbab maka jiwanya akan 
maju dan berkembang dengan baik tanpa menghadapi kegoncangan yang besar yang 
boleh menyebabkan dia berputus asa dari rahmat Allah s.w.t. Rohaninya akan 
menjadi kuat sedikit demi sedikit dan menolaknya ke dalam makam tajrid secara 
selamat. Akhirnya dia mampu untuk bertajrid sepenuhnya. 

Ada pula orang yang dipaksa oleh takdir supaya bertajrid. Orang ini asalnya 
adalah ahli asbab yang berjalan menurut hukum sebab-akibat sebagaimana orang 
ramai. Kemungkinannya kehidupan seperti itu tidak menambahkan kematangan 
rohaninya. Perubahan jalan perlu baginya supaya dia boleh maju dalam bidang 
kerohanian. Oleh itu takdir bertindak memaksanya untuk terjun ke dalam lautan 
tajrid. Dia akan mengalami keadaan di mana hukum sebab-akibat tidak lagi 
membantunya untuk menyelesaikan masalahnya. Sekiranya dia seorang raja, takdir  
mencabut kerajaannya. Sekiranya dia seorang hartawan, takdir  menghapuskan 
hartanya. Sekiranya dia seorang yang cantik, takdir  menghilangkan 
kecantikannya itu. Takdir memisahkannya daripada apa yang dimiliki dan 
dikasihinya. Pada peringkat permulaan menerima kedatangan takdir yang demikian, 
sebagai ahli asbab, dia berikhtiar menurut hukum sebab-akibat untuk 
mempertahankan apa yang dimiliki dan dikasihinya. Jika dia tidak terdaya untuk 
menolong dirinya dia akan meminta pertolongan orang lain. Setelah puas dia 
berikhtiar termasuklah bantuan orang lain namun, tangan takdir tetap juga 
merombak sistem  sebab-akibat yang terjadi ke atas dirinya. Apabila dia sendiri 
dengan dibantu oleh orang lain tidak mampu mengatasi arus takdir maka dia tidak 
ada pilihan kecuali berserah kepada takdir. Dalam keadaan begitu dia akan lari 
kepada Allah s.w.t dan merayu agar Allah s.w.t menolongnya. Pada peringkat ini 
seseorang itu akan kuat beribadat dan menumpukan sepenuh hatinya kepada Tuhan. 
Dia benar-benar berharap Tuhan akan menolongnya mengembalikan apa yang pernah 
dimilikinya dan dikasihinya. Tetapi, pertolongan tidak juga sampai kepadanya 
sehinggalah dia benar-benar terpisah dari apa yang dimiliki dan dikasihinya 
itu. Luputlah harapannya untuk memperolehinya kembali. Redalah dia dengan 
perpisahan itu. Dia tidak lagi merayu kepada Tuhan sebaliknya dia menyerahkan 
segala urusannya kepada Tuhan. Dia menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t, 
tidak ada lagi ikhtiar, pilihan dan kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang 
hamba Allah s.w.t yang bertajrid. Apabila seseorang hamba benar-benar bertajrid 
maka Allah s.w.t sendiri akan menguruskan kehidupannya. Allah s.w.t 
menggambarkan suasana tajrid dengan firman-Nya: 


Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, 
Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dialah jua Yang 
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ( Ayat 60 : Surah al-'Ankabut ) 
Makhluk Allah s.w.t seperti burung, ikan, kuman dan sebagainya tidak memiliki 
tempat simpanan makanan. Mereka adalah ahli tajrid yang dijamin rezeki mereka 
oleh Allah s.w.t. Jaminan Allah s.w.t itu meliputi juga bangsa manusia. Tanda 
Allah s.w.t meletakkan seseorang hamba-Nya di dalam makam tajrid ialah Allah 
s.w.t memudahkan baginya rezeki yang datang dari arah yang tidak diduganya. 
Jiwanya tetap  tenteram sekalipun terjadi kekurangan pada rezeki atau ketika 
menerima bala ujian. 

Sekiranya ahli tajrid sengaja memindahkan dirinya kepada makam asbab maka ini 
bermakna dia melepaskan jaminan Allah s.w.t lalu bersandar kepada makhluk . Ini 
menunjukkan akan kejahilannya tentang rahmat dan kekuasaan Allah s.w.t. 
Tindakan yang jahil itu boleh menyebabkan berkurangan atau hilang terus 
keberkatan yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya. Misalnya, seorang ahli tajrid 
yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan kecuali membimbing orang ramai kepada 
jalan Allah s.w.t, walaupun tidak mempunyai sebarang pekerjaan namun, rezeki 
datang kepadanya dari berbagai-bagai arah dan tidak pernah putus tanpa dia 
meminta-minta atau mengharap-harap. Pengajaran yang disampaikan kepada 
murid-muridnya sangat berkesan sekali. Keberkatannya amat ketara seperti makbul 
doa dan ucapannya biasanya menjadi kenyataan. Andainya dia meninggalkan suasana 
bertajrid lalu berasbab kerana tidak puas hati dengan rezeki yang diterimanya 
maka keberkatannya akan terjejas. Pengajarannya, doanya dan ucapannya tidak 
seberkesan dahulu lagi. Ilham yang datang kepadanya tersekat-sekat dan 
kefasihan lidahnya tidak selancar biasa. 

Seseorang hamba haruslah menerima dan reda dengan kedudukan yang Allah s.w.t 
kurniakan kepadanya. Berserahlah kepada Allah s.w.t dengan yakin bahawa Allah 
Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Allah s.w.t tahu apa yang patut bagi setiap 
makhluk-Nya. Allah s.w.t sangat bijak mengatur urusan hamba-hamba-Nya. 

Keinginan kepada pertukaran makam merupakan tipu daya yang sangat halus. Di 
dalamnya tersembunyi rangsangan nafsu yang sukar disedari. Nafsu di sini 
merangkumi kehendak, cita-cita dan angan-angan. Orang yang baharu terbuka pintu 
hatinya setelah lama hidup di dalam kelalaian, akan mudah tergerak untuk 
meninggalkan suasana asbab dan masuk ke dalam suasana tajrid. Orang yang telah 
lama berada dalam suasana tajrid, apabila kesedaran dirinya kembali sepenuhnya, 
ikut kembali kepadanya adalah keinginan,  cita-cita dan angan-angan. Nafsu 
mencuba untuk bangkit semula menguasai dirinya. Orang asbab perlulah menyedari 
bahawa keinginannya untuk berpindah kepada makam tajrid itu mungkin secara 
halus digerakkan oleh ego diri yang tertanam jauh dalam jiwanya. Orang tajrid 
pula perlu sedar keinginannya untuk kembali kepada asbab itu mungkin didorong 
oleh nafsu rendah yang masih belum berpisah dari hatinya. Ulama tasauf  
mengatakan seseorang mungkin dapat mencapai semua makam nafsu, tetapi nafsu 
peringkat pertama tidak kunjung padam. Oleh yang demikian perjuangan atau 
mujahadah mengawasi nafsu sentiasa berjalan.
 











------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Join modern day disciples reach the disfigured and poor with hope and healing
http://us.click.yahoo.com/lMct6A/Vp3LAA/i1hLAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

Ajaklah teman dan saudara anda bergabung ke milis Media Dakwah.
Kirim email ke: [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/media-dakwah/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke