Dua pelajaran diperolehi daripada kisah Nabi Yusuf. Pertama, mengenai makna 
sepatah perkataan Arab di dalam al-Qur'an. Perkataan itu ialah "rasul" yang 
lazimnya diguna untuk "Rasul Allah", atau "Utusan Allah". Akan tetapi, pada 
sebuah ayat dalam surah Yusuf perkataan itu digunakan oleh Allah untuk seorang 
utusan atau pembawa berita kepada seorang raja. Inilah ayatnya:
    "Raja berkata, 'Datangkanlah dia (Yusuf) kepadaku.' Apabila rasul (utusan) 
datang kepadanya, dia (Yusuf) berkata, 'Kembalilah kepada pemelihara (raja) 
kamu, dan tanyalah dia, 'Bagaimanakah dengan wanita-wanita yang memotong tangan 
mereka?' Sesungguhnya Pemeliharaku mengetahui muslihat mereka.'" (Qur'an 
12:50). 
  Maka perkataan rasul bukan sahaja diguna untuk Rasul Allah, malah ia boleh 
digunakan untuk orang yang tugasnya seperti utusan atau pembawa berita bagi 
orang lain. 
  Rasul di dalam ayat tadi adalah orang suruhan bagi seorang raja yang 
dihantar, atau diutus, untuk berjumpa dan membawa Nabi Yusuf dari penjara ke 
istana. Begitulah sedikit kisah Nabi Yusuf yang menarik disebut di sini. 
  Dengan itu, membawa kepada pelajaran kedua dalam kisah Nabi Yusuf dengan 
adik-beradik, ibu dan bapanya. Cerita-cerita mereka merupakan suatu pelajaran 
juga, seperti kata Allah: 
    "Sesungguhnya dalam cerita-cerita mereka adalah pelajaran bagi orang-orang 
yang mempunyai minda" (12:111). 
  Kisah Nabi Yusuf tersurat dalam Surah ke-12 al-Qur'an. Nama surah itu pun 
mengambil sempena nama Nabi Yusuf, iaitu Yusuf. Menurut suatu sumber, baginda 
dikatakan tinggal di sekitar tahun 1700 S.M, iaitu kira-kira 3,700 tahun 
dahulu. Atau, kurang lebih dua ribu tiga ratus tahun sebelum kemunculan Nabi 
Muhammad.
  Kisah Nabi Yusuf adalah cerita yang paling baik dalam al-Qur'an. Firman-Nya:
    "Kami menceritakan kepada kamu cerita yang paling baik dalam apa yang Kami 
mewahyukan kamu, al-Qur'an ini" (12:3).
  Cerita bermula dengan mimpi Nabi Yusuf semasa dia kanak-kanak. Mimpi itu 
diceritakannya kepada bapanya Yaakub, yang juga menjadi seorang Nabi.
    "Apabila Yusuf berkata kepada bapanya, 'Ayah, saya melihat sebelas bintang, 
dan matahari, dan bulan; saya melihat mereka sujud kepada saya" (12:4).
  Setelah mendengar cerita Yusuf, bapanya melarang mimpi itu daripada 
diceritakan kepada saudara-saudaranya. Dia juga memberi tahu Yusuf bahawa Tuhan 
telah memilihnya dan mengajarnya interpretasi mimpi.
  Abang-abangnya tidak suka padanya kerana mereka sangka Yusuf dan adiknya 
lebih dicintai oleh bapa mereka daripada mereka. Lalu mereka bercadang untuk 
membunuh atau membuang Yusuf ke tempat lain. Akan tetapi,
    "Seorang daripada mereka berkata, 'Tidak, janganlah membunuh Yusuf, tetapi 
lemparlah dia ke dasar perigi, dan sebahagian pengembara akan memungutnya, jika 
kamu mahu melakukan'" (12:10).  
  Setelah menetapkan rancangan itu mereka pergi kepada bapa mereka, meminta 
kebenarannya, supaya Yusuf dapat pergi bersama mereka untuk bersuka-suka dan 
bermain-main pada keesokan hari.
  Pada mulanya bapa mereka keberatan untuk membenarkan Yusuf pergi bersama 
mereka, dengan berkata "Ia menyedihkan aku bahawa kamu pergi dengannya, dan aku 
takut akan serigala memakannya sedang kamu lalai daripadanya" (12:13).
    "Maka apabila mereka pergi dengannya, dan mereka bersetuju untuk meletakkan 
dia di dasar perigi, lalu Kami mewahyukannya, 'Kamu akan memberitahu mereka 
mengenai perbuatan mereka ini apabila mereka tidak menyedari'" (12:15). 
  Mereka balik kepada bapa mereka pada waktu isyak, menangis dan berkata, 
"Ayah, kami pergi berlumba lari, dan meninggalkan Yusuf dengan barang-barang 
kami, lalu serigala memakannya. Tetapi ayah tidak akan mempercayai kami, 
walaupun kami berkata benar." 
  Dan, mereka menunjukkan baju Yusuf dengan darah palsu padanya. Bapanya 
berkata, "Tidak, tetapi jiwa kamu menghasut kamu untuk melakukan sesuatu 
perkara. Tetapi marilah, kesabaran yang manis! Dan pertolongan Allah dipohonkan 
terhadap apa yang kamu menyifatkan."
  Tidak lama kemudian, pengembara-pengembara datang ke perigi di mana Yusuf 
berada di dasarnya. Mereka mengutus seorang pengambil air lalu dia menurunkan 
timbanya. Tiba-tiba dia berkata, "Oh, berita gembira! Ini seorang anak lelaki 
muda." 
  Mereka mengambil Yusuf dan merahsiakannya sebagai barang dagangan; dan Allah 
mengetahui apa yang mereka buat. Kemudian mereka menjual Yusuf dengan harga 
yang murah, hanya beberapa dirham sahaja, kerana mereka tidak menghargainya.
  Orang yang membelinya, dari Mesir, berkata kepada isterinya, "Berilah dia 
tempat tinggal yang mulia, dan boleh jadi dia akan bermanfaat kepada kita, atau 
kita mengambil dia sebagai anak sendiri." 
  Dengan itu, Tuhan meneguhkan Yusuf di bumi supaya Dia mengajarnya 
interpretasi mimpi.
  Maka tinggallah Nabi Yusuf bersama orang Mesir yang membelinya sehingga 
dewasa. Dia menjadi seorang lelaki yang amat kacak. Kekacakan beliau membuatkan 
perempuan, yang di rumahnya dia tinggal, tergoda.
  Perempuan itu menutup pintu-pintu seraya berkata, "Marilah kepadaku!" Yusuf 
menjawab, "Pada Allah berlindung! Sesungguhnya tuanku telah memberi aku tempat 
tinggal yang baik!"
  Kalau tidak kerana pertolongan Allah, Nabi Yusuf turut tergoda pada perempuan 
itu. Kedua-duanya lari ke pintu, dan perempuan tersebut mengoyakkan baju Yusuf 
dari belakang. 
  Mereka mendapati ketua mereka di depan pintu. Perempuan itu berkata, "Apakah 
balasan bagi orang yang menghendaki kejahatan terhadap keluarga kamu, melainkan 
bahawa dia dipenjarakan, atau satu azab yang pedih?"
  Yusuf berkata, "Dia yang menggoda saya". Lalu seorang daripada ahli keluarga 
itu memberi suatu penjelasan, "Jika bajunya dikoyakkan di bahagian depan, maka 
perempuan itu telah berkata benar, dan Yusuf berdusta, tetapi jika bajunya 
dikoyakkan di bahagian belakang, maka perempuan itulah yang berdusta, dan  
Yusuf orang yang benar." 
  Apabila ketua mereka melihat bajunya dikoyakkan dari belakang, dia berkata, 
"Ini muslihat perempuan daripada kamu; sesungguhnya muslihat kamu besar. Yusuf, 
berpalinglah daripada ini, dan kamu, perempuan, mintalah ampun atas kesalahan 
kamu; sesungguhnya kamu bersalah."
  Kejadian itu sampai ke telinga wanita-wanita tertentu di kota. Mereka 
berbisik, "Isteri Gabenor menggoda pemudanya yang menundukkan hatinya dengan 
cinta!"
  Setelah isteri Gabenor mendengar bisikan-bisikan licik mereka, dia mengutus 
kepada mereka, dan menyediakan bagi mereka tempat-tempat bersandar, kemudian 
dia memberikan tiap-tiap seorang daripada mereka sebilah pisau.
  Kemudian, dia menyuruh Yusuf pergi kepada perempuan-perempuan tersebut. 
Apabila mereka melihatnya, mereka sangat kagum padanya, lalu mereka memotong 
tangan-tangan mereka, dengan berkata, "Dijauhkan Allah! Bukanlah ini manusia; 
dia tidak lain, hanyalah seorang malaikat yang mulia."
  Lalu isteri Gabenor berkata, "Inilah dia orangnya yang kamu mencela aku 
dengannya. Benar, aku telah menggoda dia, tetapi dia menolak. Dan, jika dia 
tidak membuat apa yang aku memerintahkannya, dia akan dipenjarakan."
  Yusuf berkata, "Pemeliharaku, penjara lebih aku menyukai untukku daripada apa 
yang mereka menyeru aku kepadanya, dan jika Engkau tidak memalingkan  muslihat 
mereka daripada aku, tentu aku akan berkeinginan benar pada mereka, dan aku 
menjadi orang yang bodoh."
  Pemeliharanya pula menyahutinya, dan Dia memalingkan daripadanya muslihat 
perempuan-perempuan itu; sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang Mengetahui. 
  Maka Yusuf dimasukkan ke dalam penjara. Bersama dia adalah dua orang pemuda. 
Seorang daripada mereka berkata, "Aku bermimpi bahawa aku memerah anggur." 
Berkata yang lain, "Aku bermimpi bahawa aku membawa roti di atas kepalaku dan 
burung-burung makan sebahagiannya. Beritahulah kami interpretasinya. Kami 
melihat bahawa kamu adalah orang yang berbuat baik."
  Yusuf berkata, "Wahai rakan-rakanku yang sepenjara, bagi seorang daripada 
kamu, dia akan menuangkan minuman arak untuk tuannya; bagi yang satu lagi, dia 
akan disalib, dan burung akan makan sebahagian daripada kepalanya."
  Kemudian dia berkata kepada orang yang dia menyangka akan diselamatkan antara 
keduanya, "Sebutlah aku kepada tuan kamu." Akan tetapi, syaitan menjadikan dia 
lupa untuk menyebutnya, supaya dia tetap di dalam penjara selama beberapa tahun.
  Suatu hari, raja berkata, "Aku melihat dalam mimpi tujuh ekor lembu yang 
gemuk, dan tujuh yang kurus memakan mereka; dan tujuh tangkai bijirin yang 
hijau, dan tujuh yang lain kering. Wahai pembesar-pembesarku, putuskanlah 
kepadaku mimpiku."
  Tiada seorang pun antara mereka yang tahu. Kemudian pemuda yang telah 
diselamatkan dahulu berkata, setelah teringat, "Aku sendiri akan memberitahu 
kamu interpretasinya, maka utuslah aku."
  "Wahai Yusuf orang yang benar, putuskanlah kepada kami mengenai tujuh ekor 
lembu yang gemuk, yang tujuh yang kurus memakan, dan tujuh tangkai bijirin yang 
hijau, dan tujuh yang lain kering, supaya aku kembali kepada mereka agar mereka 
mengetahui."
  Yusuf berkata, "Kamu menyemai tujuh tahun seperti biasa; apa yang kamu tuai, 
tinggalkanlah ia pada tangkainya, kecuali sedikit daripadanya kamu makan. 
Kemudian sesudah itu, akan datang kepada kamu tujuh tahun yang keras yang 
memakan apa yang kamu menyediakan bagi mereka, semua, kecuali sedikit yang kamu 
simpan. Selepas itu, akan datang satu tahun yang manusia diberi pertolongan 
hujan, dan padanya mereka memerah."
  Raja berkata setelah mendengar interpretasi mimpi oleh Yusuf yang dibawa oleh 
utusannya, "Datangkanlah dia kepadaku." Apabila utusan itu tiba, Yusuf berkata, 
"Kembalilah kepada tuan kamu, dan tanyalah dia, mengenai wanita-wanita yang 
memotong tangan mereka?" 
  Raja bertanya, "Apakah urusan kamu, perempuan-perempuan, apabila kamu 
menggoda Yusuf?" Mereka menjawab, "Dijauhkan Allah! Kami tidak mengetahui 
kejahatan padanya." 
  Isteri Gabenor berkata, "Sekarang yang benar akhirnya menjadi nyata. Sayalah 
yang menggodanya."
  Raja berkata, "Datangkanlah dia kepadaku. Aku akan mendekatkannya dengan 
diriku." Setelah Yusuf berada dengannya, dia berkata kepada Yusuf, "Pada hari 
ini, kamu berkedudukan teguh dalam sokongan kami, dan dalam kepercayaan kami."
  Yusuf berkata, "Lantiklah saya kepada perbendaharaan bumi ini; saya adalah 
penjaga yang alim (berpengetahuan)."
    "Maka Kami meneguhkan Yusuf di bumi untuk dia menetap di mana sahaja dia 
kehendaki, dan Kami tidak mensia-siakan upah orang-orang yang berbuat baik" 
(12:56).
  Suatu hari, saudara-saudara Yusuf datang lalu masuk kepadanya. Dia kenal akan 
mereka, tetapi mereka tidak mengenalinya. Mereka datang untuk meminta 
pertolongan makanan.
  Setelah Yusuf menyiapkan bekal untuk mereka, dia berkata, "Datangkanlah 
kepadaku saudara kamu yang tertentu daripada bapa kamu. Tidakkah kamu melihat 
aku menepati sukatan, dan aku yang terbaik daripada penerima-penerima tamu? 
Tetapi jika kamu tidak mendatangkan dia kepadaku, maka tidak akan ada sukatan 
bagi kamu denganku, dan tidak juga kamu dapat mendekatiku."
  Mereka menjawab, "Kami akan memujuk bapa kami; itu kami akan buat."
  Lalu Yusuf menyuruh budak-budak suruhannya meletakkan balik barang-barang 
mereka (yang dibawa untuk mengganti bekalan makanan daripada Yusuf) ke dalam 
pundi-pundi mereka supaya mereka mengenalinya apabila mereka balik kepada 
keluarga mereka.
  Apabila mereka kembali kepada bapa mereka, mereka berkata, "Ayah, sukatan itu 
akan dinafikan kepada kami, maka utuslah bersama kami saudara kami supaya kami 
mendapatkan sukatan itu. Sesungguhnya kami akan menjaganya."
  Bapa mereka berkata, "Adakah aku akan mempercayai kamu kepadanya seperti aku 
mempercayai kamu kepada saudaranya dahulu?"
  Dan, apabila mereka membuka barang-barang mereka, mereka mendapati 
barang-barang mereka dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata, "Ayah, apakah 
yang kita menginginkan lagi? Barang-barang kita dikembalikan kepada kita, dan 
kita mendapat bekalan makanan untuk keluarga kita, dan kita akan menjaga 
saudara kita; kita akan mendapat tambahan beban seekor unta. Itulah sukatan 
yang mudah."
  "Aku tidak akan mengutusnya bersama kamu sehingga kamu memberi aku satu janji 
yang teguh dengan Allah, bahawa kamu pasti akan mendatangkannya kembali 
kepadaku, kecuali kamu diliputi." Apabila mereka telah memberikannya janji 
mereka, dia berkata, "Allah menjadi Wakil atas apa yang kami ucapkan."
  Maka apabila mereka masuk kepada Yusuf sekali lagi, dia mengambil saudaranya 
kepadanya, seraya berkata, "Aku saudara kamu; maka janganlah kamu berdukacita 
terhadap apa yang mereka buat."
  Kemudian, apabila Yusuf menyiapkan persiapan untuk mereka, dia meletakkan 
gelas minumannya ke dalam pundi saudara yang diambilnya. 
  Sedang mereka mula bertolak untuk kembali kepada keluarga mereka, datang pula 
orang yang menyeru, "Hai kafilah, kamu adalah pencuri!"
  Mereka bertanya sambil mendekati orang yang menyeru, "Apa yang kamu hilang?" 
  "Kami kehilangan gelas berkaki kepunyaan raja. Sesiapa mendatangkannya akan 
mendapat beban seekor unta; itu aku jamin."
  Mereka berkata, "Demi Allah, kamu mengetahui bahawa kami tidak datang untuk 
membuat kerosakan di bumi. Kami bukanlah pencuri."
  "Apakah balasannya jika kamu adalah pendusta?"
  "Balasannya - dalam pundi sesiapa ia didapati, maka dialah balasannya. 
Begitulah kami membalas orang-orang yang zalim."
    "Maka dia (Yusuf) memulakan dengan karung-karung mereka sebelum karung 
saudaranya, kemudian dia mengeluarkannya daripada karung saudaranya. Begitulah 
Kami membuat muslihat untuk Yusuf; dia tidak boleh mengambil saudaranya, 
menurut agama (pengadilan) raja, kecuali apa yang Allah menghendaki.
  Mereka berkata, "Jika dia seorang pencuri, seorang saudaranya adalah seorang 
pencuri dahulu." Tetapi Yusuf merahsiakannya di dalam dirinya, dan tidak 
menampakkannya kepada mereka, dengan berkata, "Kedudukan kamu lebih buruk; 
Allah sangat mengetahui apa yang kamu menyifatkan."
  Mereka berkata, "Wahai al-aziz (yang perkasa), dia mempunyai bapa yang sangat 
tua; maka ambillah salah seorang antara kami untuk mengganti tempatnya; kami 
melihat bahawa kamu adalah antara orang-orang yang berbuat baik." 
  Berkata, "Allah menegah bahawa kami patut mengambil sesiapa sahaja kecuali 
orang yang kami mendapati barang kami padanya, kerana jika kami berbuat 
demikian, tentulah kami menjadi orang-orang yang zalim" (12:76-79).
  Apabila mereka kembali kepada bapa mereka dan menceritakan hal saudaranya 
yang mencuri dan ditahan di Mesir kedukaan bapanya bertambah,
    "Dan dia berpaling daripada mereka, dan berkata, 'Aduhai, dukacitaku untuk 
Yusuf!' Dan kedua-dua matanya menjadi putih kerana kesedihan yang mencekiknya 
di dalam dirinya" (12:84).
  Kemudian dia berkata, "Wahai anak-anakku, pergilah dan carilah berita 
mengenai Yusuf dan saudaranya. Janganlah berputus asa daripada kesenangan 
Allah; daripada kesenangan Allah, tiada yang berputus asa melainkan kaum yang 
tidak percaya (kafir)."
  Lalu mereka pergi kepada Yusuf dan berkata, "Wahai al-aziz, penderitaan telah 
menyentuh kami dan keluarga kami. Kami datang dengan barang-barang yang tidak 
berharga. Tepatilah kepada kami sukatan, dan bersedekahlah kepada kami; 
sesungguhnya Allah membalas orang-orang yang bersedekah."
  Yusuf bertanya, "Adakah kamu mengetahui apa yang kamu melakukan terhadap 
Yusuf dan saudaranya, ketika kamu orang-orang yang bodoh?"
  Mereka menjawab, "Mengapa, adakah kamu benar-benar Yusuf?" 
  Dia berkata, "Aku Yusuf. Ini saudaraku. Sungguh, Allah telah berbudi baik 
kepada kami. Sesiapa bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak 
mensia-siakan upah orang-orang yang berbuat baik."
  Mereka berkata, "Demi Allah, sesungguhnya Allah lebih menyukai kamu daripada 
kami, dan sesungguhnya kami bersalah."
  Yusuf berkata, "Tidak ada celaan pada hari ini kepada kamu; Allah mengampuni 
kamu; Dia yang paling berpengasihan daripada yang berpengasihan. Pergilah, 
ambil baju ini, dan kamu lemparlah ia kepada muka ayahku, dan dia akan 
memperoleh kembali penglihatannya; kemudian datangkanlah kepadaku keluarga kamu 
kesemuanya." 
  Maka, apabila kafilah telah berangkat, bapa mereka berkata, "Sesungguhnya aku 
mendapati bau Yusuf, melainkan kamu menuduh aku nyanyuk."
  Mereka berkata, "Demi Allah, sungguh kamu adalah dalam kesesatan kamu yang 
dahulu."
  Tetapi apabila pembawa berita gembira datang kepadanya dan melemparkan baju 
Yusuf ke mukanya, tiba-tiba dia kembali dapat melihat. Dia berkata, "Tidakkah 
aku mengatakan kepada kamu bahawa aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu 
tidak tahu?"
  Mereka berkata, "Ayah kami, mintalah ampun untuk kami atas 
kesalahan-kesalahan kami; sesungguhnya kami bersalah."
  "Sungguh, aku akan meminta Pemeliharaku untuk mengampuni kamu; sesungguhnya 
Dialah Yang Pengampun, Yang Pengasih."
  Kemudian mereka berangkat ke Mesir untuk menemui Yusuf.
    "Maka, apabila mereka masuk kepada Yusuf, dia mengambil ibu dan bapanya 
kepadanya, dengan berkata, 'Masuklah kamu ke Mesir, jika Allah mengkehendaki, 
dalam keadaan aman.'
  Dan dia menaikkan ibu dan bapanya ke atas singgahsana; dan yang lain, jatuh 
bersujud kepadanya. Berkata, 'Ayah, inilah interpretasi mimpi saya yang dahulu; 
Pemelihara saya telah membuatnya benar. Dia telah berbudi baik kepada saya 
apabila Dia mengeluarkan saya dari penjara, dan Dia mendatangkan kamu dari 
gurun setelah syaitan menyelisihkan antara saya dan saudara saya. Pemelihara 
saya halus terhadap apa yang Dia mengkehendaki; sesungguhnya Dialah Yang 
Mengetahui, Yang Bijaksana.
  Wahai Pemeliharaku, Engkau telah memberikan aku untuk memerintah, dan Engkau 
telah mengajar aku interpretasi mimpi. Wahai Pemula langit dan bumi, Engkau 
Waliku (Pelindungku) di dunia dan akhirat. Matikanlah aku dalam kemusliman, dan 
satukanlah aku dengan orang-orang yang salih" (12:99-101).
  
 

                
---------------------------------
New Yahoo! Messenger with Voice. Call regular phones from your PC and save big.

[Non-text portions of this message have been removed]





------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Join modern day disciples reach the disfigured and poor with hope and healing
http://us.click.yahoo.com/lMct6A/Vp3LAA/i1hLAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

Ajaklah teman dan saudara anda bergabung ke milis Media Dakwah.
Kirim email ke: [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/media-dakwah/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke