SEBAGAI seorang yang beriman, kita wajib menjaga iman, memelihara dan memperkuatkannya. Kita perlu melaksanakan semua rukunnya sambil memohon pertolongan Allah s.w.t. serta bersabar menghadapi segala ancaman yang bakal datang mengganggu-gugat kita.

Iman sebenarnya sangat indah dan besar nilainya, tapi bahaya dan musuhnya juga amat besar, lebih-lebih lagi apabila iman sudah hilang dari dalam diri seseorang. Kerana itulah, keimanan itu memerlukan pemeliharaan dan pengawasan yang ketat.

Masalah murtad di kalangan umat Islam sudah wujud sejak sekian. Setiap umat Islam yang gagal memelihara akidahnya selaras apa yang dikehendaki syarak, boleh mengakibatkan dirinya murtad. Waliya zubillah, sama ada dengan kerana dia menganut agama lain selain Islam atau tidak.

Murtad boleh berlaku di mana-mana dan kepada siapa juga di kalangan umat Islam, tanpa mengira mereka berkulit putih atau hitam, bangsa Barat atau dari Timur.

Berapakah jumlah mereka yang sudah murtad atau sebagainya adalah satu persoalan, tetapi apa yang nyata kepada kita sekarang murtad bukan mustahil berlaku.

Lebih-lebih lagi di kalangan masyarakat Islam yang sudah longgar pegangannya kepada hukum Allah serta tidak bersungguh-sungguh menghapuskan pelbagai gejala dan rintangan yang boleh menjejaskan akidah serta perkembangan peningkatan Islam di dalam sesebuah masyarakat.

Rasulullah s.a.w. menanam benih pertama akidah Islam dalam bentuknya yang luhur, suci dan jelas. Pada mulanya lagi, akidah dirasakan asing dan ganjil pada tanggapan golongan jahiliah yang wujud hingga ke hari ini.

Islam tidak mungkin bertemu dengan jahiliah di pertengahan jalan dan tidak mungkin juga bertemu di mana-mana jalan yang lain. Itulah sikap Islam terhadap jahiliah di setiap zaman dan tempat sama ada jahiliah dulu, hari ini atau akan datang. Semuanya itu sama saja.

Jurang yang memisahkan jahiliah dan Islam tidak mungkin dilintasi, tidak mungkin didirikan jambatan penyambung dan tidak mungkin dihubungkan. Ia adalah pertarungan yang mutlak dan mustahil untuk didamaikan.

Usaha pernah dilakukan kaum Musyrikin untuk memujuk Rasulullah supaya bertolak ansur terhadap mereka. Tetapi Rasulullah tetap tegas pendiriannya mengenai hukum Allah, sedangkan dalam urusan selain daripada itu, baginda seorang yang paling lembut dan cukup bertimbang rasa, paling baik layanannya dan paling suka memilih yang mudah dan memberi kemudahan.

Tetapi dalam persoalan agama Allah, tidak ada tolak ansur. Agama tetap agama dan baginda tetap mematuhi semua arahan Allah. Inilah gambaran sikap dan pendirian baginda sebagai pemimpin besar umat Islam, di mana sikap dan pendirian inilah yang membawa Islam itu tetap utuh dan terus berkembang seluas-luasnya hingga ke zaman kita hari ini.

Inilah contoh dan teladan yang seharusnya menjadi ikutan kita semua, lebih-lebih lagi golongan ibu bapa dan pemimpin Islam.

Sekiranya perkara ini tidak diberikan keutamaan, pasti musuh Islam tidak akan segan silu kepada kita. Mereka akan terus memainkan peranan jahat, sama ada secara sembunyi mahupun terang-terangan, untuk mempengaruhi umat Islam. Cara ini dibimbangi akan menyebabkan pertambahan umat Islam menjadi murtad.

Tugas utama dan yang paling penting kepada umat Islam hari ini adalah berusaha sedaya upaya membersihkan gejala yang mengancam agama kita di sekeliling masyarakat supaya ia tidak mempengaruhi umat Islam kepada kufur dan murtad.

Selagi gejala ini ada, umat Islam terus terdedah kepada kerosakan akidah. Dalam hal ini, ketegasan dan kesungguhan amat perlu dalam menunaikan amalan dan juga untuk memerangi dakyah musuh Islam yang semakin jelas serta menonjol.

Tugas ini bukan semata-mata tertumpu kepada pihak tertentu saja, bahkan ia tugas yang wajib kepada semua lapisan umat yang cintakan Islam. Langkah berwaspada dan pengawasan rapi seharusnya dipertingkatkan sama ada sebagai orang perseorangan, ibu bapa dan pemimpin terutamanya.

Dalam hal ini, pendekatan dari segi pengetahuan dan pendidikan Islam semata-mata agak kurang memadai, jika tidak disertakan langkah pencegahan yang tegas dan berani.

Oleh itu, peraturan yang tegas ke atas golongan murtad perlu dikuatkuasakan.

Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 54 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia. Mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas, gagah terhadap orang-orang yang kufur. Mereka berjuang bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela, yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Kerana Allah maha limpah kurniaNya dan meliputi pengetahuannya.”


Hai insan yang alpa Kehinaan bagi mu Kebangaan bagi ku

Oleh :Zindagi Ekk Safar (bohot bohot syukria)©
myMasjid-Mengembalikan kegemilangan Masjid

Kirim email ke