Dari Bernama kito baco:
09 Julai, 2005 16:06 PM

Ada Golongan Cuba Gagalkan Penerimaan Islam Hadhari

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata golongan yang mempertikaikan pendekatan Islam Hadhari berbuat demikian dengan bertujuan menggagalkan penerimaan prinsip itu serta apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk rakyat.

Kerajaan tidak perlu menghabiskan masa berdialog dengan golongan itu sebaliknya akan terus bekerja untuk rakyat dan membuktikan kepada mereka bahawa apa yang dilakukan itu adalah sebahagian daripada pendekatan Islam Hadhari, kata Perdana Menteri.

Abdullah berkata walaupun masih ada golongon mempertikaikan Islam Hadhari, beliau berpuas hati dengan penerimaan dan sokongan masyarakat negara ini kepada pendekatan itu serta prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya.

"Golongan yang mempertikaikannya memang hajatnya nak gagalkan apa yang kita lakukan...itulah kepentingan mereka," katanya kepada pemberita selepas menutup bengkel Pelaksanaan Islam Hadhari anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dengan kerjasama Biro Agama Umno di sini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Penerangan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Islam Hadhari memberi penekanan kepada beriman dan bertaqwa; pemerintah yang adil dan beramanah; rakyat berjiwa merdeka; penguasaan ilmu pengetahuan; ekonomi yang stabil dan komprehensif; pemeliharaan alam semula jadi dan penjagaan alam sekitar; pembelaan kaum minoriti dan wanita; kehidupan berkualiti; keteguhan budaya dan moral awam; serta kekuatan pertahanan.

Abdullah berkata masyarakat bukan Islam di negara ini turut menerima baik pendekatan Islam Hadhari.

"Kepada bukan Islam pun bukan satu perkara yang timbulkan masalah kerana pendekatan-pendekatan yang kita gunakan untuk pembangunan negara ini adalah pendekatan-pendekatan yang benar dan bukannya satu perkara yang dipertikaikan oleh mereka," katanya.

Abdullah berkata dalam mesej yang disampaikan pada majlis hari ini, beliau meminta pegawai-pegawai penerangan menjelaskan hubung kait Islam Hadhari dengan pelaksanaan projek dan program kerajaan.

"Saya beri pendekatan secara khusus kepada apa yang patut mereka tekan dalam memberi penerangan berkaitan Islam Hadhari. Bukan hanya ada perjumpaan Islam Hadhari sahaja...lebih baik jika Islam Hadhari itu dimasukkan dalam ucapan semasa kita merasmikan sesuatu projek, melaksanakan sesuatu projek yang kerajaan dah taja dengan wang secukupnya. Cakaplah masa itu, jadi orang akan lebih memahami," katanya.

Menurut Perdana Menteri, banyak projek dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan sebenarnya mempunyai kaitan dengan pencapaian prinsip dan matlamat Islam Hadhari seperti program berkaitan pendidikan untuk membolehkan rakyat menguasai pelbagai ilmu pengetahuan.

"Yang ada hubung kait dengan ekonomi, itupun ada prinsip Islam Hadhari. Juga projek berkaitan pemeliharaan alam sekitar ataupun program yang berkaitan menguatkan lagi kekuatan moral kita.

"Jadi dengan cara itu, rakyat akan lebih memahami apa yang kita laksanakan itu, sebagai projek-projek yang menepati pendekatan Islam Hadhari yang kita gunakan," kata Abdullah.

-- BERNAMA


No virus found in this outgoing message.
Checked by AVG Anti-Virus.
Version: 7.0.323 / Virus Database: 267.8.10/43 - Release Date: 7/6/2005
_____________________________________________________
Berhenti/mengganti konfigurasi keanggotaan anda, silahkan ke: 
http://rantaunet.org/palanta-setting
------------------------------------------------------------
Tata Tertib Palanta RantauNet:
http://rantaunet.org/palanta-tatatertib
____________________________________________________

Kirim email ke