SYEIKH SULAIMAN AR-RASULI

Pahlawan Mazhab Syafie
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

AKHIR-akhir  ini,  baik  dalam percakapan mahupun dalam siaran akhbar,
banyak dibicarakan tentang Wahabi. Sebenarnya kadang-kadang orang yang
menggunakan  istilah  tersebut ataupun mereka yang menulis mengenainya
sendiri tidak mengerti apa yang mereka perkatakan. Ketika pertama kali
perkara  'khilafiyah'  melanda  dunia  Melayu,  terutama  di  Jawa dan
Sumatera  pada  1912  dan  hangat  dibicarakan  tahun 1930-an, istilah
Wahabi  belum  begitu popular. Yang popular ialah istilah 'Kaum Muda'.
Kaum Muda sangat kontroversi dengan 'Kaum Tua'.

Yang  dimaksudkan  dengan  istilah  'Kaum  Muda'  ialah  golongan yang
terpengaruh dengan pemikiran Syeikh Muhammad Abduh dan muridnya, Sayid
Rasyid  Ridha,  kedua-duanya  pemikir Islam terkenal di Mesir. Istilah
'Kaum  Muda'  disebut  juga dengan istilah 'Tajdid' (pembaharuan) atau
juga   istilah   'Reformis'.   Dalam   konteks   ketiga-tiga   istilah
tersebutlah, muncul apa yang akhir-akhir ini diistilahkan orang dengan
Wahabi atau Wahabiyah.

Istilah  tersebut  digunakan  oleh  orang  yang tidak menyukai mereka,
namun  golongan  yang  dipanggil  Wahabi itu lebih suka kepada istilah
'Salafi'   atau   'Salaf'.  Istilah  'Salafi'  banyak  dibicarakan  di
Indonesia, dan belum begitu dikenali di Malaysia dan Patani.

Istilah  'Kaum  Tua'  adalah  golongan ulama yang tetap mengikut salah
satu  mazhab  yang  empat dalam fiqh. Dalam konteks dunia Melayu ialah
Mazhab  Syafie.  Dalam  akidah pula ialah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang
berpedomankan  dua orang imam iaitu Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam
Abu  Mansur  al-Maturidi.  Dalam  tasawuf  Kaum  Tua berimamkan Syeikh
Junaid al-Baghdadi.

Tokoh  yang  diriwayatkan  dalam rencana kali ini adalah seorang ulama
besar  Indonesia yang berasal dari Minangkabau, Sumatera Barat. Beliau
adalah  golongan  Kaum  Tua  yang  sangat  gigih mempertahankan Mazhab
Syafie.

Nama  beliau  ialah Syeikh Sulaiman ar-Rasuli al-Minankabawi, lahir di
Candung,  Sumatera  Barat,  1287  H/1871  M, wafat pada hari Sabtu, 29
Jumadilawal 1390 H/1 Ogos 1970 M.

Pendidikan

Pendidikan terakhir Syeikh Sulaiman ar-Rasuli al-Minankabawi adalah di
Mekah.  Ulama  Malaysia  yang  seangkatan  dengan beliau dan sama-sama
belajar di Mekah di antaranya ialah Syeikh Utsman Sarawak (1281 H/1864
M  -  1339  H/1921  M), Tok Kenali (1287 H/1871 M - 1352 H/1933 M) dan
ramai  lagi. Yang berasal dari Indonesia pula di antaranya ialah Kiyai
Haji  Hasyim  Asy'ari,  Jawa  Timur  (1287  H/1871 M - 1366 H/1947 M),
Syeikh  Hasan  Maksum,  Sumatera  Utara  (wafat 1355 H/1936 M), Syeikh
Khathib    Ali    al-Minankabawi,   Syeikh   Muhammad   Zain   Simabur
al-Minankabawi  (bersara  menjadi  Mufti Kerajaan Perak tahun 1955 dan
wafat   di   Pariaman   pada   1957),   Syeikh   Muhammad  Jamil  Jaho
al-Minankabawi,  Syeikh  Abbas  Ladang  Lawas al-Minankabawi dan ramai
lagi.

Ketika  tinggal  di  Mekah,  Syeikh  Sulaiman ar-Rasuli al-Minankabawi
selain belajar dengan Syeikh Ahmad Khatib Abdul Lathif al-Minankabawi,
beliau  juga  mendalami  ilmu-ilmu daripada ulama Kelantan dan Patani.
Antaranya,  Syeikh  Wan Ali Abdur Rahman al-Kalantani, Syeikh Muhammad
Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad Muhammad Zain al-Fathani.

Perjuangan

Jalan  cerita  Syeikh  Sulaiman  ar-Rasuli kembali ke Minangkabau sama
dengan  kisah  kepulangan  sahabatnya  Tok  Kenali  ke Kelantan, iaitu
setelah  kewafatan  Syeikh  Ahmad  al-Fathani  (11 Zulhijjah 1325 H/14
Januari 1908 M). Tok Kenali sesampainya di Kelantan langsung memulakan
penyebaran  ilmunya  melalui  sistem  pendidikan pondok yang dinamakan
'Jam'iyah  al-'Ashriyah'  (nama  ini adalah maklumat terkini yang saya
peroleh melalui telefon daripada Zaidi Hasan di Kota Bharu, Kelantan).

Demikian  juga dengan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli. Sesampainya beliau di
Bukit  Tinggi,  Sumatera,  beliau mula mengajar menurut sistem pondok.
Walau  bagaimanapun,  pengajian  sistem  pondok  secara  halaqah iaitu
bersila  di  lantai dalam pendidikan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli berubah
menjadi   sistem   persekolahan  duduk  di  bangku  pada  1928,  namun
kitab-kitab yang diajar tidak pernah diubah.

Pada   tahun   1928   itu  juga,  Syeikh  Sulaiman  ar-Rasuli  bersama
sahabat-sahabatnya Syeikh Abbas Ladang Lawas dan Syeikh Muhammad Jamil
Jaho  mengasaskan  Persatuan  Tarbiyah  Islamiyah.  Kemudian persatuan
tersebut  menjadi  sebuah  parti politik yang mempunyai singkatan nama
PERTI.  Baik  dalam  sistem  pendidikan mahupun perjuangan dalam parti
politik, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli dan kawan-kawannya secara tegas dan
berani  mempertahankan  dan berpegang dengan satu mazhab, iaitu Mazhab
Syafie.

Ini  bererti  PERTI  agak  berbeza  dengan  Nahdhatul  Ulama (NU) yang
diasaskan  oleh  Kiyai  Haji  Hasyim  Asy'ari  dan kawan-kawan di Jawa
Timur.  Dasar  Nahdhatul  Ulama  (NU) adalah berpegang pada salah satu
mazhab  yang  empat  (Hanafi,  Maliki,  Syafie  dan Hanbali). Ia tidak
menegaskan mesti berpegang pada Mazhab Syafie seperti PERTI.

Kiyai  Haji  Sirajuddin  Abbas  dalam  bukunya,  Sejarah dan Keagungan
Mazhab  Syafie,  menulis,  "Beliau  seorang  ulama  besar  yang  tidak
menerima faham Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha." (Lihat cetakan kedua,
Aman  Press,  1985,  hlm. 298.) Di antara ulama Minangkabau yang gigih
menyokong  pemikiran  kedua-dua  ulama  Mesir itu ialah Dr. Haji Abdul
Karim  Amrullah  dan Syeikh Thahir Jalaluddin al-Azhari. Ini bermakna,
kedua-dua  ulama  yang sama-sama berasal dari Minangkabau dan semuanya
seperguruan  itu  adalah  musuh  polemik Syeikh Sulaiman ar-Rasuli dan
ulama-ulama dalam PERTI lainnya.

Prof.  Dr.  Hamka  dalam  bukunya  yang berjudul Ayahku menulis, "Cuma
beliau (maksudnya Dr. Haji Abdul Karim Amrullah) berselisih dalam satu
perkara,  iaitu  Syeikh  Sulaiman  ar-Rasuli  mempertahankan  Thariqat
Naqsyabandiyah,   dan  salah  seorang  di  antara  Syeikhnya  (mungkin
maksudnya  Syeikh  Saad  Mungka,  musuh  polemik  Syeikh Ahmad Khathib
Minangkabau,  pen:), sedangkan pihak Dr. Haji Abdul Karim Amrullah dan
Syeikh Jambek tidak suka kepada tarekat itu.”

Demikian  juga dalam hal puasa dengan hisab. Syeikh Sulaiman ar-Rasuli
lebih  menyetujui  rukyah. Pernah beliau berkata, "Bagaimana tuan-tuan
Kaum  Muda!  Kata  tuan  hendak kembali kepada sunah, tetapi dalam hal
puasa   yang   nyata-nyata  diperintahkan  rukyah,  tuan-tuan  kembali
mengemukakan  ijtihad."  (Lihat  cetakan  ketiga, Djajamurni, Jakarta,
1963, hlm. 247.)

Pertikaian  pendapat  yang  disebut oleh Buya Hamka antara beliau (Dr.
Haji   Abdul   Karim   Amrullah)   dengan  Syeikh  Sulaiman  ar-Rasuli
berdasarkan   petikan   tulisan   di  atas  tidak  banyak.  Sebenarnya
pertikaian   pendapat  antara  'Kaum  Tua'  dengan  'Kaum  Muda'  pada
peringkat  awal  sangat  banyak.  Sekurang-kurangnya  ada  19 perkara.
Contohnya  perkara  'muqaranah niat sembahyang' dan 'menjiharkan lafaz
niat',  Syeikh  Sulaiman ar-Rasuli dan semua ulama Kaum Tua mewajibkan
'muqaranah niat sembahyang' dan 'menjiharkan lafaz niat' adalah sunat.

Berdasarkan  sepakat  semua ulama, 'zakat fitrah' wajib dibayar dengan
makanan  yang  mengenyangkan.  Tidak  sah  dibayar dengan nilai berupa
wang. Perkara ini tetap dipertahankan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli, semua
ulama  dalam  PERTI,  di samping ulama dalam Nahdhatul Ulama (NU), dan
semua  ulama  di  seluruh dunia Islam yang masih tetap berpegang teguh
kepada  Mazhab  Syafie.  Perdebatan  mengenai  zakat  gaji  atau zakat
pendapatan  tidak  pernah  muncul pada zaman Syeikh Sulaiman ar-Rasuli
kerana  ia  baru  muncul  pada  awal  1990-an,  bertitik mula daripada
pendapat Syeikh Yusuf al- Qardhawi.

Mengenai  sembahyang  tarawih  dalam  bulan  Ramadan,  Syeikh Sulaiman
ar-Rasuli  dan Kaum Tua mempertahankan 20 rakaat atau 23 rakaat dengan
witir.  Kaum  Muda  mengerjakan tarawih 8 rakaat atau 11 dengan witir.
Sungguhpun  ramai  orang  melemparkan segala yang dipertikaikan adalah
berasal  daripada  golongan  yang  mereka  namakan Wahabi, ternyata di
Masjid al-Haram, Mekah, sembahyang tarawih dan witir juga dilakukan 23
rakaat, bukan 11 rakaat tarawih dengan witir.

Bahkan  Syeikh  Abdul  Aziz  Abdullah  Baz (ulama kerajaan Arab Saudi)
dalam menjawab perkara tersebut berfatwa bahawa sembahyang tarawih dan
witir  23  rakaat  adalah  sepakat  para  sahabat Nabi Muhammd s.a.w..
Terlalu  banyak  perkara  khilafiyah untuk dibicarakan, rasanya contoh
ini sudah cukup memadai.

Kenyataan  Buya  Hamka yang menyebut bahawa "Syeikh Sulaiman ar-Rasuli
mempertahankan  Thariqat  Naqsyabandiyah,  dan salah seorang di antara
Syeikhnya"  memang  benar,  tetapi  dalam  satu  riwayat  lain, Syeikh
Sulaiman    ar-Rasuli    membantah    Thariqat   Naqsyabandiyah   yang
diperkenalkan  oleh  Dr.  Syeikh  Jalaluddin. Bantahan Syeikh Sulaiman
ar-Rasuli  tersebut  dituangkan  dalam  Tabligh  al-Amanat  fi  Izalah
al-Munkarat  wa asy-Syubuhat, bertarikh 19 Jumadilakhir 1373 H pada 23
Januari  1954  M.  Buku  ini  dicetak  oleh Mathba'ah Nusantara, Bukit
Tinggi pada 1373 H/1954 M.

Pengaruh

Pada  tahun 1950-an Indonesia pernah mengadakan pilihan raya membentuk
sebuah  badan  atau  lembaga  yang  dinamakan  'Konstituante'.  Tujuan
Konstituante  ialah  untuk  menentukan  Indonesia  sama  ada membentuk
negara Islam ataupun negara nasional. Syeikh Sulaiman ar-Rasuli, salah
seorang  anggota  Konstituante  dari  PERTI,  telah dilantik mengetuai
sidang  pertama  badan  itu.  Konstituante  dibubarkan  oleh  Presiden
Soekarno  dengan  Dekri  Presiden 5 Julai 1959. Jadi Indonesia sebagai
negara  nasional  bukan  ditentukan  oleh  Sidang  Konstituante tetapi
ditentukan oleh Presiden Soekarno.

Beberapa  orang  ahli sejarah telah mencatatkan bahawa Syeikh Sulaiman
ar-Rasuli  adalah memang seorang ulama besar yang berpengaruh terhadap
kawan  dan  lawan.  Sejak  zaman pemerintah Belanda, pembesar-pembesar
Belanda  datang  menziarahi  beliau.  Demikian  juga pemimpin-pemimpin
setelah  kemerdekaan  Indonesia. Soekarno sejak belum menjadi Presiden
Indonesia  hingga  setelah  berkuasa memang sering berkunjung ke rumah
Syeikh  Sulaiman ar-Rasuli. Pada hari pengkebumian beliau, dianggarkan
30,000  orang  hadir termasuk ramai pemimpin dari Jakarta, bahkan juga
dari Malaysia.

Pandangan

Paparan  mengenai  khilafiyah yang saya sentuh dalam artikel ini tiada
bermaksud  untuk  berpihak  kepada sesuatu pihak. Kita yang hidup pada
zaman  sekarang  sewajarnya  cukup  matang  untuk  membuat  penilaian.
Pertikaian  pendapat (khilafiyah) jika ditinjau dari satu segi, adalah
merugikan  umat  Islam kerana ia boleh mengakibatkan permusuhan sesama
Islam  yang  dilarang oleh agama Islam itu sendiri. Ditinjau dari segi
yang  lain,  ia  mungkin menguntungkan kerana dengan adanya khilafiyah
bererti mencambuk mereka yang rajin membuat penelitian.

Orang-orang  yang  jujur  dalam  penilaian  ilmu, yang berdepan dengan
khilafiyah,   mestilah   rajin   membaca   banyak   kitab   dan   buku
berbagai-bagai ilmu.

Orang  yang  mempunyai  ilmu  yang pelbagai dan banyak pengalaman akan
adil  dalam  penilaian,  tetapi  orang yang mempunyai ilmu sejenis dan
kurang   pengalaman   akan  sukar  untuk  berlaku  adil  dalam  segala
persoalan.

sumber
http://ulama.blogspot.com/2005/12/syeikh-sulaiman-ar-rasuli.html



--------------------------------------------------------------
Website: http://www.rantaunet.org
=========================================================
* Berhenti (unsubscribe), berhenti sementara (nomail) dan konfigurasi 
keanggotaan,
silahkan ke: http://rantaunet.org/palanta-setting
* Posting dan membaca email lewat web di
http://groups.yahoo.com/group/RantauNet/messages
dengan tetap harus terdaftar di sini.
--------------------------------------------------------------
UNTUK DIPERHATIKAN:
- Hapus footer dan bagian yang tidak perlu, jika melakukan Reply
- Besar posting maksimum 100 KB
- Mengirim attachment ditolak oleh sistem
=========================================================

Kirim email ke