Tolong dibaca aturan di footer dibawah
--------------------------------------
Pulang Basamo Juni 2008
http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Saturday/Minda/20070106110533/Article/indexm_html

Memperkukuh potensi Seremban-Bukit Tinggi
Oleh Muhd Izawan Baharin

MASYARAKAT Minangkabau cukup terkenal sebagai orang dagang dan kerana
itulah mereka mudah menyesuaikan diri di perantauan demi mencari rezeki.


Kerana berdagang, masyarakat Minangkabau sudah mula merentas lautan
dari Sumatera Barat menuju ke Tanah Melayu sekitar akhir abad ke-16
dan akhirnya menetap terutama di Negeri Sembilan dan Pahang.

Walaupun terpisah dengan sanak saudara, namun pegangan terhadap adat
perpatih tidak pernah luntur ditelan zaman.

Atas keakraban dan kesamaan itu juga, usaha yang dirintis untuk
menjadikan Seremban dan Bukit Tinggi di Sumatera Barat sebagai bandar
kembar berjalan cukup lancar yang kini sudah mencapai usia 20 tahun.

Dalam tempoh dua dekad itu, banyak manfaat boleh diperoleh kedua-dua
pihak demi kepentingan bersama namun sepanjang jangka waktu itu hanya
pertukaran pelajar dan kebudayaan giat dijalankan.

Pengangkutan menjadi masalah utama, perjalanan ke Bukit Tinggi
dikatakan memakan masa hampir 12 jam, bermula dari menaiki feri di
Melaka untuk ke Dumai sebelum ke tanah Minangkabau menerusi jalan darat.

Kini dengan adanya feri terus dari Port Dickson ke Dumai selain
perkhidmatan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) ke Padang, Indonesia, pengangkutan bukan masalah utama lagi.

Sehubungan itu, satu pertemuan semula dibuat pada 26 Disember lalu
bagi membincangkan semula ruang yang boleh dikaji semula dalam
perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 6 Disember 1986.

Dalam pertemuan itu, wakil kerajaan Negeri Sembilan dan Datuk Bandar
Bukit Tinggi mencapai kata sepakat untuk menilai semula beberapa
persetujuan sebelum ini yang dilihat terabai.

Selain itu, penyertaan kerajaan negeri dalam Pesta Seni Budaya,
Pameran, Dagang dan Industri (Pedati) dengan menyediakan sebuah gerai
pameran dilihat berjaya 'membuka mata' masyarakat di sana mengenai
Negeri Sembilan.

Walaupun berkongsi adat perpatih yang sama, namun bidang perubatan dan
pendidikan di Negeri Sembilan menarik perhatian penduduk Bukit Tinggi.

Dari sudut ekonomi, jumlah penduduk Bukit Tinggi yang hanya kira-kira
100,000 dilihat bukan satu pasaran yang besar ditambah dengan
pendapatan mereka yang jauh lebih rendah, pulangan yang boleh
diperoleh hasil kerjasama dua bandar itu tidak begitu lumayan.

Tetapi hubungan kukuh dua bandar itu boleh menjadi titik permulaan
mewujudkan rangkaian dengan bandar lain yang mempunyai penduduk lebih
ramai di Sumatera Barat seperti Palembang dan Jambi.

Pengisytiharan bandar kembar Seremban-Bukit Tinggi mempunyai sejarah
tersendiri. Sebelum ini, hubungan antara tanah Minangkabau dengan
Negeri Sembilan bukan sekadar hubungan formal tetapi lebih kepada
persaudaraan yang erat.

Masyarakat Bukit Tinggi berkunjung ke negeri itu kerana mahu melawat
saudaranya yang menjadi warga negara Malaysia manakala penduduk Negeri
Sembilan pula ke Sumatera Barat untuk mencari tanah asal-usul mereka.

Hubungan itu bertambah erat sekitar tahun 1967 apabila pelbagai misi
muhibah kebudayaan, kesenian, sukan, belia dan pendidikan sering
dilakukan.

Tokoh masyarakat di Sumatera Barat dan Negeri Sembilan yang saling
berkunjung juga semakin mengeratkan hubungan itu.

Akhirnya pada Disember 1986, satu MoU ditandatangani untuk kemajuan
bersama merangkumi bidang kesenian dan kebudayaan, pelancongan,
kraftangan, pentadbiran dan pembangunan serta pendidikan, belia dan sukan.

Sebenarnya, selain lima bidang yang dipersetujui itu, banyak lagi yang
boleh dipelajari daripada masyarakat Minangkabau di sana.

Memang situasi mereka jauh ketinggalan berbanding Malaysia terutama
dari segi kemudahan seperti jalan raya namun bagaimana mereka
menguruskan tanah walaupun `sekangkang kera' wajar dicontohi.

Mereka tidak memerlukan tanah berhektar-hektar untuk menjual hasil
bumi sebaliknya ia dilakukan secara kolektif.

Selain tanaman padi, penduduk di sana turut menanam sayuran seperti
kubis, kacang panjang dan terung.

Cukup antara empat atau lima batas disediakan untuk tanaman sayuran
itu dan apabila sudah mengeluarkan hasil, ada pihak swasta yang
mengumpul semua tanaman itu untuk dijual di tempat lain malah dieksport.

Di sini dapat dilihat bagaimana kerjasama antara penduduk dengan ejen
yang bertindak mengumpulkan hasil tanaman menguntungkan kedua-dua pihak.

Sambil mengakui perkara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan 1 merangkap
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Negeri Sembilan, Dr
Baharom Jani, berkata pembabitan pihak swasta yang memainkan peranan
terhadap pengumpulan dan pembungkusan hasil tanaman itu wajar dipelajari.

"Pendapat mengatakan menanam dalam jumlah yang sedikit tidak
menguntungkan boleh diubah jika ada pihak boleh bertindak sebagai ejen
pengumpulan dan pembungkusan sebelum mengeksportnya ke luar.

"Ini yang wajar kita kaji dan pelajari daripada masyarakat di sana,"
katanya.

Beliau berkata, pertemuan selepas 20 tahun itu menjadi permulaan
peringkat kedua bagi mengkaji semula bidang yang berpotensi untuk
keuntungan dua pihak tetapi terabai selama ini.

"Hubungan antara Bukit Tinggi dan Seremban bukan sekadar hubungan dua
hala antara bandar semata-mata tetapi ia berpotensi untuk
diperkukuhkan kepada rangkaian lebih luas antara Sumatera Barat dengan
Negeri Sembilan," katanya.

Menurutnya, status Bukit Tinggi yang diiktiraf kerajaan Indonesia
sebagai salah satu bandar pelancongan negara itu boleh menjadi
pemangkin memperkenalkan Negeri Sembilan.

"Selain itu, kita juga merancang untuk menyediakan kawasan khusus di
Seremban untuk menjual produk dari sana atau `Little Bukit Tinggi' dan
sebaliknya di Bukit Tinggi terdapatnya `Little Seremban'.

"Dengan cara itu, kita harap dapat memperkenalkan produk tempatan
secara lebih baik," katanya.

Dr Baharom berkata, kesan perancangan itu hanya dapat dinikmati dalam
jangka panjang tetapi strategi untuk menjayakannya perlu diatur segera.

Hubungan antara Seremban dan Bukit Tinggi bukan sekadar hubungan
silaturrahim tetapi ia juga boleh memberi keuntungan dari sudut
ekonomi dan pelaburan di kedua-dua tempat.

Pelbagai bidang boleh diterokai kedua-dua pihak termasuk ilmu
pengetahuan, perdagangan, pelancongan dan kebudayaan.


--------------------------------------------------------------
Website: http://www.rantaunet.org
=========================================================
* Berhenti (unsubscribe), berhenti sementara (nomail) dan konfigurasi 
keanggotaan,
silahkan ke: http://rantaunet.org/palanta-setting
* Posting dan membaca email lewat web di
http://groups.yahoo.com/group/RantauNet/messages
dengan tetap harus terdaftar di sini.
--------------------------------------------------------------
UNTUK SELALU DIPERHATIKAN:
- Hapus footer dan bagian yang tidak perlu, jika melakukan reply.
- Posting email, DITOLAK atau DIMODERASI oleh system, jika:
1. Email ukuran besar dari >100KB.
2. Email dengan attachment.
3. Email dikirim untuk banyak penerima.
================================================

Reply via email to