TENGKU ARMAN HARIS
  Pengusaha batik
   
  Negeri Terengganu terkenal dengan industri penghasilan kraftangan batik yang 
berkualiti tinggi. Industri ini turut mengetengahkan bakat salah seorang 
pengusaha Pekak yang paling berjaya dan disegani di kalangan komuniti orang 
Pekak dan masyarakat Kuala Terengganu.

Pengusaha batik Pekak yang dimaksudkan ialah Tengku Arman Haris bin Tengku 
Ismail. Beliau adalah bekas penuntut Sek Men Pendidikan Khas Vokasional Shah 
Alam, Sek Men Ibrahim Fikri Kuala Terengganu dan Sek Men Pendidikan Khas 
Persekutuan Pulau Pinang.

Pada tahun 1990 Tengku Arman menamatkan pendidikan vokasional dan bekerja 
sebagai pengimpal di bengkel kenderaan di Jalan Segambut, Kuala Lumpur.

Pada tahun yang berikutnya, beliau kembali ke negeri kelahirannya untuk 
mengambil alih tugas ketua keluarga berikutan kematian arwah ayahnya yang 
meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Namun demikian ia tidak melemahkan kekuatan semangat Tengku Arman untuk 
membantu menyara hidup keluarganya. Beliau terpaksa berkorban untuk 
meninggalkan bidang kimpalan yang merupakan kemahiran utama bagi dirinya 
disebabkan oleh peluang kerjaya dalam industri batik yang luas di Negeri Penyu.

Walaupun kekurangan pengalaman dalam industri batik, Tengku Arman diterima 
bekerja dengan bengkel "Romi Batik" di Jalan Cendering, Kuala Terengganu. 
Berkat daripada kesabaran dan kerajinan beliau yang mempelajari pelbagai teknik 
pembuatan batik selama tiga tahun, akhirnya beliau lebih yakin dan mengambil 
keputusan untuk berkecimpung dalam keusahawanan pembuatan batik.

Atas dorongan yang kuat daripada ibu dan keluarganya, Tengku Arman mengeluarkan 
wang saku sendiri untuk mendirikan bangsal berhampiran dengan rumahnya di Jalan 
Bukit Tunggal. Di bawah bangsal yang uzur itu, pembuatan batik dimulakan secara 
kecil-kecilan dan menghasilkan pelbagai produk batik seperti kain batik, baju 
kelawar, baju kurung dan baju batik.

Kebolehan beliau sebagai pengusaha batik yang berbakat mendapat perhatian 
daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu. Pada tahun 1996, 
beliau mendapat bantuan kewangan sebanyak RM 2,000 daripada JKM untuk 
memperkembangkan keusahawanannya dan membesarkan bengkel tersebut. 
Produk-produk batik yang direkanya juga telah dipasarkan ke negeri-negeri lain.

Selain daripada itu, Tengku Arman juga aktif dalam Persatuan Kebajikan Orang 
Cacat Pendengaran Terengganu (PKOCPT) sebagai Presiden PKOCPT yang pertama 
sejak PKOCPT ditubuhkan pada tahun 2001. Kecemerlangan kepimpinan beliau lebih 
terserlah apabila PKOCPT diiktiraf oleh JKM sebagai persatuan OKU terbaik 
peringkat negeri Terengganu sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya peringkat 
negeri pada tahun 2003.(Sumber: http://www.mecd.gov.my)
   
   
  Daripada,
   
  Pengurus Ideal Enterprise
  Webmaster:
  http://www.bekerjadirumah.formulakekayaan.com
   
   
   

       
---------------------------------
Moody friends. Drama queens. Your life? Nope! - their life, your story.
 Play Sims Stories at Yahoo! Games. 

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke