Oleh: ZULKIFLEE BAKAR (Wartawan Utusan)

Esok merupakan hari bersejarah bagi penduduk Kota Bharu, Kelantan apabila bandar tersebut akan diisytiharkan sebagai bandar raya Islam - satu impian yang dicita-citakan oleh kerajaan negeri pimpinan Pas sejak tahun 2003 lagi.

 

Majlis pengisytiharan berkenaan akan disempurnakan oleh Sultan Kelantan dalam satu majlis penuh bersejarah di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu.

 

Sebenarnya, biarpun Kota Bharu akan diisytiharkan sebagai bandar raya tetapi ia bukanlah setaraf Pulau Pinang, Johor Bahru, Ipoh atau Kuala Lumpur. Pengisytiharan ini hanya melibatkan perubahan nama sahaja seperti mana Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah dan Langkawi Bandaraya Pelancongan.

 

Ini bermakna Kota Bharu tidak terikat dengan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan pusat bagi melayakkan sebuah bandar diiktiraf sebagai bandar raya.

 

Justeru tidak perlu mana-mana pihak membangkitkan lagi soal layak atau tidak Kota Bharu diisytiharkan bandar raya kerana ternyata ia tidaklah melanggar apa-apa peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat.

 

Apa yang lebih penting kini, apabila pengisytiharan itu dilakukan secara rasmi esok, maka bermula tanggungjawab berat kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memastikan situasi di Kota Bharu setaraf dengan imej sebagai bandar raya Islam.

 

Setakat ini tidak dapat dinafikan bahawa banyak perkara telah dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memastikan kemungkaran tidak menghiasi bandar berkenaan.

 

Ia termasuklah menutup pusat-pusat hiburan dan melarang penjualan arak kepada umat Islam serta mewajibkan wanita yang hendak bekerja memakai tudung.

 

Namun begitu, ukuran bandar raya Islam bukan sekadar itu sahaja, masih terdapat perkara-perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri terutamanya dari segi kebersihan dan menghapuskan gejala sosial yang didakwa masih berleluasa.

 

Tetapi pada masa yang sama, kita juga harus memahami bahawa kerajaan negeri mungkin hanya berkuasa menyeru dan menguatkuasakan peraturan sahaja. Jadi apa yang lebih penting ialah meningkatkan kesedaran individu itu sendiri terutamanya penduduk Kota Bharu.

 

Para penduduk berkenaan perlu bersedia untuk memberi kerjasama bagi memastikan matlamat bandar raya Islam ini benar-benar tercapai dan bukan sekadar menjadi slogan sahaja.

 

Kerajaan negeri dikatakan sudah membuat perancangan yang rapi sehingga tahun 2015 untuk memastikan Kota Bharu wujud sebagai sebuah bandar raya Islam. Niat yang baik ini perlu disokong dengan pelaksanaan yang betul kerana apa pun perancangan tidak akan berjaya selagi ia diselitkan dengan unsur-unsur politik.//UM 30 Sept


Yahoo! for Good
Click here to donate to the Hurricane Katrina relief effort.

YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke