KOTA BAHARU, 2 Okt -- Kerajaan Kelantan pimpinan Pas akan membenarkan sebarang konsert hiburan asalkan is memenuhi syarat yang ditetapkan pada Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan berkata kerajaan berpendapat sudah sampai masanya perubahan itu dilakukan selepas 15 tahun parti itu memerintah negeri ini.

"Kita melihat isu hiburan dalam bentuk lebih global dan sebagai contoh beberapa artis wanita termasuk Sarimah (Datuk Sarimah), Norkumalasari dan Waheeda hadir pada pertunjukkan fesyen untuk hadirin wanita sahaja hari ini,"

"Langkah kerajaan negeri kini ialah kita mengawal hiburan dan bukannya mengharamkannya dan konsert majlis perisytiharan dilihat 100 peratus memenuhi kehendak enakmen kawalan hiburan itu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas perisytiharan Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandar Raya Islam yang disempurnakan Sultan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini, Sabtu malam.

Takiyuddin berkata, kerajaan negeri berpuashati dengan perjalanan konsert sempena perisytiharan Bandaraya Islam yang dihadiri lebih 40,000 penonton dan menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai.

Sultan dan Raja Perempuan Kelantan turut berpuashati dengan persembahan konsert semalam dengan memberikan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, katanya.

"Majlis perisytiharan adalah penjenamaan semula daripada perbandaran kepada bandaraya. Kita hanya menukar taraf dan bukan menukar status. Kita hanya tukar nama tempat dan ia mendapat kelulusan peringkat exco dan kerajaan negeri sahaja," katanya.

Sementara itu, Mawi yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata beliau bersetuju dengan pengasingan lelaki dan wanita bagi menyaksikan konsert kerana ia dapat mengelakkan percampuran bebas.

"Orang buat benda baik saya sokong. Saya cuma menghiburkan orang ramai melalui nyanyian. "Semalam tekak saya sakit berbanding malam ini tetapi dengan adanya sifu M. Nasir saya lagi bersemangat membuat persembahan," katanya.

M.Nasir pula berkata konsert malam tadi berbeza daripada konsert yang disertainya sebelum ini.

"Saya terlibat dalam era baru dunia hiburan negara kita. Dari dulu lagi saya tahu apa itu Islam dan had-hadnya dalam hiburan. Masing-masing mempunyai prinsip dalam hiburan dan saya cadangkan supaya kita faham apa itu Islam dalam hiburan.

"Semua orang ada tanggungjawab berdakwah, mungkin saya ada cara saya sendiri dalam hal ini melalui lagu yang saya sampaikan," katanya sepanjang karier 25 tahun dalam dunia hiburan, beliau sudah beberapa kali mengadakan persembahan di Kelantan pada majlis persendirian.//Bernama


Yahoo! for Good
Click here to donate to the Hurricane Katrina relief effort.

YAHOO! GROUPS LINKS




Reply via email to