KOTA BAHARU, 11 Okt -- Harga beberapa barangan keperluan harian terutamanya sayur yang dijual di Pasar Siti Khadijah meningkat antara 20 sen dan RM2 pada bulan puasa ini yang dianggap oleh Persatuan Pengguna Kelantan (PPK) sebagai helah orang tengah untuk meraih untung lebih.

Yang Dipertua PPK Yusoff Ahmad berkata tindakan orang tengah yang mengambil untung lebih menyebabkan harga barang-barang keperluan harian itu meningkat dari biasa.

"Saya tidak setuju kalau dikatakan sebab harga minyak naik, harga barang-barang keperluan harian itu naik, yang jelas orang tengah mengambil untung," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Menurut Yusoff, harga cili padi sekarang naik kepada RM3.50 sekilogram daripada RM3 sekilogram sebelum bulan puasa, cili besar naik daripada RM5 kepada RM7 sekilogram, kacang panjang (RM3 seikat kepada RM3.50 seikat), kubis (RM1.20 kepada RM1.80), lobak merah (RM3 kepada RM3.50) dan sawi (RM2.50 kepada RM3).

Beliau berkata harga ikan juga turut meningkat antara 50 sen dan RM2 bagi setiap kilogram berdasarkan kepada jenis ikan dan kesegaran ikan yang dijual.

Katanya harga susu dan gula juga dilaporkan naik tetapi ia berkaitan rapat dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Tinjauan Bernama ke pasar berkenaan mendapati harga sayur-sayuran meningkat daripada harga biasa yang menurut penjual berpunca daripada tindakan pemborong menjual mahal.

Seorang peniaga, Ramlah Awang berkata harga sayur dibelinya meningkat mendadak, iaitu cili kecil naik 50 sen, cili besar naik RM2, kubis (60 sen), kacang (50 sen), lobak merah (50 sen) dan sawi meningkat 20 sen sekilogram.

"Saya sudah beli dengan harga mahal, naik dua tiga hari lepas," katanya ketika ditemui.

Peniaga ayam, Azman Yusoff, 35, berkata ayam bersih dijual dengan harga RM6 sekilogram iaitu meningkat antara 20 sen dan 50 sen bagi setiap kilogram berbanding sebelum ini.

Azman berkata kenaikan itu disebabkan bekalan ayam berkurangan dan permintaan terhadap ayam meningkat dan ini memberi peluang kepada peniaga menaikkan harga bahan itu.//Bernama


Yahoo! Music Unlimited - Access over 1 million songs. Try it free.

YAHOO! GROUPS LINKS




Reply via email to