KOTA BHARU 14 Dis. - Kerajaan Pas Kelantan tidak bersetuju dengan 
cadangan Kerajaan Pusat untuk menghentikan perkhidmatan kereta api 
sehingga bandar Pasir Mas sahaja kerana ia boleh menjejaskan projek 
pelabuhan pendaratan petroleum dan gas yang akan dibina di Tumpat.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, projek yang 
dijalankan secara usaha sama antara kerajaan negeri dan syarikat 
swasta, Global Tech Sdn. Bhd. itu dijangka bermula sebaik sahaja 
dokumen perjanjian ditandatangani antara kedua-dua pihak, 21 Disember 
ini.

``Kena fikir semula kerana kemudahan kereta api perlu ada hingga 
Tumpat seperti sekarang kerana projek pendaratan petroleum dan gas 
ini nampaknya sudah hendak berjalan,'' katanya kepada pemberita 
selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Kota Darulnaim, 
di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong 
Choy semalam bahawa perkhidmatan kereta api mungkin akan berakhir di 
bandar Pasir Mas sahaja sekiranya cadangan membina terminal kereta 
api utama untuk Pantai Timur di bandar itu diluluskan.

Kong Choy berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan pertumbuhan 
ekonomi di bandar kedua terbesar di Kelantan itu yang kini jauh 
ketinggalan dari segi prasarana sejak di bawah pemerintahan Pas, 15 
tahun lalu.

Menurut Nik Abdul Aziz, kenyataannya ini tidak harus disalah erti 
bahawa pihaknya menentang projek Kerajaan Pusat kerana kerajaan 
negeri menyokong setiap pembangunan yang dibawa ke Kelantan.

``Baguslah, projek sampai juga walaupun saya sudah berkali-kali 
menyatakan kita tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) 
walaupun hanya mempunyai kelebihan satu kerusi setelah kalah di 
Pengkalan Pasir baru-baru ini,'' ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri 
akan meneruskan cadangan membina jalan raya bertingkat merentasi 
lintasan kereta api di bandar Pasir Mas seperti dijanjikan semasa 
pilihan raya Pengkalan Pasir.

Katanya, projek jalan raya bertingkat dengan kos kira-kira RM14 juta 
dijangka siap paling cepat setahun dari sekarang kerana pihaknya 
perlu melaksanakan proses mengambil alih tanah terlebih dahulu.

Mengenai janji membina pasar baru di bandar itu, Nik Abdul Aziz, 
pihaknya akan meneruskan projek tersebut walaupun kalah dalam pilihan 
raya kecil berkenaan berikutan keperluan mendesak penduduk untuk 
mempunyai pasar baru di lokasi lebih strategik di tepi Jalan Pasir 
Mas-Rantau Panjang.//UM






------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page
http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke