Penduduk Ulu Kelantan Terima Kesan Pencemaran Alam
  
  Oleh Kamaruzaman Yaacob

KUALA KRAI, 15 Nov -- Kesibukan bot panjang berenjin galah berulang-alik di 
Sungai Kelantan membawa penumpang dan hasil pertanian masih merupakan 
pemandangan biasa terutamanya di Ulu Kelantan.

Pengangkutan air di kawasan itu yang merupakan satu-satunya warisan silam 
kehidupan masyarakat tradisional Melayu kini semakin diancam keladak dan lumpur 
berikutan kegiatan pembalakan yang tidak terkawal.

Hulu Sungai Kelantan yang juga merupakan kawasan tadahan, yang pada satu masa 
dulu terkenal dengan kejernihan airnya, kini bertukar kemerahan kesan daripada 
penerokaan tanah hutan sejak beberapa tahun lalu.

Walaupun pemandangan di beberapa kawasan sepanjang perjalanan ke Dabong bermula 
di Jeti Tangga Krai memukau mata memandang, pemandangan di hulu pasti 
mengecewakan.

TERPUKAU DENGAN SUASANA PERKAMPUNGAN

Dalam perjalanan memudiki laluan ini pemandangan beberapa buah perkampungan 
yang masih kekal dengan kehijauan alam sekeliling di tebing sungai cukup untuk 
menjadi penawar kesibukan dan kepenatan seharian bekerja bagi mereka yang 
menggunakan bot untuk berulang-alik dari tempat kerja di bandar ini.

Beberapa perkampungan Melayu dikelilingi dusun buah-buahan yang dihuni 
kira-kira 1,500 penduduk di kiri dan kanan tebing sungai seperti Kampung Sungai 
Rimau, Raba, Pasir Tinggi Kelewek, Bahagia, Lanchang, Mambong, Batu Apit, Jenal 
dan Kuala Gris sudah cukup menggambarkan kawasan ini merupakan salah satu 
penempatan awal masyarakat Melayu yang menjadikan sungai sebagai nadi kehidupan 
seharian mereka pada suatu ketika dulu.

Walaupun kini terbina rangkaian jalan raya dan terbaru sekali Jambatan Dabong 
yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru 
ini, pengangkutan air masih mampu menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi 
masyarakat setempat.

Dalam perjalanan itu mata pemandang akan terpukau dengan keindahan deretan 
bukit batu kapur di tebing sungai yang menjadi sebahagian daripada laluan 
keretapi sama ada dari Tumpat atau Gemas yang merupakan khazanah alam 
semulajadi yang belum terusik dengan keunikan tersendiri.

Panorama keretapi menyusuri terowong pada bukit-bukit berkenaan, juga dipanggil 
"Bukit Korek" boleh dilihat dengan jelas di tebing sungai berhampiran Dabong di 
mana keretapi akan menyusuri lapan terowong sepanjang 50 hingga 670 meter dalam 
perjalanan dari Perhentian Dabong, Bukit Abu dan Manek Urai.

TIADA LAGI AIR JERNIH

Namun semua itu merupakan gambaran keindahan alam yang jika tidak dipulihara 
tidak dapat dikecapi generasi akan datang.

Salah seorang pemandu bot laju Harun Dollah, 60, yang telah lebih 30 tahun 
mengangkut penumpang-penumpang di situ berkata dulu air di kawasan hulu jernih. 
Pelbagai spesies ikan sungai yang besar saiznya senang diperolehi di sini, 
katanya lagi.

"Cahaya matahari yang memancar ke permukaan air melantun bagaikan terkena 
cermin. Kawasan hutan di tepi tebing, nampak cerah.

"Kadang-kadang rusa dan seladang turun ke tebing untuk minum air. Sekarang 
semua tiada lagi," katanya mengimbas kenangan lalu.

Pelbagai aktiviti pertanian seperti pembukaan tanah baru di kawasan pedalaman 
untuk tujuan perladangan dikenalpasti sebagai antara faktor yang menyebabkan 
pencemaran air Hulu Sungai Kelantan.

Tinjauan Bernama baru-baru ini di Meranto, Gua Musang, mendapati lebih 607 
hektar kawasan Hutan Simpan Gunung Stong Selatan yang berada pada paras 
ketinggian 350 meter dari aras laut telah digondolkan untuk perladangan hutan 
getah oleh sebuah syarikat tempatan yang mendapat kelulusan kerajaan negeri 
sejak September 2005.

PENEROKAAN HUTAN, MELOMBONG EMAS SATU ANCAMAN

Aktiviti pengeluaran balak dan pembersihan kawasan hutan itu menyebabkan 
anak-anak sungai di kawasan tadahan hujan itu mengalami kemusnahan ekologi yang 
teruk. Sisa-sisa balak didapati merentangi aliran air yang berkeladak serta 
berlumpur.

Malah, air berkenaan juga turut menjadi sumber air mentah kepada hampir 600 
penduduk sekitar sebelum mengalir ke Sungai La, Sungai Nenggiri dan akhirnya ke 
Sungai Kelantan.

Lebih mendukacitakan lagi kesemua penduduk di situ meluahkan kebimbangan mereka 
kemungkinan berlakunya banjir lumpur yang dahsyat seperti Tragedi Pos Dipang, 
di Perak, pada 1996, sekiranya pihak terbabit tidak memantau aktiviti berkenaan 
menjelang musim tengkujuh bermula November.

Selain daripada itu kegiatan perlombongan emas yang tidak terancang di Hutan 
Simpanan Kekal Sokor Taku, di Kampung Sokor, Tanah Merah, juga turut menyumbang 
kepada ancaman di hulu Sungai Kelantan.

Tinjauan mendapati aktiviti perlombongan yang bermula sejak tahun 1991 itu 
menyebabkan beberapa anak sungai dipesongkan alirannya bagi kegiatan menyedut 
tanah yang dipercayai mengandungi bijih emas ke kawasan palong di atas bukit.

DASAR SUNGAI YANG CETEK DI HULU JEJAS PENDUDUK KELANTAN

Ekoran itu, beberapa anak sungai mati kerana airnya bertukar menjadi kehitaman 
sehingga sakit mata memandang.

Begitu juga setiap kali hujan turun, keladak dan lumpur akan menuruni cerun 
yang gondol di beberapa kawasan tinggalan lombong seluas 10 kilometer persegi 
ke Sungai Sokor dan seterusnya ke Sungai Kelantan.

Malah lebih mendukacitakan lagi air Sungai Sokor yang pada satu ketika dahulu 
terkenal dengan kejernihannya kini bertukar menjadi kemerahan.

Pewartaan kawasan perlombongan emas dan perladangan hutan getah pihak terbabit 
ke atas kawasan tanah tinggi seolah-olah mempunyai 'udang di sebalik batu' dan 
dilihat sebagai satu muslihat bagi menghalalkan pengeluaran kayu balak dari 
situ.

Ini jelas kerana kos melombong di kawasan tanah tinggi adalah tinggi dan pihak 
terbabit sudah pasti akan mengalami kerugian besar. Pokok-pokok balak yang 
sepatutnya dilindungi ditebang bagi menampung kerugian sehingga aktiviti 
pembalakan menjadi teras utama.

Selain daripada itu, sekiranya penanaman hutan getah menguntungkan dalam jangka 
panjang, kenapa ia tidak dilakukan di kawasan lain yang lebih praktikal seperti 
di kawasan ladang kelapa sawit tua yang ditinggalkan tanpa sebarang pengurusan. 
Ada baiknya pokok-pokok itu ditebang dan digantikan dengan pokok getah tadi.

Pencemaran dan keadaan di hulu Sungai Kelantan perlu diberi perhatian kerana 
kemerosotan alam sekitar di situ boleh menjejaskan penduduk Kelantan terutama 
yang tinggal di tebing Sungai Kelantan.

"Mereka kini terdedah dengan banjir besar berikutan dasar sungai Kelantan yang 
semakin cetek terutama di bahagian hulunya," kata Setiausaha Parlimen 
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Sazmi Miah.

Masalah itu disebabkan pembalakan dan pembangunan hutan di sekitar tebing itu 
yang tidak terancang apabila bahan terampai hanyut ke sungai ketika hujan dan 
kemudiannya mendap sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Apabila sudah lama mendap, ia menyebabkan Sungai Kelantan kini semakin cetek 
dan penduduk perlu diingatkan dengan banjir besar setiap kali musim tengkujuh," 
katanya.//Bernama



 Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com 

Kirim email ke