KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu 
(MPKB) didakwa menyalahguna Akta Pengambilan Tanah Negara bagi 
menurunkan pampasan tanah penduduk yang diambilnya untuk pembangunan 
zon perniagaan Wakaf Che Yeh di sini.

Tindakan itu jelas terbukti apabila MPKB menangguhkan bayaran baki 
pampasan bernilai lebih RM2 juta kepada lebih 80 penduduk terbabit 
dengan alasan penilaian yang dipersetujui bersama sebelum ini terlalu 
tinggi.

Jurucakap penduduk, Yaakob Azhari, berkata MPKB mengambil tanah 
penduduk dan diserahkan kepada syarikat swasta untuk dibangunkan 
dengan rumah kedai tiga tingkat yang dijual pada harga antara 
RM700,000 hingga RM1.2 juta.

Beliau berkata, penetapan pampasan lebih RM9 juta itu dipersetujui 
bersama oleh pemilik tanah, Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Jabatan 
Penilaian Kelantan serta MPKB sendiri.

"Apabila mengambil cek pampasan pada Ogos lalu, kami dapati pampasan 
penuh yang dijanjikan, hanya dibayar 75 peratus saja, manakala 
bakinya ditahan tanpa persetujuan kami.

"Tindakan itu dibuat MPKB dengan alasan mahu merayu pampasan yang 
sebelum ini mereka sudah setuju, sedangkan tanah kami diberikan 
kepada pemaju swasta yang akan membina 138 unit bangunan tiga tingkat.

"Sebenarnya, kurang 30 peratus daripada tanah yang diambil itu akan 
digunakan untuk pembinaan pasar borong, masjid dan sekolah tahfiz. 

"Hakikatnya, undang-undang digunakan untuk mengambil tanah kami 
semata-mata untuk memberi keuntungan kepada syarikat swasta terbabit 
yang kami anggarkan mampu untung sehingga RM60 juta hasil jualan 
projek itu," katanya.

Katanya, MPKB tanpa segan silu juga membenarkan pemaju merobohkan 
tapak rumah dan kedai mereka di kawasan tanah terbabit bagi 
melaksanakan projek itu, meskipun pampasan belum dibayar sepenuhnya.

"Soalnya kini, MPKB dan Kerajaan Kelantan membela rakyat yang tanah 
kami diambil atau syarikat swasta yang diberi konsesi membangunkan 
kawasan terbabit," katanya.

Sementara itu, MPKB bertegas untuk terus menangguhkan bayaran baki 
pampasan kepada pemilik tanah yang diambil untuk pembangunan Wakaf 
Che Yeh yang sedang dijalankan sekarang.

Yang Dipertuanya, Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata tindakan itu 
kerana MPKB merujuk kes terbabit ke mahkamah sebab tidak bersetuju 
penilaian pampasan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pentadbir Tanah dan 
Galian (JPTG).

Beliau berkata, pihaknya menganggap penilaian yang dibuat JPTG iaitu 
RM9.3 juta adalah terlalu tinggi berbanding nilaian yang dibuat 
kerajaan negeri.

"MPKB sudah menjelaskan bayaran RM7 juta kepada semua pemilik tanah 
terbabit pada Jun lalu iaitu 75 peratus daripada penilaian yang 
dibuat oleh JPTG.

"Oleh kerana nilaian itu dianggap tinggi, MPKB menfailkan bantahan di 
mahkamah mengikut Seksyen 37(1) Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 
tetapi setakat ini keputusan bantahan itu belum diperoleh. 

"Kita akan membayar baki pampasan berkenaan kepada semua pemilik 
tanah terbabit selepas mahkamah membuat keputusan terhadap bantahan 
itu," katanya.

Abdul Aziz berkata, perkara itu sudah dimaklumkan beberapa kali 
kepada pemilik tanah terbabit tetapi mereka masih tidak berpuas hati 
dengan tindakan MPKB itu.//BHarian



Kirim email ke