KOTA BAHARU, 16 Nov -- Penasihat Perdagangan Antarabangsa Kelantan 
dan China, Prof Lin Xiang Xiong yang didakwa oleh ketua pembangkang 
di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Annuar Musa sebagai 
seorang penipu hari ini tampil menafikan dakwaan berkenaan.

Prof Lin, 62 yang juga seorang artis seni, peniaga dan pensyarah 
jemputan Universiti Perguruan Hungtong, Shanghai, China berkata 
beliau perlu menjelaskan keadaan sebenar supaya nama baik beliau dan 
juga kerajaan negeri Kelantan tidak tercemar.

"Saya tak mahu jawab secara terus tohmahan yang dilemparkan, tetapi 
tengok sendiri dokumen, sijil-sijil dan keratan akhbar yang 
membuktikan apa yang telah saya buat sebelum ini, lihatlah sama ada 
menipu atau tidak, " katanya pada persidangan akhbar di sini, hari 
ini.

Prof Lin, warganegara Singapura berkata beliau menerima pelantikan 
itu sebagai Penasihat Perdagangan Kerajaan Negeri Kelantan dengan 
China pada Nov 2004 bertujuan membantu Kelantan mencari peluang 
perdagangan di antara kedua-duanya.

"Bagaimanapun, saya melakukannya secara sukarela dan tidak pernah 
sekalipun membuat tuntutan pembayaran atau sebagainya dengan niat 
membantu manusia sejagat dan rakyat negeri Kelantan," katanya.

Beliau juga berkata tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap 
dakwaan sesetengah pihak itu terhadapnya.

Pada persidangan DUN itu Selasa lepas, Annuar telah membangkitkan 
nama Prof Lin yang didakwanya dikehendaki kerajaan China untuk 
membantu siasatan bersabit kes penipuan.

Annuar mempertikaikan langkah kerajaan Kelantan melantik Prof Lin 
sebagai penasihat sebagai tindakan tidak wajar dan memburukkan imej 
kerajaan negeri sendiri.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) pernah membangkitkan perkara itu 
sebelum ini kerana kerajaan negeri melantik lelaki berkenaan tanpa 
terlebih dahulu menyiasat latar belakangnya.

Bagaimanapun, kerajaan negeri menolak dakwaan Annuar yang dibuat 
semasa persidangan dewan itu dan menyifatkannya sebagai tuduhan berat 
dan menghina tanpa memberi peluang kepada Profesor itu mempertahankan 
diri.//Bernama



Kirim email ke