BACHOK, 27 Nov - Lebih 10,000 murid miskin di 100 buah sekolah di 
Kelantan dan Terengganu yang tidak dapat menulis dan membaca (2M) 
dalam Bahasa Inggeris dengan baik akan diberi tumpuan khusus 
mengenainya mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon berkata program itu 
merupakan projek bertaraf perintis Kementerian Pelajaran dalam usaha 
meningkatkan mutu penguasaan bahasa tersebut di kalangan murid 
sekolah rendah di luar bandar.

"Buat permulaan itu, kita akan tengok keberkesanannya sebelum 
diperluaskan ke seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas 
mengadakan mesyuarat khas dengan pegawai pendidikan daerah (PPD) di 
Sekolah Kebangsaan Perupuk di sini petang Ahad.

Turut hadir Timbalan menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan 
Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan (JPN) Ismail Mohd Nor.

Ahamad berkata pemilihan sekolah yang menepati spesikasi itu akan 
ditentukan kemudian dan pembiayaannya akan ditanggung Kementerian 
Pelajaran.

Katanya pelaksanaannya hampir menyamai dengan sistem 3M dalam Bahasa 
Melayu yang mula diperkenalkan sejak 2004.

Ahamad berkata ini berikutan kejayaan sistem 3M ternyata telah dapat 
mengurangkan jumlah 10 peratus murid di Kelantan yang dikenalpasti 
gagal menguasai 3M dengan sepenuhnya pada tahun ini.//Bernama  


Kirim email ke