BERA, 30 Nov - Kejayaan PAS menerajui Kelantan hampir dua dekad 
membuktikan selain Umno dan Barisan Nasional (BN) masih ada lagi 
parti lain yang mampu mentadbir negara dengan baik.  

Perkara itu dinyatakan pengurus Tabung Tok Kenali, Saifuddin Nasution 
Ismail pada majlis penerangan anjuran PAS kawasan Bera dekat Felda 
Kumai baru-baru ini. 
 
Menurutnya, kerajaan PAS Kelantan juga berjaya menjadikan negeri itu 
aman dengan kadar jenayahnya yang rendah, menduduki tempat pertama 
dalam pengurusan hutan serta mampu mengurangkan kadar kemiskinan. 
 
Mengenai jenayah jelas Saifuddin, Selangor, Wilayah Persekutuan dan 
Johor adalah tiga negeri yang mempunyai kadar jenayah tertinggi di 
Malaysia dan negeri-negeri tersebut dikuasai oleh BN.  
 
"Itu semua membuktikan kemampuan PAS mengurus negeri yang harus 
difikirkan oleh semua," katanya.
 
Malah katanya, pemimpin negeri Kelantan mempunyai imej bersih kerana 
sepanjang 16 tahun pemerintahannya tiada seorang pun pemimpin negeri 
itu didakwa atas tuduhan rasuah. 
 
"Ia amat berbeza dengan pemimpin Umno, ramai di kalangan mereka 
didakwa kerana terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa," 
ujarnya. 
 
Sebelum itu, Yang Pertua PAS Kawasan Bera, Mejar (B) Abdul Aziz 
Yaakub menyelar pemimpin Umno kerana suka menunding jari kepada pihak 
lain apabila sesuatu kejadian didedah media. 
 
"Mereka enggan mengakui kesilapan sebaliknya suka menyalahkan pihak 
lain kelemahan mereka didedah media," katanya. 
 
Beliau yang juga pengarah pilihan raya PAS Pahang berkata, rakyat 
akan memperolehi manfaat sekiranya mereka berani membuat perubahan 
dalam pilihan raya umum akan datang. 
 
Katanya semasa Barisan Alternatif (BA) menguasai lapan kerusi 
Dewangan Undangan Negeri (Dun) Pahang dahulu rakyat banyak 
memperolehi manfaat secara langsung atau tidak langsung. 
 
"Kemenangan BA dahulu menimbulkan kegerunan kepada kerajaan Umno/BN," 
ujarnya.//Hrkh 


Kirim email ke