KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia membantu gerakan 
membanteras ajaran sesat al-Arqam yang dipercayai cuba dihidupkan 
menerusi kegiatan pertubuhan Rufaqa' jika jabatan agama Islam setiap 
negeri memerlukan bantuan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mohd Najib Abdul Aziz, berkata 
polis bersedia menghulurkan bantuan kepada penguat kuasa agama pada 
bila-bila masa yang diperlukan.

"Setakat ini, soal itu dikendalikan jabatan agama Islam yang 
mengambil tindakan mengikut bidang kuasa mereka. Kalau dirujuk untuk 
bantuan, kita akan membantu mengambil tindakan.

"Setakat ini, (melalui saya) tiada bantuan yang diminta, tak tahulah 
kalau dibuat terus menerusi ketua saya (Ketua Polis Negara, Tan Sri 
Musa Hassan)," katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas taklimat bersama pegawai Polis 
Kelantan sempena lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) 
Kelantan di sini, semalam. Turut hadir Ketua Polis Kelantan, Datuk 
Zulkifli Abdullah.

Mohd Najib mengulas laporan mengenai amalan bekas ahli al-Arqam yang 
kini menyertai pertubuhan Rufaqa' yang didakwa lebih menyesatkan dan 
bahaya daripada al-Arqam yang diharamkan pada 1994.

Pada 1994, selain Jakim dan jabatan agama negeri, polis memainkan 
peranan penting melumpuhkan ajaran sesat al-Arqam diketuai Ashaari 
Muhammad, yang turut ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri 
(ISA) pada 1994.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Ehwal Agama Islam 
Kelantan (JHEAIK), Mohamad Abdul Aziz Mohd Nor, berkata pemantauan 
setakat ini mendapati ahli pertubuhan Rufaqa' negeri ini tertumpu 
kepada perniagaan.

"Kegiatan mereka lebih tertumpu di pantai barat Semenanjung dan tiada 
sebarang perkembangan membimbangkan di negeri ini seperti berlaku di 
Selangor.

"Di sini, mereka hanya bertumpu kepada perniagaan, belum membabitkan 
aspek lain termasuk menambah ahli baru. Kita akan mengambil tindakan 
sewajarnya jika mengesan sebarang kegiatan yang mencurigakan," 
katanya.//BHarian


Kirim email ke