GUA MUSANG: "Saya seolah-olah tidak ada negeri. Kahwin pun tak boleh. 
Hendak keluar rumah takut kena tangkap," kata Mohamad Salahudin 
Ghapi, 20, pemuda yang tiada dokumen pengenalan diri. 

Dia yang menetap di Kampung Batu Dua, dekat sini, berkata dirinya 
tiada dokumen berikutan ayahnya, Ghapi Mohamad, 39, sengaja melambat-
lambatkan pendaftaran kelahirannya. 

"Mak yang bagi tahu. Oleh itu, saya kini sukar untuk menjalani 
kehidupan seperti rakyat Malaysia lain," katanya. 

Dia yang sedih mengenang nasibnya itu sudah beberapa kali memohon 
kepada Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Gua Musang bagi 
menyelesaikan masalah itu, tetapi belum menerima jawapan. 

"Siapa yang tidak sedih kerana saya seorang saja tidak mempunyai 
surat kelahiran untuk dibuat kad pengenalan sedangkan dua lagi adik 
saya tidak menghadapi masalah demikian," katanya. 

Mohamad Salahudin berkata, dia sebenarnya dilahirkan di Kampung 
Jerkang, Bertam Lama, sebelum ibu bapanya berpindah dan menetap di 
Kampung Batu Dua, dekat sini. 

Katanya, ibunya, Rokiah Omar, 45, mengakui tidak mendaftar 
kelahirannya tetapi pernah menunjukkan kad rawatan klinik ketika 
menjalani pemeriksaan kehamilan. 

"Paling mengecewakan saya apabila hanya sempat bersekolah setakat 
tahun satu saja. Saya kemudian tidak dibenarkan meneruskan 
persekolahan kerana tidak mempunyai sijil kelahiran. 

"Saya sebenarnya tidak mahu menyalahkan ibu bapa dan berharap pihak 
berkaitan dapat memberi pertimbangan bagi menyelesaikan permohonan 
mendapatkan kad pengenalan dengan segera. 

"Saya tak kisah walaupun tidak berpelajaran seperti rakan lain 
asalkan mempunyai kad pengenalan untuk memudahkan saya mencari 
pekerjaan," katanya.

Mohamad Salahudin berkata, dia sudah puas mencari kerja di banyak 
tempat tetapi ditolak semata-mata kerana tidak mempunyai sijil 
kelahiran dan kad pengenalan. 

"Saya ada banyak bukti sebagai anak tempatan termasuk rekod peribadi 
untuk dikemukakan kepada JPN seperti hubungan dengan keluarga dan 
mempunyai dua adik," katanya. //HMetro

Kirim email ke