Ancaman banjir besar -- Hujan berterusan dijangka melanda 4 negeri di utara, 
Pantai Timur  Oleh: SYED MOHD RIDZUWAN SYED ISMAIL
        
      SEORANG penduduk, Taufek Abdullah mengalihkan atap rumahnya yang 
merupakan antara 125 rumah yang rosak dipukul ribut di kawasan perumahan Taman 
Meru, Ipoh, semalam.   
---------------------------------
  
  KUALA LUMPUR 6 Dis. – Hujan berterusan yang dijangka melanda empat buah 
negeri di utara dan Pantai Timur Semenanjung bermula hujung minggu ini 
berkemungkinan boleh menyebabkan ancaman berlakunya banjir besar.
   
  Jabatan Meteorologi meramalkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan 
mengalami hujan dan ribut petir secara berterusan antara tiga hingga empat hari 
bermula Sabtu ini.
   
  Menurut ramalan itu, Kedah dan Perlis akan dilanda hujan dan ribut petir 
berterusan selama empat hari manakala Kelantan dan Terengganu pula selama tiga 
hari berturut-turut.
   
  Walaupun Taufan Durian yang melanda Filipina dan Vietnam tidak akan melalui 
Malaysia, namun ramalan Jabatan Meteorologi menjangka hujan lebat yang 
berterusan akan berlaku di negeri-negeri itu. 
   
  Taufan itu yang telah mengorbankan lebih 1,000 orang di Filipina dan 66 
mangsa di Vietnam, kini turun kepada lekukan tropika dan bergerak ke arah Laut 
Andaman dekat Thailand dengan kelajuan 20 kilometer sejam (km/j).
  “Kedudukan taufan tersebut kini berada kira-kira 350 kilometer (km) dari 
utara Semenanjung Malaysia berbanding 250 km pada pukul lapan pagi ini.
   
  “Bagaimanapun, angin kencang dengan kelajuan 30 hingga 40 km/j dan laut 
bergelora dengan ombak mencapai ketinggian tiga sehingga empat meter masih 
dijangka berlaku di perairan Kelantan, Perlis, Kedah, Langkawi dan Pulau 
Pinang,” menurut kenyataan Jabatan Meteorologi.
   
  Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Unit Pemantauan Banjir, Jabatan 
Pengairan dan Saliran (JPS), Low Koon Sing berkata, negeri Kedah, Perlis, 
Kelantan dan Terengganu dijangka berhadapan dengan banjir serius sekiranya 
jumlah hujan melebihi 100 milimeter sehari dan ia berterusan selama beberapa 
hari.
   
  “Kelantan dan Terengganu mungkin akan menerima kesan yang lebih teruk 
berbanding Kedah dan Perlis kerana air hujan akan melimpahi Sungai Golok 
termasuk air yang mengalir dari sempadan Thailand,” katanya.
   
  Ia mungkin bertambah buruk kerana kedua-dua negeri itu berada lebih dekat 
dengan kawasan berlakunya Taufan Durian.
   
  “Sehingga kini kita belum pasti jumlah hujan yang akan diterima dan kesan 
taufan tersebut kerana semua itu tertakluk kepada jumlah hujan,” katanya.
   
  Pada Disember tahun lalu, Perlis dan Kedah telah dilanda banjir luar biasa 
berpunca daripada hujan lebat berterusan selama tiga hari.
   
  Koon Sing memberitahu, banjir yang melanda Kedah dan Perlis dengan jumlah 
hujan sebanyak 300 mililiter selama tiga hari itu adalah rekod terburuk dalam 
tempoh 30 tahun.
   
  “Bagaimanapun, kita berharap keadaan yang diramal itu tidak akan seteruk 
banjir pada Disember lalu,” ujarnya.
   
  Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu maklumat 
mengenai perkembangan Taufan Durian yang dilaporkan sedang menghala ke Malaysia 
disebarkan secara meluas kepada penduduk negeri Pantai Timur.
   
  Beliau berkata, sekiranya Jabatan Meteorologi mengesan sesuatu ancaman bahaya 
akan berlaku ia perlu dimaklumkan segera kepada beliau bagi membolehkan 
tindakan sewajarnya diambil.
   
  Jabatan Meteorologi semalam turut memberi amaran bahawa beberapa negeri di 
utara dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia dijangka mengalami cuaca buruk dan 
laut bergelora mulai malam semalam kesan daripada Taufan Durian yang sedang 
melanda tenggara Vietnam.
   
  Beberapa kawasan akan mengalami hujan lebat dan angin kencang yang berlarutan 
sehingga Jumaat ini. Perairan Kelantan dan Terengganu dijangka mengalami angin 
kencang dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (km/j) dan ombak setinggi 
4.5 meter.//Utusan

 Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com 

Kirim email ke