KOTA BHARU, 12 Dis - Penduduk di negara ini disaran mencontohi rakyat 
serta kerajaan Kelantan yang menerima kehadiran bekas-bekas dan 
pesakit kusta.

Naib Presiden Persatuan Membantu Pesakit Kusta Malaysia (MaLRA), 
Dato' Seri JJ Raj berkata, masyarakat Kelantan bukan sahaja dapat 
menerima golongan berkenaan sebaliknya turut membantu mereka 
khususnya dari aspek ekonomi. 

Ketika ditemui selepas mesyuarat agung MaLRA Cawangan Kelantan kali 
ke-45 di sebuah hotel di sini, baru-baru ini katanya masyarakat 
Kelantan lebih peka terhadap nasib golongan terbabit.

"Masyarakat negeri lain masih rasa takut-takut untuk mendekati 
golongan itu walaupun ada di antara mereka yang sudah sembuh. Ini 
amat menyedihkan kami," ujarnya.

Beliau mengakui kesedaran bagi membantu pesakit kusta di Kelantan 
tinggi kerana ia turut mendapat sokongan padu kerajaan negeri.

Beliau juga berkata, MaLRA Cawangan Kelantan diwujud pada 1954 iaitu 
selepas enam tahun beroperasi di Kuala Lumpur sebagai pusat membantu 
pesakit kusta.

Raj juga berharap orang ramai mendapat maklumat daripada doktor 
berhubung kusta sekiranya masih ragu-ragu terhadap perkembangan 
penyakit tersebut. 

"Kita seharusnya tidak takut kepada mereka, sebaliknya turut 
membantu, apa lagi doktor telah memberi jaminan jangkitan tidak lagi 
berlaku kerana kejayaan mengubatinya," ujarnya.

Pengerusi MaLRA Kelantan, Nik Din Nik Mat berharap golongan korporat 
dan mereka yang berada turut sama membantu pesakit kusta kerana 
mereka sebahagiannya adalah orang kurang upaya (OKU).

Katanya, pelbagai usaha dilakukan MaLCRA Kelantan bagi membantu ahli 
persatuan termasuk mengagihkan bantuan zakat, sumbangan hari raya dan 
penyampaian hamper yang disumbangkan oleh beberapa pihak termasuk 
Fama. //Hrkh
 


Kirim email ke